9 Idea Buat Duit Sambil Tidur Dengan Cara Yang Halal

Mesti seronok kalau sambil tidur pun boleh buat duit. Untuk jadi kaya ataupun hidup luar biasa, kita perlu tahu bagaimana untuk buat duit walaupun sedang tidur.

If you don’t find a way to make money while you sleep, you will work until you die. – Warren Buffett

Malah Warren Buffett, seorang pelabur terkenal yang bermula daripada kosong pun berkongsi mengenai kepentingan untuk buat duit walaupun sedang tidur.

Apa yang kami bakal kongsikan adalah beberapa cara praktikal di Malaysia yang boleh digunapakai untuk buat duit sambil tidur.

1. Buat Laman Web / Blog

Anda sudah semestinya banyak habiskan masa di internet bukan? Daripada habiskan masa melayari laman web orang lain, apa kata anda bangunkan laman web atau blog sendiri; dan biar orang lain pula yang layari laman web anda.

Tapi bagaimana nak bangunkan laman web? Konsep apa pula yang sesuai?

  1. Pertama sekali, anda boleh guna aplikasi percuma seperti WordPress untuk bantu anda bangunkan laman web. Boleh belajar lagi tentang WordPress di group Facebook Kedai Kopi WordPress.
  2. Kedua, anda perlu mempunyai hosting, search mana-mana hosting yang percuma atau murah sebagai permulaan.
  3. Ketiga, apa yang anda minat untuk baca ketika di internet? Adakah isu kekeluargaan? Kereta? Smartphone? Apps? Apa yang penting anda tulis ikut hobi anda atau minat, barulah tak terasa penat untuk bangunkan laman web anda tadi.

Dah ada laman web, barulah boleh masukkan iklan. Dah ada iklan, barulah boleh buat duit sambil tidur. Lagi ramai pelawat ke laman web anda, lebih banyak anda akan dapat. Antara penyedia perkhidmatan ini adalah Google Adsense, Innity dan Facebook.

2. Buat Video YouTube

Samada anda sedar atau tidak, YouTube telah berjaya mencipta ramai jutawan. Anak-anak kecil pun cukup suka menonton video di YouTube, apatah lagi orang dewasa macam kita.

Kalau #1 tadi anda perlu tahu serba sedikit teknologi IT untuk bangunkan lawan web, hosting, menulis dan sebagainya; kini anda hanya perlu ‘berlakon’ dan kemudian upload ke YouTube.

Anda suka nampak cantik? Cuba buat tutorial memakai make up supaya orang lain boleh belajar daripada anda.

Anda suka buat kek? Cuba buat video mengenai langkah-langkah untuk buat kek moist tangkap leleh.

Konsepnya sama saja, semakin ramai yang menonton video YouTube anda; lebih banyak dapat buat duit sambil tidur. Nasihat kami, janganlah diambil atau bahasa kasarnya curi video orang lain dan upload di YouTube tanpa rasa berdosa.

3. Melabur Dekat Pasaran Saham Bursa Malaysia

Saham IPO

Pasaran saham Bursa Malaysia adalah merupakan lubuk emas yang tidak diketahui ramai. Tapi alhamdulillah sejak banyak seminar pelaburan saham dianjurkan oleh badan berautoriti di serata Malaysia, masyarakat mula celik dan memulakan langkah untuk melabur atau berdagang dalam saham.

Sebagai pemegang saham, walaupun anda tidak memainkan peranan dalam syarikat yang anda labur, anda tetap menjadi sebahagian daripada pemilik syarikat dan buat duit menerusi kenaikan harga saham dan dividen.

Kalau selama ini kita sudah terbiasa dengan dividen sebanyak 6-8% setahun yang diberikan Amanah Saham Bumiputera, pulangan 6-8% sebulan adalah tidak mustahil dalam pasaran saham.

