Jualan Proton Cecah 100,000 Unit Pada Akhir Sept 2022

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) —  Pengeluar kereta nasional  Proton Holdings Bhd telah melepasi 100,000 pencapaian jualan pada suku ketiga tahun ini, dengan 102,353 unit dijual dalam sembilan bulan pertama 2022, melonjak 40.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata ia mempamerkan satu lagi bulan jualan domestik dan eksport yang kukuh pada September dengan sejumlah 14,872 unit, menyaksikan jualan bagi suku ketiga 2022 kepada 42,229 unit, menjadikan ia suku terbaik setakat tahun ini dan sekali gus membantunya melepasi satu benteng pencapaian yang penting.

“Ia merupakan tahun keempat berturut-turut sasaran 100,000 unit telah dicapai dan pada tahun ini, ia berlaku dua bulan lebih awal daripada tahun 2021. 

Berbanding pesaingnya, Proton kekal di tempat kedua dalam jadual jualan dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 23.8 peratus untuk bulan September

“Keseluruhan Jumlah Volum Industri (TIV) bagi September dianggarkan menyusut kepada kira-kira 62,500 unit, jumlah keempat terbaik tahun ini yang mana pasaran automotif Malaysia dijangka mencatat tahun jualan terbaiknya,” tambah kenyataan itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Abdullah berkata prestasi suku ketiga 2022 Proton dicapai hasil gabungan kestabilan dalam pengeluaran serta daya tarikan berterusan modelnya, terutamanya Proton Saga 2022 dan Proton X50.

“Oleh itu, walaupun permulaan tahun ini lemah, kami yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan dua digit bagi tahun keempat berturut-turut,’’ ujar beliau.

Selain memberi tumpuan pada pertumbuhan jualan, Roslan berkata suku terakhir juga menyaksikan Proton membina asas untuk pertumbuhan masa depannya.

“Perjanjian Pengedaran Am dengan Automobile Co menetapkan kami untuk menjual kenderaan elektrik daripada jenama itu bermula pada tahun 2023 manakala pembentukan PRO-NET membuktikan komitmen Proton untuk membangunkan dan menawarkan kenderaan tenaga baharu pada masa hadapan,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/jualan-proton-cecah-100000-unit-pada-akhir-sept-2022/

Previous ArticleNext Article

Monee Perkenal SFinancing-i Kepada Semua Pengguna Shopee Dengan Pembiayaan Digital Patuh Syariah

Monee Capital Malaysia Sdn. Bhd. (Monee) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi SFinancing-i, iaitu penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini dibuka kepada semua pengguna Shopee* di Malaysia. Direka untuk memberikan lebih fleksibiliti kewangan, SFinancing-i membolehkan pengguna mengakses pembiayaan tunai segera dengan mudah terus melalui aplikasi Shopee.

Dengan pembiayaan sehingga RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan, SFinancing-i direka untuk membantu memenuhi keperluan kewangan peribadi pengguna melalui pengalaman yang mudah dan lancar secara digital. Pengguna yang diluluskan boleh mengeluarkan dana serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay Wallet, tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar sebarang yuran pengaktifan.

Sempena pelancaran ini, pengguna yang mengaktifkan dan membuat permohonan pembiayaan pertama akan menikmati promosi istimewa kadar bulanan 1%* untuk tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan.

Dikuasai oleh Monee Capital Malaysia dengan kerjasama Sedania As Salam Capital, serta disahkan oleh Masryef Advisory, SFinancing-i dibangunkan berasaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah (Tawarruq). Ia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang telus dan mudah diakses, selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Ciri-ciri utama SFinancing-i termasuk:

  • Pembiayaan sehingga RM20,000
  • Tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan
  • Pengeluaran tunai segera ke akaun bank atau ShopeePay Wallet
  • Kadar bulanan 1% untuk permohonan pembiayaan pertama
  • Proses permohonan 100% digital tanpa dokumen pendapatan
  • Tiada yuran pengaktifan

Pengguna yang layak boleh mengaktifkan SFinancing-i terus melalui tab “Saya” di aplikasi Shopee. Perkhidmatan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.

Bagi pengguna yang memerlukan jumlah pembiayaan lebih tinggi, Monee turut menawarkan SFinancing-i Xtra, iaitu penyelesaian pembiayaan bertempoh yang menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak**, dengan kadar bulanan serendah 0.75%.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DI SINI.

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

**SFinancing-i Xtra pada masa ini hanya tersedia untuk pengguna terpilih sahaja.