Perakuan Akaun Muktamad Akan Dikeluarkan Setelah Kesemua Tuntutan Bayaran Akhir KPK Diperhalusi Dan Diperakui – Prolintas

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) — Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), yang telah siap sepenuhnya, kini berada dalam tempoh liabiliti kecacatan dan perakuan akaun muktamad akan dikeluarkan setelah kesemua tuntutan bayaran akhir pihak Kontraktor Pakej Kerja (KPK) diperhalusi dan diperakui oleh pihak Turnpike Synergy Sdn Bhd, perunding dan KPK.

Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (PLDASH) merupakan syarikat pemegang konsesi DASH manakala Turnpike adalah kontraktor utama yang dilantik oleh PLDASH untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan DASH. 

PLDASH dan Turnpike merupakan anak syarikat milik penuh Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).

Dalam kenyataan hari ini, Prolintas berkata sebarang tuntutan, dakwaan tunggakan atau pertikaian akan diperhalusi melalui proses yang telah termaktub dalam kontrak di antara kesemua pihak termasuklah proses timbang tara di antara pihak Turnpike dan KPK.

“Kerja-kerja pembinaan DASH telah diagihkan kepada lapan KPK oleh Turnpike melalui proses tender terbuka. KPK selanjutnya melantik pelbagai sub-kontraktor dan pembekal bagi tujuan menyiapkan kerja-kerja pembinaan tersebut.

“Pihak Turnpike membuat bayaran kepada KPK selepas mendapat perakuan dan pengesahan daripada Perunding Jurutera Utama dan Perunding Juurukur Bahan (Perunding) melalui Sijil Perakuan Interim Pembayaran.

“Segala tuntutan daripada KPK disemak, diteliti dan disahkan melalui proses yang telus serta berpandukan terma-terma kontrak mengikut peratusan kerja yang disiapkan,” katanya.

Prolintas berkata demikian merujuk kepada isu berkaitan dakwaan sub-kontraktor terdapat tunggakan bayaran sebanyak RM80 juta dalam menyiapkan projek Lebuhraya DASH.

Menurut syarikat, pihak Turnpike telah melaksanakan kewajipan sebagai kontraktor utama yang bertanggungjawab dengan membuat bayaran ke atas segala tuntutan yang diperakukan, disahkan dan dipersetujui bersama oleh KPK dan perunding tersebut.

Katanya pihak Turnpike juga telah mengambil pelbagai inisiatif dalam membantu KPK termasuk pembayaran dalam tempoh 30 hari berbanding terma kontrak 60 hari; pembayaran terus kepada sub-kontraktor tertakluk kepada kebenaran daripada KPK dan pembayaran dua kali sebulan untuk membantu aliran tunai KPK dan sub-kontraktor untuk melaksanakan pembinaan lebuhraya DASH dengan jayanya. 

Sekiranya pihak sub-kontraktor atau mana-mana pihak mendakwa terdapat bayaran yang masih belum dijelaskan oleh pihak KPK, Prolintas berkata pihak sub-kontraktor tersebut sewajarnya merujuk kepada terma-terma kontrak di antara KPK dan sub-kontraktor tersebut bagi mencari jalan penyelesaian.

“Pihak Turnpike pada setiap masa komited untuk menyelesaikan sebarang isu dan pertikaian berpandukan terma-terma kontrak dan piawaian tadbir urus korporat yang telus,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/perakuan-akaun-muktamad-akan-dikeluarkan-setelah-kesemua-tuntutan-bayaran-akhir-kpk-diperhalusi-dan-diperakui-prolintas/

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian