Diamond Dotz Dari Australia Buka Gedung Konsep Pertama Di Dunia Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) — Diamond Dotz, jenama seni faset berlian terulung yang diasaskan di Australia, menjangka mencatat keuntungan 20 hingga 25 peratus daripada pelancaran gedung konsep pertamanya di dunia di Pavilion Bukit Jalil di sini.

Seni faset berlian, atau lebih dikenali sebagai lukisan berlian, merujuk kepada proses menenangkan menggunakan berlian, yang diperbuat daripada permata resin kecil, pada kain pelekat yang telah dicetak.

Pengasasnya Lisa Lee berkata syarikat itu menyasar memperkenalkan seni kraft tersebut kepada generasi muda untuk membantu mereka menjauhi gajet kerana kraf tersebut berfungsi sebagai terapeutik dan baik untuk kesihatan mental.

“Zaman sekarang, bukan sahaja kanak-kanak yang terlalu obses dengan gajet tetapi orang dewasa juga, jadi kraf seperti ini memainkan peranan yang besar dalam mengurangkan penggunaan gajet, menghilangkan tekanan dan sebagainya,” katanya kepada Bernama. .

Beliau berkata syarikat itu merancang membuka “pushcart” di Suria KLCC untuk memperkenalkan kraf tersebut kepada orang ramai terutamanya generasi muda. 

Sementara itu Lee berkata Diomand Dotz juga merancang untuk melebarkan sayapnya ke pasaran ASEAN tahun depan.

“Bagi pasaran ASEAN, kami merancang untuk bertapak di beberapa negara tahun depan kerana menerima banyak permintaan terutamanya dari Indonesia, Singapura, Vietnam dan Filipina,” katanya.

Menurutnya, jenama itu juga berhasrat untuk mencipta lebih banyak produk direka untuk pelanggannya pada tahun akan datang, menggabungkan idea seperti reka bentuk Arab dan Malaysia.

Beliau berkata jenama Diamond Dotz merupakan kraft paling popular di dunia dan telah terjual di 37 negara termasuk di benua Amerika dan Eropah. 

Lee berkata syarikat itu berusaha keras untuk menonjolkan keaslian jenamanya meskipun terdapat banyak berlian peniru dalam pasaran. 

“Kami mahu orang ramai tahu bahawa ia adalah jenama yang baik dan tidak ada pelanggaran hak cipta,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/