Tak percaya? Rajin-rajinlah baca artikel yang kami sediakan untuk membuka mata tentang dunia saham yang sah dan patuh syariah di Bursa Malaysia:

Baca juga Senarai Sifu-Sifu Saham & Kewangan Di Malaysia

4. Jual Barang Online

Trend online shopping semakin mendapat tempat di Malaysia, dengan adanya laman web seperti Lazada, Shopee, 11Street, Lelong, Mudah, Carousell dan sebagainya.

Cakap je nak apa, mesti jumpa punya. Daripada anda menjadi seorang pembeli, apa kata anda menjadi seorang penjual online pula.

5. Berniaga Vending Machine

Anda biasa nampak mesin jual air? Jika anda dapat cari lokasi yang menarik dan menjadi tumpuan orang ramai, pastinya ianya sangat menguntungkan. Selain daripada air kosong, ada juga mesin jual air tin, jual keropok dan sebagainya.

Dan untuk pengetahuan, di negara maju seperti Jepun – nak beli apa pun boleh menerusi vending machine ini. Cuma pilih apa yang anda nak, bayar melalui telefon, dan ianya akan dihantar terus ke pintu rumah anda.

Bilalah agaknya Malaysia nak buat macam ni kan?

6. Buat Aplikasi Mobile

Rakyat Malaysia merupakan di antara pengguna telefon pintar tertinggi di dunia. Dah ada telefon pintar, mestilah guna banyak apps. Facebook, WhatsApp, Telegram, Angry Birds, Clash of Clans dan sebagainya.

Dan kebanyakan daripada aplikasi ini adalah percuma. Tetapi kalau anda perasan, selang beberapa ketika anda pasti disajikan dengan iklan. Kalau anda minat, anda akan klik iklan tersebut; kalau tak minat anda pasti akan tekang butang ‘X’.

Melalui pengiklanan inilah boleh buat duit sambil tidur. Lagi ramai orang download, install dan guna aplikasi anda; lagi banyak iklan akan disiarkan; lagi banyak duit anda akan dapat.

7. Tampal Iklan Dekat Kereta

Biasa nampak iklan di bas-bas komersial, teksi dan juga di kereta Grab dan Uber? Tapi tahu tak kereta peribadi anda pun boleh digunakan untuk buat duit menerusi pengiklanan.

Salah satu contoh penyedia perkhidmatan ini adalah Moola. Sambil anda memandu, sambil itu anda akan dibayar. Tahu-tahu je hujung bulan duit masuk.

8. Sewakan Bilik

Anda beli rumah 3 bilik tapi duduk bersendirian? Atau sememangnya beli rumah untuk pelaburan? Daripada menyewa rumah dengan harga RM700 sebulan, lebih baik sekiranya sewakan kepada 3 orang dengan harga RM300 sebilik. Master Bedroom biasanya boleh sewa mahal sikit, RM400 ke. Jadi dapatlah RM1,000 sebulan untuk 3 bilik.

Tapi tengok tempat jugalah, tapi kalau dah beli rumah untuk pelaburan; anda pasti dah buat homework dulu kan sebelum beli?

Boleh juga buat sewa dengan Airbnb . Bayangkan anda sewa hotel guna online, tetapi kali ini orang ramai boleh sewa rumah/bilik anda guna online juga. Kini anda buat duit sambil orang lain tidur di rumah anda pula.

9. Setelkan Semua Hutang

Eh, apa kena mengena langsaikan hutang dengan buat duit sambal tidur? Jawapan mudahnya. Sekiranya anda berhutang, sudah pasti ianya datang dengan faedah. Dan faedah ini yang membebankan sebenarnya.

Jadi pastikan anda melangsaikan semua hutang anda terlebih dahulu, supaya tidak rugi setiap bulan. Malah ada bank yang akan reward pelanggan yang bayar hutang dengan segera.

Cara ini dianggap lain daripada yang lain, tetapi masih merupakan cara untuk buat duit sambal tidur.

Rezeki Allah ada di mana-mana sahaja, yang penting kita kena ada ilmu, usaha dan adakalanya kita perlu menjadi kreatif. Duit memang tak boleh dibawa mati tetapi tak ada duit rasa nak mati.

Sumber rujukan: bornrealist.com

Previous ArticleNext Article

2 Comments

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.