HelloGold – Platform Pembelian Emas Atas Talian Yang Patuh Shariah

Urusniaga emas mempunyai hukum-hukum tertentu dalam Shariah. Antara isu utama dalam urusniaga emas berdasarkan Shariah adalah perlu Taqabud atau serahan segera apabila ditukar dengan emas atau matawang.

Apa maksudnya? Maksudnya hak milik telah bertukar tangan sebaik sahaja akad atau transaksi dibuat dan bayaran diserahkan.

Maka di sini timbul persoalan, bolehkah membeli emas secara atas talian seperti menggunakan aplikasi HelloGold?

Apa Itu HelloGold?

HelloGold muncul pada tahun 2015 sebagai satu aplikasi urusniaga pembelian dan penjualan emas patuh Shariah yang pertama di dunia. Menerusi aplikasi ini, kita boleh membeli dan menjual emas serendah RM1 dengan ketulenan 99.99%.

Berdasarkan laman web HelloGold, jongkong emas mereka disimpan di dalam bilik kebal oleh BullionStar International, di Singapura. BullionStar pula dijamin oleh Chubb Internationa dimana mereka memberi jaminan pada nilai gantian penuh.

Emas mereka juga diaudit setiap enam bulan dan dipastikan:

1) Bahawa kesemua emas fizikal milik pelanggan yang disimpan memang mewakili pelanggan yang membelinya;

2) Bahawa semua emas fizikal mempunyai nombor bersiri mewakili pemilikan pemiliknya;

3) Dan ciri-ciri serta berat emas fizikal  sama berdasarkan huraian emas fizikal yang disimpan.

Penasihat Shariah mereka pula adalah Amanie Advisors, pihak yang bekerjasama dengan World Gold Council dalam mendraf dan mendapatkan kelulusan Piawaian Shariah bagi Emas pertama dunia atau dikenali sebagai Shariah Standard on Gold oleh Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) yang berpangkalan di Bahrain.

Disebabkan itu, HelloGold boleh berbangga menjadi pihak pertama yang menggunapakai Shariah Standard on Gold oleh AAOIFI dalam urusniaga emas mereka.

Ada dua isu besar yang diputuskan oleh AAOIFI dan memudahkan urusan HelloGold.

Pertamanya isu penyerahan segera atau Taqabud. Piawaian itu menetapkan bahawa bentuk serahan emas boleh dipelbagaikan. Sama ada ia dilakukan secara penyerahan fizikal atau cukup dibuktikan secara dokumentasi yang menunjukkan adanya pemilikan dan perubahan hak milik. Dalam Shariah, penyerahan fizikal disebut sebagai Qabd Haqiqi dan penyerahan secara dokumentasi disebut sebagai Qabd Hukmi.

Isu kedua pula adalah isu pemilikan pro-rata atau pemilikan bersama terhadap satu emas fizikal. Di dalam Shariah ia disebut sebagai Milkiyyah al-Musya’. Shariah Standard on Gold oleh AAOIFI telah mengiktiraf kaedah pemilikan bersama ini dengan syarat-syarat tertentu.

Maka dengan pengesahan itulah, HelloGold dapat menawarkan pemilikan emas serendah RM1 yang melambangkan pemilikan tidak sampai 0.001g. Adapun begitu penghantaran emas fizikal hanya boleh dilakukan bagi mereka yang mempunyai emas minima 1g.

Apa pun model HelloGold ini sangat sesuai digunakan bagi mereka yang berhasrat menjadi pelabur emas kerana sebagai pelabur, emas dibeli pada harga rendah dan dijual apabila harganya naik, isu pemilikan fizikal tidaklah penting. Tambahan pula penyimpanan fizikal mendedahkan pelabur kepada risiko kehilangan emas dan juga caj penyimpanan sekiranya emas disimpan oleh pihak ketiga.

Di HelloGold, mereka membuat untung melalui ‘spread’ atau beza harga jualan dan belian emas, serta caj pengurusan serendah 2% setahun. Caj tambahan hanya dikenakan bagi pembeli yang meminta emas fizikal dihantar kepada mereka.

