7 Cara Jana Pendapatan Segera Selepas Raya

Sedar tak, ramai dalam kalangan sahabat atau orang sekeliling kita yang mengalami masalah kewangan akibat perbelanjaan yang tidak terkawal?

Usah risau, sebenarnya terdapat beberapa cara untuk menjana pendapatan segera selepas raya.

Setelah sebulan berpuasa, akhirnya kita telah menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dinanti-nanti. Walaupun sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara kita sangat meriah, tidak mustahil sebenarnya ia telah menyebabkan kewangan kita sedikit terjejas. Jadi, tibalah masa untuk kita memulihkan balik keadaan kewangan selepas raya!

Baiklah, di sini kami kongsikan cara untuk menjana pendapatan segera selepas raya.

1. Menjual Makanan

Cara terbaik untuk menjana pendapatan segera selepas raya adalah dengan menjual makanan. Menjual makanan adalah cara paling mudah untuk menjana pendapatan segera. Cuba anda fikir, siapa yang tidak suka makan, asalkan sedap dan menarik, pasti ia laku keras.

Jika anda mempunyai hobi memasak, ini adalah cara jana pendapatan segera yang terbaik untuk anda. Apa yang penting, makanan tersebut haruslah memenuhi citarasa pelanggan kerana mahal macam mana sekalipun, ia pasti akan laku. 

Zaman kini, pelanggan biasa lebih gemarkan makanan yang unik dan anda perlulah berfikir di luar kotak untuk menghasilkan makanan yang sedap namun unik menarik.

 2. Menjual Kraftangan

Selain itu, anda juga boleh menjana pendapatan segera selepas raya dengan menjual kraftangan. Bagi anda yang berbakat dalam menghasilkan kraftangan, ini adalah peluang anda menjana pendapatan segera selepas raya. Perlu diketahui bahawa tidak semua orang mampu dan tahu menghasilkan kraftangan yang cantik. Ia adalah anugerah yang diberikan oleh Allah SWT.

Penting dalam menghasilkan kraftangan adalah ia memerlukan sedikit tenaga, masa dan kos yang murah. InsyaAllah, anda boleh menarik pembeli dengan ramai sekiranya anda menghasilkan kraftangan yang cantik. 

Kini, anda boleh menunjukkan hasil kerja kraftangan anda di laman sosial dengan mengambil gambar dan juga membuat video.

3. Penulis Bebas

Menjadi penulis bebas juga antara cara jana pendapatan segera selepas raya yang terbaik. Jika anda berminat untuk menjadi penulis bebas, ini adalah masa untuk anda mencubanya. Kini pekerjaan sebagai penulis bebas telah mula menular di Malaysia dan hasil pendapatannya juga amat berbaloi. Selain menjadi penulis blog dan sosial media, anda juga boleh menjadi penulis novel.

Menjadi penulis bebas memerlukan kemahuan yang tinggi untuk belajar, bakat, konsistensi dan kerajinan yang tinggi. Jangan sia-siakan bakat anda jika anda mempunyai ciri-ciri seperti ini.

Berminat dalam bidang penulisan? Nak jadi sebahagian daripada team Majalah Labur? Sertai kami sekarang!

4. Pemandu e-Hailing

Anda juga boleh menjana pendapatan segera selepas raya dengan menyediakan servis pemandu kenderaan. Kini, servis pemandu kenderaan telah menjadi keperluan utama masyarakat di Malaysia. Anda boleh memilih untuk menjadi pemandu secara sambilan ataupun sepenuh masa. 

Menarik lagi, sekiranya anda mempunyai waktu pekerjaan yang fleksibel, ia adalah satu kelebihan yang patut anda manfaatkan. Bayangkan jika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, anda juga boleh menyediakan servis pemandu kenderaan.

5. Mengasuh Kanak-Kanak

Bagi anda yang menjadi suri rumah dan mempunyai waktu terluang, anda boleh mengambil upah untuk mengasuh kanak-kanak. Kini, kebanyakan ibu bapa bekerja dan mereka pasti memerlukan orang yang boleh dipercayai untuk menjaga anak-anak. 

Perkara yang perlu dititik beratkan dalam mengasuh kanak-kanak adalah keselamatan mereka. Jika anda suka kanak-kanak, pandai jaga kanak-kanak dan sesuai dengan keadaan anda, anda boleh jana pendapatan segera selepas raya dengan cara ini. Pastikan anda mempunyai lesen yang sah!

6. Menyediakan Kelas Tuisyen

Guru tuisyen sentiasa diperlukan oleh ibu bapa untuk memastikan pendidikan anak-anak mereka cemerlang. Jika anda mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, ini adalah salah satu cara jana pendapatan segera selepas raya yang sesuai untuk anda. 

Tidak semestinya anda perlu memiliki ijazah dalam pendidikan untuk menyediakan kelas tuisyen, tetapi cukup sahaja jika anda pakar dalam subjek tertentu.

Anda juga harus mempunyai kesabaran yang tinggi, mengambil berat dan bersedia membantu pelajar yang menyertai kelas tuisyen anda.

7. Jurugambar

Cara jana pendapatan segera selepas raya juga adalah menjadi jurugambar. Jika anda berbakat dalam bidang fotografi, pastinya cara ini sesuai untuk anda. Untuk menjadi jurugambar, anda tidak memerlukan kamera digital yang mahal. 

Dalam bidang ini, apa yang diperlukan hanyalah kemahiran dan teknik menangkap gambar yang betul. Kamera telefon bimbit pada masa kini juga sudah memadai untuk memulakan kerjaya sebagai jurugambar kerana ia telah dicipta dengan teknologi yang canggih berbanding zaman dahulu.

Sebagai penutup untuk entri ini, cara jana pendapatan segera selepas raya di atas sememangnya mampu memberikan pulangan yang cepat. Namun hal yang perlu diutamakan adalah minat yang mendalam kerana tanpa minat, pasti ia akan terhenti di tengah jalan. 

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda semua.

Jemput baca juga artikel ini:

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, tahun 2021 ini kami terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Buku Malaysia Melabur Saham ini juga boleh dibeli di Shopee!

Previous ArticleNext Article

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.