TNG, Shell Jangka 200 Stesen Minyak Shell Akan Dilengkapi Dengan Penyelesaian TNG RFID Menjelang Akhir Tahun

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) — Touch ‘n Go (TNG) Group dan Shell Malaysia menjangka 200 stesen minyak Shell di seluruh negara akan dilengkapi dengan penyelesaian pengenalan frekuensi radio (RFID) tanpa tunai baharu untuk bahan api menjelang akhir tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Group Effendy Shahul Hamid berkata setakat ini, penyelesaian itu boleh didapati di 88 stesen minyak Shell di seluruh negara.

“Pengalaman tanpa tunai baharu ini dijangka meningkat dua kali ganda menjelang akhir tahun. Kami amat berbesar hati kerana dapat meningkatkan penggunaan RFID selain tol jalan raya.

“Pelanggan kini boleh membuat pembayaran di stesen minyak Shell tanpa memerlukan sebarang interaksi dengan aplikasi di telefon mudah alih mereka atau melalui sistem tempat jualan berikutan pembayaran dibuat melalui TNG RFID,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran perkhidmatan itu di sini hari ini. 

Mengenai masa depan, katanya kedua-dua pihak merancang untuk memperluas penyelesaian RFID kepada 50 peratus daripada stesen minyak Shell di Semenanjung Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata lebih 22,000 pengguna TNG RFID memilih penyelesaian RFID di stesen minyak Shell sebelum pelancaran rasminya dan menjadi bukti bahawa penyelesaian itu membawa keberkesanan dalam pasaran.

Effendy berkata gabungan RFID dalam infrastruktur e-dompet membolehkan syarikat mengkaji penggunaan lain melalui RFID.

Pengurus Besar Mobiliti Shell Malaysia dan Singapura Seow Lee Ming berkata pada masa ini, hanya dua ruang TNG RFID disediakan di setiap stesen minyak Shell.

“Jika kadar penggunaannya tinggi serta permintaan dan aliran trafik adalah baik, kami akan memperluas penyelesaian RFID di semua ruang di stesen minyak kami.

“Tumpuan kami ialah membolehkan lebih ramai pengguna RFID di lebih banyak stesen minyak dan jika terdapat stesen minyak tertentu mempunyai aliran trafik yang tinggi, kami akan menambah ruang RFID,” katanya.

Beliau berkata Shell Malaysia dan TNG mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap penyelesaian RFID berdasarkan permintaan yang menggalakkan dalam projek perintisnya.

“Sejajar dengan komitmen kami untuk menjadikan perjalanan harian pelanggan kami lebih lancar melalui penawaran inovasi menggunakan teknologi RFID, kami berusaha untuk menyepadukan TNG RFID dengan rakan kongsi setia kami, BonusLink, membolehkan pelanggan mendapat mata kesetiaan dengan mudah dengan setiap pembelian minyak,” katanya.

Bagi menggunakan TNG RFID di stesen minyak Shell, pelanggan memerlukan TNG RFID dipautkan ke akaun TNG eWallet mereka dan pelanggan hanya perlu meletakkan kenderaan mereka di ruang pengisian minyak menggunakan RFID yang ditetapkan. 

Kenderaan akan dikesan dalam tempoh beberapa saat dan pembayaran akan didebit secara automatik daripada TNG eWallet pelanggan. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/tng-shell-jangka-200-stesen-minyak-shell-akan-dilengkapi-dengan-penyelesaian-tng-rfid-menjelang-akhir-tahun/

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian