Zurich Malaysia Tingkatkan Usaha Untuk Tawarkan Pelanggan Lebuhraya PLUS Ketenangan Fikiran

Kuala Lumpur, 1 September 2022 – Zurich Malaysia (Zurich) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bekerjasama bagi memperluaskan perlindungan mobiliti jalan raya melalui penawaran perkhidmatan kepada pelanggan Lebuhraya PLUS, dan seterusnya menambah perkhidmatan yang disediakan syarikat konsesi lebuh raya tersebut. Langkah ini adalah sebahagian daripada inovasi Zurich untuk memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan semasa dalam perjalanan melalui pelan-pelan takaful yang direka khusus. Produk pertama yang diperkenalkan di bawah kerjasama Zurich dan PLUS ini ialah Z-ProMiles Takaful.

“Z-ProMiles Takaful ditawarkan kepada ahli PLUSMiles (program ganjaran PLUS) yang menyediakan Faedah Akibat Kesulitan, Penginapan Hotel dan Elaun Penggantian Kereta sekiranya pelanggan memerlukan perlindungan tambahan semasa dalam perjalanan menggunakan Lebuhraya PLUS. Manfaat ini adalah tambahan kepada manfaat kematian akibat kemalangan, hilang upaya kekal akibat kemalangan dan pendapatan hospital akibat kemalangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful, Shamsul Azman.

Menurut Shamsul, Z-ProMiles Takaful ini mudah diakses dan menyediakan perlindungan semasa dalam perjalanan yang membolehkan pelanggan Lebuhraya PLUS yang juga ahli PLUSMiles untuk memilih pelan perlindungan yang sesuai dengan keperluan dan belanjawan mereka.

Tambah Shamsul, “Setiap nyawa amat berharga. Banyak nyawa dipertaruhkan di jalan raya setiap hari, dan perkara terbaik yang boleh dilakukan ialah dengan melindungi diri dan orang tersayang selain berhati-hati ketika dalam perjalanan. Sebagai pengguna jalan raya, kami memahami kegusaran pelanggan jika berlaku kejadian yang tidak diingini ketika berada di jalan raya. Perlindungan kenderaan bermotor adalah pelan jaminan bagi mod pengangkutan kita, tetapi kebanyakan orang tidak dilindungi daripada kejadian yang tidak dijangka seperti apabila berlakunya kerosakan kenderaan di lebuh raya.”

“Zurich komited untuk mengurangkan cabaran yang dihadapi oleh pengguna jalan raya sebagai salah satu tanda prihatin kami terhadap pelanggan. Melalui kerjasama dengan PLUS, kami boleh memperkenalkan produk takaful ini melalui aplikasi digital yang mudah. Ini membantu memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan apabila menggunakan rangkaian Lebuhraya PLUS.”

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail pula berkata, “Keselamatan dan keselesaan pelanggan lebuh raya adalah keutamaan kami. Kami sentiasa berusaha dalam menyediakan perkhidmatan dan kemudahan nilai tambah bagi membolehkan perjalanan yang selesa ketika di lebuh raya kami. PLUS berpegang kepada prinsip keselamatan jalan raya 3E kami, iaitu Engineering, Enforcement and Education (Kejuruteraan, Penguatkuasaan dan Pendidikan). Pada masa yang sama, kami sentiasa mencari rakan strategik dan usaha sama bagi membantu meningkatkan nilai kepada pelanggan kami.”

“PLUS memacu keselamatan jalan raya melalui pasukan rondaan lebuh raya kami, PLUSRonda, Pusat Pemantauan Trafik, audit keselamatan jalan raya berkala, serta penglibatan dan kerjasama berterusan dengan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” tambahnya.

“Kami berbesar hati apabila Zurich Malaysia berkongsi matlamat kami untuk menyediakan lebih banyak kemudahan kepada pelanggan lebuh raya. Kerjasama ini melengkapkan usaha kami untuk menjadikan lebuh raya kami lebih selamat dan ianya akan memanfaatkan rakyat Malaysia,” kata Datuk Azman.

