Greg Abel, Bakal Pengganti Warren Buffett Di Berkshire Hathaway

“Setiap Yang Hidup Pasti Akan Merasai Mati”

Itulah hakikat yang perlu dihadapi oleh setiap daripada kita yang bernyawa.

Setiap kali perjumpaan tahunan yang dibuat oleh Berkshire Hathaway berlangsung, soalan yang sering bermain di minda para pemegang saham mereka adalah, “siapakah tokoh yang paling sesuai untuk menggantikan Warren Buffett dan Charlie Munger”?

Pertanyaan mereka itu bukanlah untuk meminta tokoh pelaburan terkenal ini meninggal dalam tempoh yang terdekat tetapi lebih kepada nasib yang bakal menimpa para pelabur saham di dalam Berkshire Hathaway.

Seperti yang kita tahu, saham Berkshire Hathaway Class A merupakan saham yang termahal di Amerika Syarikat dan sudah tentu para pelabur tidak mahu saham tersebut itu susut nilai bersama dengan pemergian tokoh itu pada masa hadapan.

Secara logik akalnya, kedua tokoh ini semakin hampir ke penghujung hayat mereka. Dengan usia yang telah mencecah lebih 90 tahun, maka persoalan ini perlukan jawapannya.

Di saat ini, ada dua orang tokoh sesuai yang bakal menggantikan Warren Buffett iaitu Greg Abel dan Ajit Jain.

Melihat kepada kedua-dua tokoh ini, ramai yang percaya bahawa Warren Buffett lebih berminat untuk menjadikan Greg Abel sebagai pengganti dirinya selepas kematiannya nanti.

Siapa Greg Abel?

Amat susah untuk kita dapatkan maklumat mengenai insan yang bernama Greg Abel ini kecuali semasa perjumpaan tahunan yang dilakukan oleh Berkshire Hathaway di Omaha.

Greg Abel merupakan seorang rakyat Kanada dan beliau dilahirkan dalam keluarga pertengahan di sana dengan bapanya merupakan seorang jurujual.

Beliau merupakan graduan dari Universiti Alberta pada tahun 1984 dalam jurusan peruncitan. Selepas tamat belajar, beliau telah berkerja sebagai seorang akauntan di PricewaterhouseCoopers.

Peranan Oleh Greg Abel Di Dalam Berkshire Hathaway

Kredit Gambar: Reuters

Kemudiannya beliau telah menyertai Berkshire Hathaway pada tahun 1999. Pada ketika itu, Berkshire Hathaway baru membeli MidAmerican Energy Company dan Berkshire Hathaway mengekalkan jawatan Greg Abel.

Sebelum ini, Warren Buffett telah melihat bakat Greg Abel sejak awal tahun 1990-an lagi dalam menguruskan syarikat yang berkaitan tenaga. Greg Abel ternyata mampu membawa keuntungan kepada MidAmerican Energy Company pada pertengahan tahun 1990-an.

Dari situ Warren Buffett telah melihat bakat yang ada pada Greg Abel dalam pengurusan dunia korporat.

Jawatan yang diopegang oleh Greg Abel dalam syarikat Berkshire Hathaway adalah vice president. Beliau kini mengurus anak syarikat Berkshire Hathaway dalam bidang tenaga.

Sepanjang pengurusannya, Berkshire Hathaway Energy telah berjaya mendapat jualan sebanyak USD20.8 billion dengan pekerja seramai 23,800 orang. Disebabkan kecemerlangan Greg Abel mengemudi syarikat, beliau telah dibayar bonus yang tinggi oleh Berkshire Hathaway.

Masa Depan Berkshire Hathaway Selepas Ketiadaan Warren Buffett Dan Charlie Munger

Selain daripada memiliki kemampuan dalam bidang pengurusan syarikat, Greg Abel juga seorang yang berintegriti. Sepanjang dua dekad bersama dengan Berkshire Hathaway, Warren Buffett mengenali Greg Abel dan mengatakan bahawa Greg Abel ini bukan insan yang mudah lupa apabila mempunyai wang yang besar.

Duit yang banyak tidak mampu untuk menggugat integriti yang dimiliki oleh Greg Abel. Ciri ini adalah begitu sukar untuk ditemui dalam seorang CEO pada zaman moden ini.

Sebelum ini, Berkshire Hathaway pernah mempunyai CEO yang tidak berintegriti iaitu David Sokol yang telah melakukan insider trading dalam syarikat Lubrizol pada tahun 2011.

Warren Buffett menegaskan bahawa para pemegang saham Berkshire Hathaway tidak perlu bimbang dengan ketiadaan mereka kerana pengganti mereka ini mempunyai pengalaman yang luar biasa dan hampir menyamai dirinya dan juga Charlie Munger.

Sumber Rujukan: CNBC

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.