Perlu Ke Bayar Zakat Hasil Keuntungan Pelaburan Hartanah?

Sebagai seorang Muslim, zakat termasuk dalam salah satu dari rukun Islam yang wajib dilaksanakan dan kita diwajibkan untuk membayar zakat berdasarkan dalil muktamad berdasarkan Al-Quran dan hadith junjungan besar Nabi Muhammad saw.

Baca : Beli Rumah Dengan Pembiayaan Islamik Adalah Jauh Lebih Baik

Ini bertepatan dengan firman Allah swt di dalam Surah Al-Baqarah ayat 43:

وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat.”

Bahkan perintah untuk mengeluarkan zakat telah diulang sebanyak 23 kali di dalam Al Quran.

Daripada hadith junjungan besar Nabi Muhammad saw yang menerangkan kewajipan mengeluarkan harta untuk membayar zakat pula adalah :

” Jika mereka mematuhi perkara itu, beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan solat ke atas mereka lima waktu sehari semalam. Jika mereka mematuhi perkara itu zakat ke atas mereka yang diambil daripada orang kaya lalu diagihkan-agihkan kepada orang fakir di kalangan mereka.”

Hadis Riwayat Muslim (130)

Baca : 9 Checklist Sebelum Nak Melabur Dalam Hartanah

Buat pengetahuan anda, zakat terbahagi kepada dua yaqni zakat fitrah dan zakat harta.

Zakat fitrah merupakan zakat yang diwajibkan ke atas setiap individu Islam yang berkemampuan daripada segi harta dengan syarat yang telah ditetapkan.

Hari ini, zakat harta pula pula dipecahkan kepada zakat pendapatan, zakat wang simpanan, zakat KWSP, zakat perniagaan, zakat pelaburan, zakat emas & perak dan akhir sekali zakat takaful.

Dilema kebanyakan pelabur hartanah adalah adakah mereka diwajibkan untuk membayar zakat hasil dari pelaburan hartanah mereka.

Jika ya, bagaimanakah cara kiraannya dan berapa pula amaun yang perlu mereka bayar?

Artikel ini akan menerangkan kepada anda secara menyeluruh dan terperinci tentang zakat hasil dari pelaburan hartanah dan cara kiraannya.

Sekiranya anda seorang pelabur hartanah yang mempunyai banyak hartanah (bukan yang diduduki) dan baru sahaja selesai menjual hartanah anda kepada pembeli baru dan membuat keuntungan, keuntungan hasil dari jualan hartanah dikira sebagai zakat perniagaan.

Anda perlu membayar zakat perniagaan tersebut selepas cukup tempoh setahun (haul) dari tarikh penjualan rumah tersebut.

Zakat perniagaan wajib dibayar samada hasil perniagaannya adalah menerusi pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau mana – mana aktiviti atas kapasiti perniagaan.

Baca : Cara Kira Zakat ASB Secara Terperinci

Tidak terbatas kepada perkongsian, syarikat, koperasi dan perniagaan saham sahaja, individu juga wajib membayar zakat dan Ini termasuk pelabur hartanah persendirian.

Cara Kiraan Zakat Perniagaan Untuk Pelabur Hartanah

Berdasarkan fatwa & keputusan syariah Zakat Selangor, hasil jualan rumah wajib dizakatkan sebanyak 2.5% yaqni selepas ditolak segala kos yang telribat dalam penjualan rumah tersebut.

Andaikata rumah tersebut memiliki dua penama (suami + isteri atau pelabur A + pelabur B), hasil jualan perlu dizakatkan atas nama bersama terlebih dahulu berdasarkan prinsip hukum harta perkongsian (khultah) antara kedua – dua pihak selepas menolak kos -kos jualan yang terlibat dalam penjualan rumah tersebut.

Kiraannya adalah : Hasil Jualan – Kos

Jumlah X 2.5% : Amaun Zakat.

Bayangkan anda baru sahaja selesai menjual sebuah unit teres dua tingkat di Puchong Perdana pada harga RM400,000 dan kos-kos yang terlibat adalah RM25,000.

Kiraan zakatnya adalah RM400,000 – RM25,000 dan jumlahnya adalah RM375,000.

Selepas itu, jumlah RM375,000 tersebut didarabkan dengan 2.5% dan anda akan mendapat angka RM9,375.

Maka jumlah zakat yang perlu anda bayar adalah RM9,375.

Memandangkan zakat termasuk dalam salah satu rukun Islam, anda sebagai orang Islam wajib melaksanakannya sekiranya anda seorang pelabur hartanah.

Baca : Derivatif Patuh Syariah?

Semoga kita tidak termasuk di kalangan orang – orang yang memakan hartana dengan jalan yang batil dan menyimpan emas dan perak serta tidak menafkahkannya ke jalan Allah swt.

Hal ini kerana, Allah swt telah menjanjikan seksa yang pedih di neraka Jahanam untuk orang-orang tidak membayar zakat dalam Surah At- Taubah, ayat 34-35.

Akhir kata, diharapkan artikel ini membantu anda sebagai pelabur hartanah untuk mendapat pemahaman yang baik tentang pembayaran zakat dalam pelaburan hartanah.

Sumber Rujukan:

  1. Jomurusduit
  2. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Zakat Selangor
Previous ArticleNext Article

1 Comment

  1. Bukan ke atas keuntungan? Maksudnye 1) 400000-25000(kos jual beli rumah)=375000
    2) 375000-150000(harga awal masa beli rumah)=225000
    3) 225000*2.5%=5625

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.