Panduan Menuntut Duit Dalam KWSP, Pastikan Kita Letak Penama

Sebagaimana dilaporkan dalam sebuah keratan akhbar, daripada data yang ada setakat tahun 2016, lebih 10 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih tidak meletakkan penama bagi akaun mereka. Ramai yang masih mengganggap ianya sebagai sesuatu yang tidak penting.

Hal ini terjadi disebabkan beberapa faktor. Faktor yang paling utama adalah kerana masih ramai lagi yang tidak tahu tentang wujudnya borang penamaan akaun KWSP dan masalah yang akan timbul jika tidak meletakkan penama.

Sebelum membincangkan tajuk persoalan, lebih baik kita fahamkan dulu apa yang dimaksudkan dengan penamaan.

Penamaan adalah satu pengisytiharan secara bertulis yang dibuat oleh ahli dalam Borang KWSP 4, bagi melantik atau menamakan seseorang atau mana-mana orang sebagai benefisiari (bagi orang bukan Islam) atau wasi/pentadbir (bagi orang yang beragama Islam) ke atas simpanan KWSP apabila ahli tersebut meninggal dunia.

Apakah Fungsinya?

Untuk membolehkan KWSP melepaskan wang simpanan ahli yang meninggal dunia kepada orang yang dinamakan dengan segera tanpa mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir.

Untuk membuat penamaan, dokumen yang diperlukan hanyalah;

  1. Borang Penamaan (KWSP 4)
  2. Salinan kad pengenalan pemilik akaun KWSP
  3. Salinan dokumen pengenalan diri penama.

Ada Penama Dan Tiada Penama: Perbezaan Proses Waris Menuntut Wang Simpanan KWSP

Bagi simpanan KWSP yang telah siap diletakkan penama oleh pemiliknya semasa hidup, penama boleh terus ke mana-mana kaunter KWSP dan memulakan proses tuntutan. Cuma kena pastikan tuntutan pengeluaran simpanan KWSP tersebut dibuat dalam tempoh setahun dari tarikh kematian arwah.

Dokumen yang perlu waris bawa semasa membuat tuntutan adalah;

  1. Borang Permohonan KWSP 9KM (AHL);
  2. Sijil kematian ahli KWSP
  3. Kad pengenalan penama
  4. Maklumat akaun bank (Akaun Simpanan/Akaun Semasa/Surat pengesahan maklumat pemegang akaun dari bank/Akaun Harta Pusaka Simati – Nama Simati)

Bagi penama bawah umur 18 tahun, maka pemohon (penjaga kepada penama) perlu juga mengemukakan Surat Rayuan dan Sijil Kelahiran Penama.

Bayaran wang simpanan KWSP tersebut akan terus masuk ke akaun penama yang telah membuat tuntutan.

Manakala bagi simpanan KWSP yang tidak berpenama, maka waris terdekat juga boleh membuat permohonan tuntutan pengeluaran wang simpanan KWSP arwah tetapi memerlukan beberapa dokumen sokongan selain empat dokumen yang perlu waris kemukan. Antaranya adalah;

  1. Dokumen sokongan menunjukkan pertalian hubungan dengan si mati (sijil lahir, sijil nikah dan yang berkaitan)
  2. Surat Kuasa daripada Surat Pentadbiran Mahkamah atau Institusi Perundangan atau Amanah Raya Berhad (ARB).

Jika wang simpanan KWSP adalah satu-satunya harta pusaka arwah, maka Sijil Faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah juga boleh digunakan untuk membuat tuntutan pengeluaran simpanan KWSP.

Proses ini biasanya mengambil masa berbulan-bulan untuk selesai.

Secara umum kita lihat semasa buat tuntutan pengeluaran, tak banyak perbezaan di antara ada penama dan tiada penama. Cuma perlu dapatkan Surat Kuasa sahaja.

Tapi tahukah anda betapa rumit dan lamanya masa yang diperlukan untuk mendapatkan Surat Kuasa tersebut. Jika tak kena caranya, ada yang makan tahun juga baru boleh dapat Surat Kuasa. Lepas dapat Surat Kuasa baru boleh mohon untuk keluarkan simpanan KWSP arwah.

Berbeza dengan akaun KWSP yang dah ada penama. Selepas pemilik akaun meninggal dunia, penama boleh terus membuat tuntutan dan mengeluarkan wang simpanan tersebut.

