TTM Lancar Traktor Terminal Elektrik Berkuasa Bateri Penuh Pertama Di Malaysia

JOHOR BAHRU, 29 Nov (Bernama) — Terberg Tractors Malaysia Sdn Bhd (TTM), usaha sama di antara Sime Darby Industrial dengan Royal Terberg Group BV berpangkalan di Netherlands telah melancarkan traktor terminal elektrik berkuasakan bateri penuh yang pertama di Malaysia, YT200EV.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TTM, Boo Wei Ching berkata YT200EV yang dikeluarkan di peringkat tempatan di kemudahan pembuatan dan pemasangan TTM di Pasir Gudang di sini akan tersedia untuk diedarkan menjelang awal bulan depan.

“Menerusi traktor terminal baharu ini, TTM menyasarkan untuk menggandakan kapasiti pengeluaran kami di Malaysia daripada 600 unit traktor terminal bagi memenuhi jangkaan permintaan daripada pelanggan sedia ada dan baharu dalam segmen pasaran baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“TTM telah melabur lebih RM10 juta untuk menaik taraf infrastruktur semasa yang akan membolehkan pertambahan output bagi menampung jangkaan permintaan,” katanya ketika majlis pelancaran YT200EV di Terberg Manufacturing and Assembly Sdn Bhd di sini hari ini.

Hadir sama CEO kumpulan Sime Darby Bhd Datuk Jeffri Salim Davidson dan Ahli Lembaga Penyeliaan Royal Terberg Group, George J M Terberg.

Pada majlis sama, TTM turut menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai pengeluar traktor terminal elektrik penuh pertama di negara ini susulan pelancaran YT200EV.

Boo berkata traktor terminal YT200EV dihasilkan untuk kegunaan industri perkapalan dan logistik, menyokong pergerakan kargo dan kontena di terminal kontena dan memberikan manfaat kepada pusat pengedaran, gudang, kemudahan penerimaan, depot antara mod dan loji perindustrian bagi pirau dan pengendalian perkemasan.

“Tidak seperti traktor yang sering digunakan, traktor terminal YT200EV didatangkan dengan alat ganti bergerak yang tidak banyak disebabkan ciri-cirinya sebagai EV, justeru, pelanggan tidak perlu bimbang mengenai haus dan lusuh serta kos penyelenggaraan,” katanya.

Boo berkata sebagai antara pengeluar traktor terminal terkemuka di Asia Pasifik, TTM yakin keluaran terkini dalam industri itu akan menjadi langkah penting untuk melengkapkan aspirasi hijau rantau ini dengan menyemaikan amalan kelestarian.

“Sebagai peneraju industri, kami rasa ini tanggungjawab kami untuk memainkan peranan aktif kepada penyelesaian untuk memerangi perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata, selain mengurangkan pelepasan karbon, traktor terminal YT200EV akan mengecilkan kos operasi yang ketara membabitkan diesel dan bahan api fosil lain yang digunakan terhadap traktor terminal atau trak konvensional.

“Kami yakin manfaat ini boleh dikongsi dengan lebih banyak sektor, melebihi pelabuhan dan logistik, mewujudkan impak besar daripada amalan mesra alam sekitar di seluruh industri,” katanya.

 — BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/ttm-lancar-traktor-terminal-elektrik-berkuasa-bateri-penuh-pertama-di-malaysia/

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.