7 Perkara Yang Kita Boleh Belajar Dari Jeff Bezos

Pasti kita pernah dengar nama Jeff Bezos sekiranya kita suka membaca tips dan info kewangan. Beliau bermula dari bawah dan berjaya menjadikan Amazon salah sebuah syarikat terbesar dunia, dalam masa yang sama menjadikan beliau orang terkaya di dunia pada hari ini.

Seperti yang kita sedia maklum, Amazon telah membolehkan urusan semua orang untuk menjalankan transaksi jual beli secara online. Jeff Bezos telah mengutamakan pelanggan bagi memberikan yang terbaik kepada semua pengguna.

Jom kita lihat 7 perkara yang kita boleh belajar dari Jeff Bezos. Sudah pasti ia dapat menambah baik setiap urusan dan pekerjaan yang kita lakukan.

1. Sentiasa Berjimat Cermat

Pejabat Amazon yang terletak di Lembah Silikon mungkin kelihatan mewah tetapi sebenarnya banyak juga yang Jeff Bezos berjimat. Sebagai contoh, para pekerja perlu bayar untuk tempat letak kereta, snek di pejabat tidak diberikan secara percuma, dan apabila pekerja perlu outstation – mereka biasanya berkongsi bilik.

Secara amnya, Amazon adalah tempat untuk bekerja dan bukan tempat untuk berehat.

2. Fikir Jangka Masa Panjang

Amazon terpaksa berdepan dengan kerugian pada awal penubuhannya. Apabila e-book mula memasuki pasaran, kebanyakan penerbit menjualnya dengan harga yang sama dengan edisi cetak mereka. Bagaimanapun, Jeff Bezos telah menjualnya dengan harga yang lebih murah.

Pada mulanya Amazon mengalami kerugian sekitar $5 USD bagi setiap e-book, namun lama-kelamaan ia berjaya kerana strateginya yang berkonsepkan jangka masa panjang.

Jeff Bezos juga telah membuka syarikat yang bernama Kindle untuk menguasai pasaran e-book tersebut.

3. Buat Keputusan Yang Bijak

Mungkn ada yang terkejut apabila dapat tahu bahawa Amazon bermula sebagai sebuah kedai buku sahaja. Pemilihan produk awal bukanlah satu perkara yang menguntungkan Jeff Bezos pada mulanya, tetapi hasilnya terjamin.

Buku-buku boleh dihantar tanpa sebarang kerosakan dan ianya jarang dikembalikan dan tidak akan tamat tempoh. Pendek kata, buku adalah produk yang amat ideal untuk e-dagang dan tidak mendatangkan kerugian yang banyak.

4. Fokus Kepada Pelanggan

Jeff Bezos memahami bahawa kelebihan perniagaan online adalah dalam mengukur tingkah laku pelanggan. Selama bertahun-tahun, Amazon sentiasa menambah ciri-ciri yang bertujuan untuk menjadikan pelanggan mereka selesa yang seterusnya meningkatkan penjualan syarikat. 

Pelanggan yang setia akan berterusan beli dengan Amazon dan mengesoyrkan kepada kenalan mereka untuk beli dengan mereka.

Amazon juga mahu pelanggan memberikan pandangan terhadap servis mereka. Kalau ada benda yang perlu diperbaiki, mereka akan melakukan penambahbaikan bagi memuaskan pelanggan.

5. Buat Peraturan Sendiri

Di Amazon, sesiapa yang ingin mencadangkan idea baru mesti terlebih dahulu menuliskan idea mereka ke dalam dokumen 6 helai muka surat. Sebelum membuat sebarang keputusan, mereka yang terlibat termasuk Jeff Bezos sendiri, mesti mengambil masa untuk membaca dan mengkajinya.

Peraturan lain yang diperkenalkan oleh Bezos adalah dengan membangunkan kumpulan kecil bagi sesuatu tugas. Beliau menggunakan peraturan ‘Dua Pizza’, iaitu sebuah kumpulan tak lebih daripada 10 orang sehingga tak kenyang apabilai dihidangkan dengan dua piza tersebut.

6. Berani Mengambil Risiko

Jeff Bezos memang seorang yang berani mengambil risiko dalam perniagaan dan kehidupan. Dalam apa jua keadaan, beliau menganggap risiko adalah sesuatu yang dapat mendatangkan kejayaan di akhirnya.

Di dalam Amazon, beliau sering memberikan anugerah kepada pekerjanya yang berani mengambil risiko.

7. Belajar Secara Berterusan

Tidak pernah berhenti belajar, berkembang, dan inovasi mungkin menjadi bahan utama untuk berjaya seperti Jeff Bezos. Bagi beliau, apa yang perlu dilakukannya adalah sentiasa mahu belajar dan jangan selesa dengan apa yang kita ada sekarang.

Kesimpulannya, jangan duduk di dalam zon selesa. Kita harus berani bertindak dan merebut peluang yang ada. Pergilah menuntut ilmu selagi mampu dan semoga kita menjadi kaya-raya agar dapat membantu ramai orang.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.