6 Cara Nak Ubah Pemikiran Kewangan Lapuk

Mengubah pemikiran kewangan sedia ada bukanlah semudah seperti yang disangka. Apakah antara langkah yang boleh diambil untuk keluar dari mentaliti kewangan yang lama?

Apabila berbicara tentang pengurusan kewangan peribadi, perkara yang paling utama yang mampu menentukan sama ada pelan yang anda rancang mampu dilaksanakan adalah status pemikiran kewangan anda. Mungkin anda mahu bebas dari hutang, ingin menyimpan duit, melabur, ataupun hendak mencapai nilai simpanan tujuh angka menjelang persaraan.

Namun, anda masih tidak mampu mencapai status kewangan yang ideal. Ini adalah kerana anda masih kekal di dalam mentaliti kewangan yang lama.

Ya, maklumat tentang pengurusan kewangan kini adalah semudah carian di laman Google sahaja dan anda akan menemui  beribu artikel atau maklumat tentang kaedah untuk mencapai matlamat kewangan diri.

Tetapi, mencapai matlamat kewangan bukan semata-mata hanya pengetahuan sahaja tetapi ia adalah bagaimana anda menjadikannya satu kenyataan. Tidak hairanlah jika percubaan untuk menyimpan atau membuat pelaburan ada kalanya tidak menjadi atau tidak mampu mendatangkan hasil seperti yang diinginkan.

Mengubah set pemikiran anda merupakan satu usaha yang berterusan dan beberapa kaedah boleh dilakukan untuk merealisasikannya.

1. Tanamkan matlamat kewangan yang jelas.

Laluan untuk mencapai matlamat kewangan perlu bermula dengan kesedaran bahawa setiap keputusan mempunyai kesan dan jika usaha dibuat secara tetap, ia adalah tidak mustahil bagi mencapai matlamat yang diingini. Ia boleh dilakukan sebelum membuat keputusan pelaburan yang besar atau memulakan langkah pertama untuk menyimpan bagi tabung simpanan kecemasan.

Misalnya, jika anda mahu menyimpan untuk membeli rumah pertama, kenal pasti kemampuan anda setiap bulan untuk menyimpan dan berapa lama jangka masa yang diperlukan untuk mengumpulnya. Dengan mengenal pasti matlamat yang diigini, lebih mudah untuk anda merangka langkah bagi mencapainya.

2. Jangan sesal dengan kesalahan kewangan lampau

Sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan membuat percaturan yang salah dalam keputusan kewangan.

Memaafkan diri sendiri adalah cara untuk memastikan kita tidak putus ada dan kurang motivasi akibat dihantui oleh perasaan bersalah tersebut. Ia juga mampu memupuk tabiat yang lebih baik terhadap pengurusan kewangan dengan mengenal pasti di mana kesalahan anda dan mengambil pengajaran daripadanya.

Kita boleh belajar untuk tidak mengulanginya dan mengenal pasti apakah langkah-langkah seterusnya yang boleh dibuat untuk mengelakkannya. Di sinilah penasihat kewangan memainkan peranan yang amat penting untuk memandu anda kepada perancangan kewangan peribadi yang lebih baik dan holistik.

3. Rangka dan kekalkan tabiat kewangan yang baik

Apabila sudah mempunyai matlamat, ia adalah masa yang sesuai untuk mencipta tabiat kewangan yang baik dan berterusan. Fahami di mana wang anda pergi dan pastikan anda boleh mengenepikan sebahagian daripadanya untuk simpanan. Mulakan dengan tindakan yang kecil, seperti simpan RM1 sehari di dalam tabung yang sukar untuk dipecahkan. Ia mudah dan tidak membebankan.

Apabila sudah selesa dan boleh melakukannya dengan konsisten, cuba naikkan jumlah simpanan tersebut dan dengan cara ini, anda mampu menyimpan dengan lebih banyak tanpa tergesa-gesa.

4. Hadapi ketakutan dan ketidakselesaan

Takut dan tidak selesa boleh berlaku apabila anda perlu menghadapi perkara yang tidak disenangi. Contohnya adalah apabila anda melihat semula perancangan kewangan anda.  Ia mampu menzahirkan perasaan tidak yakin dan mampu menghalang anda untuk mencapai matlamat yang diingini.

