Sejarah Penubuhan Rolls-Royce Yang Terkenal Dalam Industri Automobil Dan Aeroangkasa

Sukar untuk kita melihat sebuah syarikat yang mampu menghasilkan barangan yang sangat berkualiti tinggi dan diterima pakai oleh hampir semua pelanggan mereka.

Apatah lagi jika syarikat tersebut menguasai dua industri yang berbeza dan kedua-dua industri tersebut mempunyai pelanggan yang berbeza.

Itulah keistimewaan yang dimiliki oleh jenama Rolls-Royce yang merupakan sebuah syarikat yang berprestij dan sangat terkenal.

Kredit Gambar: Car Base

Mungkin ramai di antara kita yang pernah melihat kereta Rolls-Royce di dalam kaca televisyen yang dinaiki oleh gologan VVIP terkenal. Tetapi mungkin ramai di antara kita tidak tahu bahawa Rolls-Royce ini juga menghasilkan enjin kapal terbang dan jet yang berkualiti tinggi.

Di antara pelanggan tetap yang menggunakan enjin jet buatan Rolls-Royce adalah Airbus dan juga dan pasukan ketenteraan negara-negara Eropah.

Kereta buatan Rolls-Royce pula adalah dalam segmen kereta yang sangat mewah dan mempunyai pelanggan mereka yang tersendiri. Berbanding dengan pesaingnya yang lain yang mengutamakan kelajuan, kereta buatan Rolls-Royce ini lebih mengutamakan keselesaan dan kemewahan.

Kereta keluaran mereka mempunyai aura tersendiri dan yang paling unik mengenai kereta ini adalah, kereta ini hampir sepenuhnya dibina menggunakan tangan manusia.

Permulaan Rolls-Royce

Kredit Gambar: Rolls-Royce

Rolls-Royce telah diasaskan oleh dua orang jurutera yang berasal dari England yang bernama Charles Stewart Rolls dan Frederick Henry Royce. Mereka mengasas syarikat ini pada tahun 1904 di bandar Manchester.

Pada ketika itu, kebanyakan syarikat kenderaan di Amerika Syarikat seperti Ford, mencipta kenderaan komersial untuk kegunaan orang ramai. Tetapi Rolls-Royce mencipta kenderaan bagi golongan yang berpendapatan tinggi.

Syarikat ini merupakan syarikat pertama yang menghasilkan kenderaan enam silinder pada tahun 1906.

Sambutan yang diterima begitu menggalakkan. Pada tahun 1914, Rolls-Royce mula menceburi bidang aeroangkasa dan ketika Perang Dunia Pertama berlaku, syarikat ini adalah pembekal utama enjin jet pejuang untuk Britain.

Peranan Rolls-Royce semakin ketara dan penting kepada Britain apabila tercetusnya Perang Dunia Kedua. Kehebatan teknologi enjin buatan syarikat ini telah berjaya menjadikan pasukan tentera udara Britain digeruni pihak lawan.

Selepas Perang Dunia Kedua tamat, perkembangan aeroangkasa mereka lebih ketara berbanding dengan automotif . Syarikat ini mula mencipta enjin jet untuk tujuan komersial.

Rolls-Royce Muflis Akibat Silap Percaturan

Antara enjin jet yang merupakan ciptaan agung buatan Rolls-Royce adalah enjin jet Concorde. Rolls-Royce merupakan syarikat yang  bertanggung jawab dalam menghasilkan jet penerbangan komersial yang sangat popular di era 1960-an.

Walaupun syarikat ini berjaya mencipta enjin jet terhebat di dunia pada ketika itu, Rolls-Royce tidak terlepas daripada membuat kesilapan.

Antara kesilapan yang terbesar pernah dilakukan oleh syarikat ini adalah apabila syarikat ini merebut kontrak untuk menghasilkan enjin jet penumpang untuk Lockheed L-1011 TriStar.

Syarikat tersebut merebut kontrak tersebut dan silap melakukan percaturan yang membawa kepada kemuflisan pada awal 1970-an.

Kredit Gambar: Rolls-Royce

Baca: Concorde, Ciptaan Terbaik Industri Penerbangan Yang Akhirnya Tersungkur

Kerajaan Britain terpaksa mengambil alih dan menyelamatkan Rolls-Royce. Pada dekad ini juga syarikat ini telah berpecah kepada dua bahagian, iaitu aeroangkasa dan automotif.

Bahagian automotif telah dijual kepada syarikat pelaburan Vickers PLC pada tahun 1980. Akhirnya pada tahun 1987, syarikat ini berjaya bangkit dan berdiri dengan sendiri tanpa bantuan kerajaan.

Kredit Gambar: Rolls-Royce

Pada tahun 1998, bahagian automotif Rolls-Royce telah dibeli oleh syarikat automotif terkenal Jerman iaitu BMW. Bahagian automotif Rolls-Royce di bawah BMW berkembang pesat dan menghasilkan kenderaan yang diminati oleh golongan kaya-raya.

Pada dekad terakhir yang lalu, jualan kenderaan Rolls-Royce telah meningkat dengan mendadak disebabkan ekonomi dunia berkembang dengan pesat sebelum berlakunya krisis pandemik ini.

Tahukah anda bahawa kita boleh beli saham BMW dan juga Rolls-Royce ini?

Sumber Rujukan: Britannica

First Step Melabur Di Wall Street

Dah lama pendam niat nak melabur saham di Wall Street?
Nak ada pegangan saham syarikat yang terkemuka di dunia seperti FacebookGoogleTesla dan banyak lagi?
Nak merasa buat duit ekstra dalam USD?

Kami tahu kebanyakan buku-buku yang dijual di pasaran adalah dalam Bahasa Inggeris dan susah nak difahami…

Jangan risau…

Demi followers yang disayangi, kami hasilkan e-book yang mudah difahami.

Tak kira anda pelabur baru atau lama, e-book ini memang sesuai untuk anda.

Dalam e-book ini, anda akan belajar:
• 3 indeks yang ada di Wall Street
• Cara pilih saham-saham yang berkualiti
• Cara pilih saham mengikut kriteria
• Teknik yang berkesan untuk beli saham Wall Street
• Cara menentukan saham patuh syariah atau tidak
 Kenali broker-broker yang ada untuk jual beli saham Wall Street
• Dua screener percuma

Dapatkannya sekarang di -> eBook Dari Malaysia Ke Wall Street

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.