Secara rumusan, ini bukanlah tulisan yang ditaja oleh HelloGold tetapi ia sekadar perkongsian hukum emas dalam Shariah yang terlibat dalam urusniaga emas di HelloGold. Ingatlah dua hukum utama bagi mereka yang ingin melabur dalam emas, pertamanya emas itu wujud dalam bentuk fizikal, dan kedua pemilikan itu berlaku secara segera dengan disahkan pemilikan dan pemilik emas ada hak ke atas emas tersebut.

Sekian. Pesan saya jangan terpedaya dengan agen emas yang suka mempromosi emas di waktu harga emas berada di puncak.

Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus kepada pengurusan kewangan, pembasmian kemiskinan, dan pembinaan masyarakat madani. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

Selain daripada HelloGold, kita juga ada simpanan emas patuh syariah dengan KAB Gold.

This image has an empty alt attribute; its file name is kab-gold-uncang-emas-800-700x990.jpg

Dengan minimum pembelian 0.25 gram emas atau serendah RM66 (berdasarkan harga emas RM264 segram), semuanya boleh dilakukan secara online.

Prosesnya sangat mudah:

  • Layari laman web KAB Gold
  • Lengkapkan borang pendaftaran
  • Verify emel

Kemudian dah boleh login dan buat pembelian pertama anda hari ini juga.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

5 Faktor Harga Emas Boleh Terus Jatuh

Ramai orang melihat emas sebagai aset yang sentiasa selamat dan nilainya hanya akan meningkat dari masa ke masa. Persepsi ini menyebabkan ramai menganggap emas sebagai “simpanan kebal” yang tidak terkesan dengan keadaan ekonomi.

Namun hakikatnya, harga emas tetap bergerak mengikut kitaran pasaran dan boleh jatuh untuk tempoh yang panjang jika faktor-faktor tertentu berlaku serentak.

USD Menguat Akan Tekan Harga Emas

Harga emas mempunyai ‘hubungan songsang’ dengan kekuatan dolar Amerika Syarikat. Apabila USD mengukuh, emas menjadi lebih mahal kepada pelabur di luar Amerika, sekali gus mengurangkan permintaan global. Dalam keadaan ini, tekanan jualan akan meningkat dan harga emas boleh menurun.

Sebagai contoh, apabila nilai USD meningkat dengan ketara berbanding ringgit Malaysia, pelabur tempatan mungkin melihat harga emas dalam USD tidak banyak berubah, tetapi dari sudut global, permintaan semakin lemah. Situasi ini pernah berlaku apabila USD berada dalam fasa pengukuhan agresif, menyebabkan harga emas global bergerak mendatar atau menurun walaupun sentimen terhadap emas masih positif.

Kadar Faedah Tinggi Kurangkan Tarikan Emas

Emas tidak memberikan sebarang pulangan berkala seperti dividen atau faedah. Oleh itu, apabila kadar faedah meningkat, pelabur akan mula beralih kepada instrumen yang menawarkan pulangan tetap dan lebih stabil. Ini menjadikan emas kurang menarik dalam persekitaran kadar faedah tinggi.

Sebagai contoh, ketika kadar faedah meningkat dan bank menawarkan pulangan simpanan tetap sekitar 4 hingga 5 peratus setahun, pelabur konservatif mungkin memilih untuk mengunci pulangan tersebut berbanding memegang emas yang tidak memberikan sebarang aliran tunai. Peralihan ini secara berperingkat akan mengurangkan permintaan terhadap emas dan memberi tekanan kepada harganya.

Ekonomi Stabil Kurangkan Keperluan “Safe Haven”

Emas biasanya mendapat permintaan tinggi ketika berlaku ketidaktentuan ekonomi atau krisis geopolitik. Namun apabila keadaan kembali stabil, pelabur cenderung untuk mengambil risiko dan beralih kepada aset yang menawarkan pulangan lebih tinggi seperti saham.