Untuk memohon perlindungan Z-ProMiles Takaful, pelanggan Lebuhraya PLUS boleh mendaftar sebagai ahli PLUSMiles melalui Aplikasi PLUS atau layari portal https://pluscare.plus.com.my dan sertai pelan perlindungan Z-ProMiles Takaful.

“Perlindungan Z-ProMiles Takaful meliputi kejadian trafik tertentu di lebuh raya kendalian PLUS iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), dan Jambatan Pulau Pinang,” jelas Shamsul.

“Ini adalah kerjasama pertama kami dengan PLUS. Kami sangat teruja untuk menawarkan lebih banyak produk baharu dan usaha sama lain pada masa depan,” tambahnya.

Previous ArticleNext Article

Cabaran RIFAR Yang Diterajui Belia Oleh SC Untuk Memacu Kesedaran Dan Inovasi Bagi Sungai-Sungai Di Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan River Flooding Adaptation & Resilience (RIFAR) Challenge untuk memperkasakan golongan muda supaya menyumbang idea dan tindakan yang dapat memperkukuh ketahanan sungai-sungai di Malaysia.

Inisiatif ini merupakan kerjasama dengan rakan strategik dalam penglibatan universiti, pelaksanaan dunia sebenar langkah mitigasi banjir dan kepakaran teknikal dalam ketahanan serta kelestarian sungai. Rakan-rakan tersebut ialah:

  1. ICAEW Malaysia
  2. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
  3. Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) – pemaju induk projek Selangor Maritime Gateway (SMG)
  4. Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC)

Pertandingan seluruh negara ini menjemput pelajar universiti untuk membantu menangani ancaman banjir sungai yang semakin meningkat melalui dua kategori berbeza:
▪ The Sprint: Laluan kesedaran yang memfokuskan komunikasi kreatif, bagi meningkatkan kesedaran awam dan tindakan komuniti mengenai kesihatan sungai di Malaysia.
▪ The Marathon: Laluan inovasi pelbagai disiplin di mana pasukan membangunkan intervensi mitigasi banjir untuk Taman Sri Muda. Penyelesaian menggabungkan konsep kejuruteraan dengan pelan pembiayaan pasaran modal serta manfaat sampingan iklim yang boleh diukur, seperti tenaga boleh diperbaharui.

RIFAR merupakan sebahagian daripada inisiatif Transition, Resilience & Adaptation in Capital Markets (TRAC) oleh SC. Ia selaras dengan objektif lebih luas SC untuk memperkukuh peranan pasaran modal dalam menggerakkan pembiayaan bagi peralihan iklim, adaptasi dan ketahanan, seperti yang digariskan dalam Capital Market Masterplan 2026-2030.

RIFAR ialah cabaran adaptasi dan ketahanan iklim kedua SC, meneruskan kejayaan besar Coastal Flooding Adaptation & Resilience (COFAR) Challenge yang diadakan pada 2025. Inisiatif ini melibatkan 220 pelajar dari 29 universiti untuk membangunkan penyelesaian adaptasi bagi Pulau Carey, Selangor.

Bercakap semasa webinar pelancaran RIFAR Challenge, Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata sungai berada di pusat cabaran adaptasi iklim Malaysia.

“Sungai ialah sistem peredaran negara ini, membekalkan 80% bekalan air mentah negara dan mengalir melalui koridor ekonomi paling penting kita.”

“Pasaran modal menilai idea yang bukan sahaja kukuh dari segi teknikal tetapi juga berdaya maju dari segi kewangan. Selepas kejayaan COFAR, kami yakin pelajar universiti Malaysia boleh menyumbang kepada penyelesaian bersepadu yang diperlukan untuk lembangan sungai kita,” katanya.

RIFAR Challenge menawarkan jumlah hadiah wang tunai RM50,000 untuk kategori Marathon dan RM7,000 untuk Sprint. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar dari semua universiti awam dan swasta di Malaysia, serta rakyat Malaysia yang belajar di universiti luar negara.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari: www.sc.com.my/trac/rifar-challenge
Pendaftaran ditutup pada 12 Mei 2026.