Tabung Haji Perkenal Borang Rayuan

Bermula hari Selasa, 28 Januari 2020 para pemilik akaun Tabung Haji (TH) boleh mengemukakan rayuan Haji melalui Borang Rayuan yang seragam. Borang ini mendapat perhatian ramai apabila terdapat pilihan membayar RM22,900 untuk menunaikan haji tanpa bantuan oleh pihak TH.

Boleh muat turun borong tersebut di sini: https://go.aws/3aTuYU0

Ia memberikan gambaran bahawa bagi sesiapa yang berkemampuan, mereka boleh memotong giliran. Walaubagaimanapun, TH telah membuat penjelasan bahawa pilihan tersebut telah wujud sekian lama dan bukannya syarat tetapi dibuat secara sukarela.

Dalam penjelasan yang dibuat, TH menegaskan bahawa bakal tetamu haji dengan pihak TH termasuk mereka yang berjaya dalam proses permohonan akan membayar RM9,980 seperti sebelum ini.

Bagi proses rayuan, keutamaan tetap diberikan kepada mereka yang membuat rayuan disebabkan menemani mahram, lanjut usia, dan mereka yang terpilih pada tahun 2019 tetapi terpaksa menangguhkan pemergian haji mereka. Selain itu keutamaan juga diberikan kepada mereka yang gilirannya adalah pada tahun 2021.

Syarat Berkemampuan

Di antara syarat khusus dalam ibadah haji adalah berkemampuan. Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dimaksudkan dengan berkemampuan ialah mampu menunaikan fardhu haji samada dengan sendirinya atau dengan pertolongan orang lain.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.” (Surah ali-Imran: 97)

Juga menurut hadith daripada Saidina Umar RA bahawasanya seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ: الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda: Ada bekalan dan kenderaan.” Riwayat al-Tirmizi (813) Ibn Majah (2896)

Bagi syarat berkemampuan dengan sendirinya, maksudnya seseorang itu mampu menyediakan bekalan untuk diri dan keluarga mereka yang di dalam tanggungan dan yang ditinggalkan, mampu mendapatkan kenderaan pergi dan balik, aman perjalanan bagi diri dan harta daripada musuh, bebas daripada ancaman wabak penyakit, dan sihat tubuh badan.

Bagi syarat berkemampuan dengan pertolongan orang lain pula, maksudnya seseorang itu telah cukup semua syarat untuk mengerjakan ibadah haji tetapi dia uzur kerana sakit dan tiada harapan sembuh atau terlalu tua dan orang yang telah meninggal dunia dan mampu mengerjakan haji semasa hayatnya. Maka mereka boleh mewakilkan kepada orang lain untuk menunaikan fardhu haji bagi pihak dirinya.

Hukum Membuat Pembiayaan Atau Pinjaman Bagi Urusan Haji

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan juga, hukum melaksanakan ibadah haji melalui pembiayaan institusi kewangan atau pinjaman daripada individu adalah dibolehkan dan diharuskan dengan mematuhi tiga syarat berikut:

1. Pinjaman kewangan yang dilakukan itu tidak mempunyai unsur-unsur riba. Ini kerana hukum riba telah jelas dinyatakan haram di dalam al-Quran. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Dan Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” (Surah al-Baqarah: 275)

2. Mempunyai jaminan pendapatan yang melebihi bekalan diri serta orang yang di dalam tanggungannya untuk membayar pembiayaan secara bulanan kelak. Bagi mereka yang tidak mempunyai lebihan wang daripada pendapatannya atau pendapatannya hanya sekadar mencukupi untuk kehidupan sehariannya dan mempunyai risiko terbeban dengan pembayaran pembiayaan kelak, maka kewajipan untuk melaksanakan ibadah haji tergugur daripadanya.

3. Pinjaman yang dilakukan itu dibuat di atas dasar menyegerakan perintah Allah SWT di dalam melaksanakan rukun Islam semata-mata. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَرَادَ الْحَجَّ فَلْيَتَعَجَّلْ فَإِنَّهُ قَدْ يَمْرَضُ الْمَرِيضُ وَتَضِلُّ الضَّالَّةُ وَتَعْرِضُ الْحَاجَةُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin menunaikan ibadah haji maka bersegeralah untuk menunaikannya kerana tidak diketahui bila masa sakit itu menyerang seseorang atau kenderaannya hilang ataupun datang keperluannya yang lain.” Riwayat Ibn Majah (2883)

Kesimpulan

Kemampuan merupakan salah satu syarat wajib yang harus dipenuhi bagi sesiapa yang ingin menunaikan ibadah haji. Oleh itu, bagi sesiapa yang tidak berkemampuan maka gugurlah kefardhuan haji ke atasnya disebabkan kekurangannya. Bagi yang masih muda, tanamkan azam untuk menunaikan haji di usia muda dengan melakukan persediaan awal. Persediaan itu merangkumi persediaan kesihatan, kewangan, dan ilmu pengetahuan.

Walaupun dari segi hukumnya harus membuat pembiayaan atau pinjaman untuk menunaikan haji, bukankah lebih elok andai kita menyimpan dan melaburkan simpanan itu untuk menjadi bekalan haji kelak. Apabila pulang daripada haji, kita tidak terbeban dengan bebanan hutang yang perlu dilunaskan.

Letakkan sasaran bagi tahun ini, hanya dengan RM27.40 sehari kita mampu menyimpan RM10,000 setahun. Bayangkan andai jumlah itu dilaburkan pula, mungkin cukup untuk menjadi bekalan kita dan keluarga sepanjang 40 hari haji di sana.  

Moga kita semua dapat menjadi tetamu Allah kelak. Ameen.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.