Sebagai contoh, dalam tempoh pasaran saham global sedang berkembang pesat, ramai pelabur akan mengalihkan dana daripada emas ke pasaran ekuiti untuk mengejar keuntungan yang lebih besar. Pergerakan dana ini menyebabkan permintaan terhadap emas menurun, sekaligus menekan harga walaupun tiada perubahan besar dalam penawaran fizikal.

Jualan Oleh Bank Pusat Tingkatkan Penawaran

Bank pusat merupakan antara pemegang emas terbesar di dunia. Sebarang perubahan dalam polisi pegangan emas oleh institusi ini boleh memberi kesan besar kepada pasaran. Jika bank pusat menjual sebahagian daripada rizab emas mereka, penawaran dalam pasaran akan meningkat dengan ketara.

Sebagai contoh, sekiranya sebuah negara besar membuat keputusan untuk mengurangkan pegangan emas dan menjual sebahagian rizabnya, lambakan emas dalam pasaran boleh berlaku dalam masa yang singkat. Jika permintaan tidak meningkat pada kadar yang sama, harga emas akan mengalami tekanan menurun.

Terkini, laporan Bloomberg menyatakan bank pusat Turki telah menjual dan menukar 60 tan emas bernilai lebih USD8 bilion sebagai sebahagian daripada usaha mempertahankan mata wang mereka. Menariknya, sebahagian daripada emas tersebut bukan sahaja dijual secara langsung, tetapi juga digunakan dalam bentuk “swap” untuk mendapatkan kecairan dalam mata wang asing.

Kes ini jelas menunjukkan bahawa emas bukan sekadar aset “disimpan”, tetapi boleh menjadi alat kecemasan yang digunakan oleh negara apabila berdepan tekanan ekonomi. Namun pada masa yang sama, apabila emas dilepaskan ke pasaran dalam jumlah besar, ia berpotensi menambah penawaran dan memberi tekanan kepada harga emas global.

Sentimen Pasaran dan Tindakan Pelabur Besar

Pergerakan harga emas dalam jangka pendek juga sangat dipengaruhi oleh sentimen pasaran dan tindakan pelabur institusi. Kadangkala, perubahan harga berlaku bukan kerana faktor ekonomi yang jelas, tetapi disebabkan oleh aliran keluar masuk dana dalam skala besar.

Sebagai contoh, apabila dana besar atau ETF emas mengalami pengeluaran dana secara mendadak, ia boleh mencetuskan gelombang jualan dalam pasaran. Pelabur lain yang melihat pergerakan ini mungkin turut mengambil tindakan sama, menyebabkan harga jatuh dengan lebih cepat walaupun asas ekonomi tidak berubah secara signifikan.

Kesimpulan

Emas bukanlah aset yang sentiasa meningkat nilainya tanpa risiko. Ia berfungsi dengan baik sebagai alat perlindungan nilai dalam jangka panjang, tetapi tetap terdedah kepada turun naik harga dalam jangka pendek. Memahami faktor-faktor ini penting supaya pelabur tidak meletakkan jangkaan yang tidak realistik terhadap emas.

Namun begitu, terdapat juga naratif yang sering dimainkan dalam kalangan ejen emas iaitu “jangan fokus kepada harga, tetapi fokus kepada jumlah gram yang dimiliki”. Walaupun pendekatan ini kelihatan menenangkan dan sesuai untuk membina disiplin simpanan, ia boleh menjadi mengelirukan jika difahami secara literal. Hakikatnya, setiap pembelian emas tetap melibatkan penggunaan wang dan harga memainkan peranan penting dalam menentukan nilai yang diperoleh pada sesuatu masa. Mengabaikan harga seolah-olah menafikan konsep asas dalam pelaburan, iaitu hubungan antara kos dan nilai.

Dalam dunia kewangan, tiada aset yang bergerak sehala sepanjang masa. Yang lebih penting adalah memahami peranan setiap aset dan bagaimana ia boleh digunakan secara strategik dalam membina portfolio yang seimbang.

Baca juga 7 Platform Yang Ada Untuk Kita Melabur Emas