Kesimpulannya, sangat penting untuk kita membuat penamaan kepada akaun KWSP kita kerana dua faktor.

  1. Untuk memudahkan dan memendekkan proses pengeluaran.
  2. Mengelakkan sebarang kos dan kerumitan mendapatkan dokumen pihak ketiga dari Pejabat Tanah/Mahkamah. Ya nak dapatkan Surat Kuasa kena keluarkan duit dulu.

Sekiranya nak tahu lebih lanjut mengenai penamaan akaun KWSP ni boleh terus ke mana-mana cawangan mereka atau layari www.kwsp.gov.my.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka. Selain aktif menulis perkongsian mengenai urus pusaka di Facebook, beliau turut menerima jemputan untuk memberikan ceramah berkaitan urus pusaka.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kantoi Beli Kereta dan Aset Tetapi Tidak Lapor Pendapatan Yang Betul

Merujuk kepada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bertarikh 20 Jun 2026, agensi tersebut mendedahkan bahawa seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun-tahun taksiran ke belakang.

Melalui pelaporan semula ini, jumlah keseluruhan pendapatan yang diisytiharkan adalah sebanyak RM4.07 bilion, dengan jumlah cukai kena dibayar mencecah RM1.009 bilion.

Persoalannya: Bagaimana LHDN boleh “hidu” golongan yang culas ni? Dah tak boleh lari ke sekarang?

Jawapannya ada pada e-Invois dan model analitik data milik HASiL.

3 “Lubang” Yang Berjaya Dikesan Sistem Baharu LHDN

Berdasarkan kenyataan media rasmi HASiL, mereka kini menggunakan analisis data e-invois. Hasilnya, mereka berjaya mengesan tiga corak utama “anomali” atau transaksi mencurigakan pembayar cukai:

  • 1. Transaksi Aktif Tapi Rekod Cukai Kosong: Sistem mengesan individu yang transaksi kewangannya sangat aktif, tetapi apabila disemak dengan profil cukai sedia ada, datanya langsung tidak sepadan.
  • 2. Beli Aset Mewah Melebihi RM100,000: Sesiapa yang membuat pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan dan aset melebihi RM100k, automatik “lampu merah” akan menyala di sistem HASiL jika pelaporan pendapatan mereka sebelum ini mencurigakan.
  • 3. Buat Duit Melalui Ekonomi Digital: Aktiviti transaksi dalam talian (online) yang rancak tanpa pengisytiharan cukai yang sewajarnya juga kini berada dalam radar pemantauan rapat.

Kuasa Pendekatan “Nudging” (Cuitan Mesra)

Menariknya, 52,540 pembayar cukai ini bukanlah diseret terus ke mahkamah. HASiL menggunakan pendekatan “nudging” iaitu memberi teguran berasaskan bukti data, memberikan mereka peluang terakhir untuk tampil menyerah diri dan membetulkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun sebelum ini secara sukarela sebelum tindakan tegas diambil.

Perkembangan Terkini e-Invois di Malaysia

Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sistem percukian negara telah mengalami anjakan digital yang sangat besar:

Statistik Utama Pelaksanaan e-InvoisAngka
Jumlah Pembayar Cukai Mengemukakan e-InvoisLebih 230,000 pembayar cukai
Jumlah Pengeluaran e-Invois Secara Keseluruhan1.505 bilion e-Invois

Malah bermula 1 Januari 2026, ketelusan sistem diperketatkan lagi di mana semua pembayar cukai wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barang atau perkhidmatan yang melebihi RM10,000. Pembeli pula perlu memberikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau nombor kad pengenalan (IC) kepada penjual untuk pengesahan tepat.

Nota Penting: Walaupun sistem semakin ketat, HASiL mendedahkan masih ada segelintir pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois dan pemantauan berterusan sedang giat dijalankan.

Kesimpulan

Zaman untuk “sorok” pendapatan atau buat-buat lupa bayar cukai nampaknya sudah semakin berakhir. Pengajaran daripada angka RM4.07 bilion ini mudah: Sistem cukai Malaysia kini semakin pintar. Sebelum “dicuit” mesra oleh LHDN, ada baiknya kita semak semula pelaporan cukai masing-masing.