Apakah yang akan berlaku sekiranya tindakan tertentu diambil? Adakah anda mampu untuk  menanggung impak daripada tindakan anda?

Salah satu cara yang berkesan untuk menghadapi ketakutan adalah mengenal pasti semula apakah sebab atau matlamat yang anda mahu capai dan lihat segala kejayaan samada kecil atau besar. Jika anda boleh lepasi ketakutan tersebut, tidak mustahil untuk mencapai apa yang anda inginkan.

Kenal pasti apakah ketakutan itu dan rangka satu tindakan yang boleh mengatasinya. Jika anda takut dengan komitmen hutang yang banyak, pastikan anda buat jadual untuk membayar hutang dengan lebih tetap dan perbaiki aliran tunai semasa.

5. Hargai pencapaian anda

Sentiasa memastikan bahawa setiap kejayaan dan langkah yang dibuat untuk membaiki tahap kewangan anda adalah perkara yang perlu diraikan. Walaupun ia mungkin kecil tetapi setiap tindakan yang besar bermula dengan langkah yang kecil.

Terapkan dalam diri anda bahawa setiap kejayaan itu adalah penting dan ia boleh menjadi pembakar semangat untuk meneruskan usaha mencapai matlamat kewangan yang dinginkan.

Antara langkah yang baik adalah tulis kejayaan kewangan anda dalam jurnal sebagai rujukan untuk masa depan.

6. Dapatkan nasihat daripada pakar

Ia adalah normal jika anda berasa ragu-ragu dan juga kurang pasti akan keputusan kewangan yang mahu diambil. Anda juga takut akan terpengaruh dengan dakwaan sesetengah pihak untuk membuat keputusan pelaburan atau pinjaman yang mungkin akan memberikan kesan yang besar pada masa depan.

Oleh sebab itu, amat penting untuk anda mendapatkan panduan dan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen yang boleh memacu anda ke arah pelan kewangan yang lebih tersusun dan menyeluruh. Melalui proses pengumpulan data ataupun ‘fact finding’, mereka akan mengenal pasti kedudukan kewangan terkini dan boleh merangka pelan yang lebih baik dan mampu memberikan pulangan yang kurang risiko dan lebih bersifat jangka panjang.

Kesimpulan

Mengubah pemikiran dan membuat tindakan baru bukanlah semudah seperti yang disangka terutamanya apabila ia melibatkan perancangan kewangan. Anda mungkin tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang kewangan dan berasa kurang jelas akan tindakan selanjutnya. Anda juga risau bahawa tindakan anda hari ini akan menjejaskan masa depan anda.

Oleh sebab itu, adalah amat penting sekali untuk memastikan maklumat dan ilmu yang anda peroleh tentang pengurusan kewangan adalah daripada sumber yang sahih seperti penasihat kewangan berlesen. Elakkan membuat keputusan kewangan dengan terburu-buru dan banyakkan membuat kajian dan bacaan berkaitan bagi menjadi pengguna yang lebih bijak dan berhemah.

Apakah matlamat anda untuk memastikan set pemikiran semasa pengurusan kewangan?

Ditulis oleh Nurul Khairiah Mohamed Yusof, Eksekutif Pemasaran dan Jenama, Wealth Vantage Advisory Sdn Bhd

WEALTH VANTAGE ADVISORY merupakan Syarikat Penasihat Kewangan Yang Berlesen dari Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan FIMM menyediakan khidmat nasihat kewangan holistik yang menyeluruh meliputi Pengurusan Tunai, Pengurusan Hutang, Perancangan Pelaburan, Perancangan Persaraan termasuk Wasiat dan Perlindungan. Disamping menjalankan Latihan Korporat untuk Syarikat, Institusi dan Organisasi.

Wealth Vantage Advisory
FB/ LinkedIn/ Instagram/ Twitter: @wealthvantagemy
Laman Web www.wealthvantage.com.my
Telefon: +603-9202 5666

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.