Kerja Makan Gaji Perlu Tahu Potongan Cukai Berjadual (PCB)

Bagi mereka yang bekerja makan gaji, pastinya setiap hujung bulan anda ternanti-nanti kehadiran slip gaji daripada majikan dan juga melihat baki terbaru yang telah dikemaskini di dalam akaun bank. Setiap kali belek slip gaji, pasti terlihat bahagian potongan yang dilabel sebagai PCB (bagi mereka yang layak dikenakan cukai).

Sebagai seorang warganegara dan pekerja yang bijak, kenalah tahu sedikit sebanyak perihal PCB ini.

Apa itu PCB (Potongan Cukai Berjadual)?

“PCB adalah satu mekanisme potongan cukai pendapatan daripada saraan bulanan semasa pekerja mengikut Jadual Potongan Cukai Bulanan atau kaedah-kaedah lain yang diluluskan.”

Secara kasarnya, bolehlah dikatakan bahawa kita sedang membayar cukai pendapatan dengan kaedah bayaran ansuran secara bulanan.

Apakah jenis pendapatan yang layak dikenakan PCB?

“Pendapatan berkenaan dengan perolehan atau keuntungan daripada sesuatu pekerjaan contohnya gaji, upah, komisen, kerja lebih masa, elaun, yuran pengarah, tip, bonus/insentif, perkuisit, ganjaran, pampasan kerana kehilangan pekerjaan dan lain-lain.”

Apakah kaedah yang digunakan oleh majikan dalam menentukan jumlah PCB yang perlu dipotong?

Penentuan amaun PCB boleh ditentukan samada dengan kaedah pengiraan penggajian berkomputer atau merujuk kepada Jadual Potongan Cukai Bulanan yang boleh didapati di laman web LHDNM.

Bolehkah pekerja mengarahkan majikan supaya tidak membuat potongan PCB ke atas saraannya dengan alasan ingin membayar zakat pada hujung tahun?

“Tidak boleh kerana zakat belum dibayar.”

Dalam kes pembayaran zakat, seseorang itu perlulah membayar zakatnya pada hujung tahun daripada saku sendiri dahulu, dan seterusnya membuat tuntutan kembali kepada LHDNM melalui pemfailan cukai seperti biasa dengan mengemukakan resit zakat yang telah dibayar untuk mendapat semula amaun setara dari PCB yang telah dibayar.

Bagaimana jika seorang pembayar cukai telah mengemukakan borang nyata dan mendapati PCB beliau adalah kurang daripada jumlah cukai yang kena dibayar?

Pembayar cukai hendaklah menjelaskan perbezaan cukai yang kena dibayar pada atau sebelum 30 April.

Secara amnya, amaun PCB yang ditetapkan akan bergantung kepada kategori-kategori dibawah:

  • Julat saraan bersih bulanan
  • Kategori 1 – Bujang
  • Kategori 2 – Berkahwin & pasangan tidak bekerja
  • Kategori 3 – Berkahwin & pasangan bekerja
  • Bilangan anak – 0 hingga 20

Contoh petikan jadual PCB:

Contoh penentuan:

Ahmad, seorang pengurus dengan gaji RM5,250 status berkahwin (isterinya bekerja) dengan 4 orang anak. Berapakah amaun PCB yang sepatutnya dipotong oleh majikan?

Jawapan: Mengikut jadual, RM166.15 sebulan.

Sebagai perbandingan, mereka yang berpendapatan RM85,000 akan dikenakan potongan cukai di dalam lingkungan RM20,000 sebulan!

Dengan merujuk kepada jadual yang disediakan oleh LHDNM, kita boleh memeriksa samada potongan PCB yang dikira oleh majikan adalah selari dengan gaji dan status kategori kita yang berkenaan.

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Ditulis Oleh: Kamil Adlee

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.