Ark Investment, Dana Pelaburan Yang Menggunakan ‘Disruptive Innovation’ Dalam Pemilihan Syarikat

Industri pengurusan kewangan atau hedge fund dikuasai oleh golongan lelaki. Kita boleh lihat golongan lelaki memegang jawatan penting di dalam syarikat yang menguruskan dana pelaburan terkenal di seluruh dunia.

Jarang sekali kita melihat golongan wanita yang mempelopori industri dana pelaburan dan jika adapun, jumlah mereka dapat dibilang dengan jari jika dibandingkan dengan golongan lelaki.

Kali ini kita akan ikuti kisah pengurus dana pelaburan yang kurang dikenali di peringkat antarabangsa tetapi telah berjaya meraih pulangan yang sangat lumayan ketika krisis pandemik berlaku di dunia pada tahun lepas.

Siapa Cathie Wood?

Wanita tersebut adalah Cathie Wood yang dikenali sebagai “money tree”, merupakan CEO bagi Ark Investment Management yang ditubuhkannya pada tahun 2014.

Beliau merupakan graduan Universiti Southern California dan merupakan salah seorang anak didik pakar ekonomi  dunia terkenal, Arthur Laffer. Beliau bekerja untuk dana pengurusan pelaburan Jennison Associates selama 18 tahun sebagai penganalisis pasaran saham.

Beliau kemudiannya bekerja di Tupelo Capital Management dan Alliance Bernstein selama 12 tahun dan berjaya mengambil pengalaman di dalam dunia pelaburan ketika berada di sini.

Teknik Pelaburan Yang Digunakan Cathie Wood

Di antara kaedah yang dilakukan oleh Cathie Wood di dalam pelaburan adalah dengan menggunakan teknik yang dikenali sebagai disruptive innovation. Dalam bahasa yang mudah, teknik ini adalah dengan melabur ke dalam syarikat teknologi yang bakal mengubah dunia pada masa yang akan datang.

Beliau menggunakan keadah pembelian ETF bagi tujuan tersebut.

Kredit Gambar: Towards Data Science

Ark Investment Management telah banyak melabur ke dalam sektor teknologi seperti Space Company, Blockchain Technology, Genome Sequencing, Robotics, Energy Storage, Artificial Intelligence.

Salah satu pelaburan yang paling berjaya Cathie Wood adalah ketika beliau berjaya menjangkakan bahawa saham Tesla akan meningkat. Ketika itu ramai yang ragu-ragu dengan pandangannya terhadap Tesla kerana saham Tesla berada dalam keadaan sideways untuk tempoh yang lama.

Kredit Gambar: Al Jazeera

Jangkaan yang dilakukan oleh Cathie Wood tepat sekali apabila harga saham Tesla meroket naik. Tahun lepas merupakan tahun yang sangat membanggakan apabila kebanyakan saham yang dilaburkan Ark Investment Management mendapat keuntungan yang sangat luar biasa.

Ini disebabkan sektor yang berkaitan dengan teknologi meletup-letup apabila pandemik Covid-19 melanda dunia.

Kredit Gambar: Yahoo Finance

Ark Investment Management juga berjaya menambah Assets Under Management (AUM) sebanyak USD50 bilion dan ia adalah peningkatan daripada jumlah USD3.6 bilion pada tahun sebelumnya. Beliau telah berjaya mendapat kepercayaan para pelabur dengan teknik yang digunakannya ini.

Pada tahun lepas, Ark Investment Management telah berjaya memperolehi keuntungan sebanyak 152%. Secara purata, syarikat ini berjaya memberi pulangan sebanyak 46% setahun kepada pelabur mereka.

Kritikan Terhadap Teknik Pelaburan Yang Digunakan Cathie Wood

Walaupun berjaya menggegarkan pasaran Wall Street, tidak semua pelabur bersetuju dengan kaedah yang dilakukan terhadap  pemilihan saham Cathie Wood. Sebagai contoh, Arvid Ali yang merupakan presiden untuk syarikat Jordan Belfort (Wolf Of Wall Street) berpendapat bahawa Cathie Wood hanya bernasib baik kerana pandemik berlaku menyebabkan beberapa saham yang dimilikinya meningkat naik.

Arvid Ali berpendapat tidak perlu untuk pelabur melabur di dalam Ark Investment Management yang ditubuhkannya kerana pelabur mampu melabur sendiri menggunakan aplikasi yang terkenal iaitu Robinhood.

Baginya, tiada keistimewaan yang dimiliki oleh Cathie Wood melainkan mengumpul ramai duit pelabur dan mengenakan caj yang mahal berbanding dengan dana pelaburan yang lain.

Menurut pengkritik yang lain, Cathie Wood gemar melabur wang ke dalam sektor teknologi sedangkan beliau tidak mempunyai latar belakang di dalam bidang tersebut.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.