Kisah Kejayaan Insan Istimewa Sukur Ibrahim

Kebanyakan daripada insan istimewa ini, ramai yang mampu untuk merealisasikan impian mereka jauh lebih hebat daripada kita, namun adakah anda mengenali beberapa nama yang hebat ini?

Antara insan istimewa yang boleh memberikan inspirasi kepada kita semua adalah Mohd Sukur Ibrahim yang sememangnya tidak pernah berputus asa dalam kehidupannya.

Kejayaan beliau adalah daripada semangatnya yang tidak pernah berputus asa. Selain itu, beliau juga tabah menghadapi segala ujian yang mendatang. Bagi entri kali ini, jom kami kongsikan kisah kejayaan Mohd Sukur Ibrahim kepada anda semua.

Gambar : Good Reads

Mohd Sukur Ibrahim merupakan pemenang Anugerah OKU Cemerlang Kebangsaan yang menjalankan perniagaan perkhidmatan membekal dan memasang karpet ‘wall-to-wall‘ masjid, pejabat dan sebagainya sejak tahun 2010 melalui syarikatnya, D Strike Solution. Bekas graduan Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini juga merupakan penceramah motivasi dan penasihat kewangan yang sangat hebat. Ceramahnya sering dikatakan memberi kesan yang mendalam oleh sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Gambar : Facebook

Selepas tamat pengajian di UKM, beliau dikatakan pernah terlibat dengan syarikat MLM. Dari situlah beliau mula memasang impian untuk menjadi jutawan walaupun telah gagal dengan syarikat yang disertainya. 

Bagi Mohd Sukur Ibrahim, beliau tidak pernah menyesal kerana pernah terlibat dengan MLM kerana baginya perkara tersebut telah menyedarkan beliau bahawa untuk jadi seorang yang  kaya bukanlah sesuatu yang mudah.

Selepas gagal dalam syarikat MLM yang disertainya ekoran telah dibubarkan, beliau tidak patah semangat dan meneruskan tekadnya untuk berjaya. Akibat kegagalan tersebut, keluarganya telah memujuknya untuk bekerja sebagai penjawat awam. Namun apa yang pasti, bukan senang untuk insan istimewa bersaing di sektor awam.

Selepas itu, beliau telah mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan tetapi sukar untuk mendapat sokongan 100% daripada keluarganya kerana gagal dalam beberapa perniagaan yang dilakukannya. Namun, azamnya yang tinggi telah membuatkan beliau untuk meneruskan kerjaya dalam bidang perniagaan. Selepas menjalankan empat perniagaan, barulah beliau mengecapi kejayaan yang diidam-idamkan olehnya.

Perniagaan pembekalan dan pemasangan karpet yang dijalankan oleh Mohd Sukur Ibrahim adalah merupakan perniagaan keempat yang dilakukan olehnya setelah gagal dalam tiga perniagaan sebelum ini. Beliau juga pernah membuka kedai dobi yang hanya bertahan selama 6 bulan. Selain itu, beliau juga pernah menjadi rakan kongsi syarikat hiasan dalaman.

Antara faktor utama kegagalan perniagaan yang dikongsikan oleh beliau adalah pengurusan kewangan yang lemah, perbelanjaan melebihi pendapatan dan pengetahuan yang cetek mengenai ilmu keusahawanan. Setelah membangunkan syarikat D Strike, beliau mengambil pengajaran daripada kegagalan yang telah berlaku sebelumnya. Pada awalnya, beliau bermula dengan modal yang minimum, mengurangkan perbelanjaan, hidup secara sederhana dan menyimpan wang adalah perkara pertama yang sering dilakukan oleh beliau.

Bagi beliau, menjadi usahawan adalah lebih mencabar daripada bekerja makan gaji dan menjadi usahawan OKU pastinya lebih mencabar. Namun, beliau percaya bahawa setiap cabaran yang dilalui olehnya pasti memberikan hasil yang manis. Apa yang pasti, kuncinya adalah bersabar dan terus mencuba walaupun pernah mengecapi kegagalan.

Kesimpulannya, kejayaan Mohd Sukur Ibrahim perlu menjadi inspirasi yang lebih tinggi untuk kita semua. Selain itu, janganlah dengan kejayaan bisnes yang dimiliki oleh insan-insan istimewa ini, kita sebagai insan yang normal mengambil kesempatan ke atas mereka. Ingatlah, apa yang membuatkan kita hidup dalam keredhaan Allah SWT adalah dengan memberikan sokongan dari segi segala aspek kepada insan-insan istimewa ini.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.