RHB IB Jangka Lebih Banyak Penawaran EV Baharu Pada 2023

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) — RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menjangka lebih banyak penawaran kenderaan elektrik (EV) baharu dan wajah baharu seperti Ora Good Cat oleh Great Wall Motors akan dapat dilihat di jalan raya pada 2023.

Katanya BMW dijadualkan untuk menawarkan EV i7 dan i5 serba elektrik serta XM hibrid plug-in dan Bermaz Auto Bhd akan melancarkan EV Peugeot e-2008 dan Kia PBV1 baharu pada tahun depan manakala Perodua akan memperkenalkan EV hibrid pertamanya pada 2024 dan Proton dijangka melancarkan EV pertamanya pada 2027.

Mengenai kekangan rantaian bekalan, bank pelaburan itu berkata isu tersebut tidak lagi menjadi kebimbangan berikutan di peringkat global, kekurangan cip automotif terus reda, terutamanya selepas kelonggaran sekatan COVID-19 di China.

“Dalam negeri, kebanyakan penggiat mampu mendapatkan semikonduktor dan komponen yang diperlukan. 

“Sebagai contoh, jenama nasional telah mengeluarkan hampir pada kapasiti penuh dalam tempoh beberapa bulan ini dan dijangka akan terus berbuat demikian dalam tempoh beberapa bulan akan datang berikutan mereka perlu segera memenuhi tempahan yang dikecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebelum akhir Mac 2023,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut RHB IB, selepas tempoh pengecualian SST berakhir pada 30 Jun 2022, tempahan automotif telah pulih secara berperingkat bulan ke bulan apabila pengguna menyesuaikan diri dengan harga termasuk SST.

“Kami melihat ini sebagai satu petunjuk yang menggalakkan dan menjangka pelancaran model baharu dan wajah baharu pada 2023 akan terus meningkatkan tempahan baharu.

“Bagaimanapun, kami terus menjangka pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kemungkinan pembaharuan duti eksais sebagai faktor yang boleh menjejaskan permintaan terhadap automotif,” katanya.

Pada 2023, ia menjangka jumlah keseluruhan industri (TIV) akan berkurangan kepada 600,000 unit daripada 700,000 unit diunjurkan pada 2022, berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan pada tahun depan dan tanpa pengecualian SST.

Oleh itu, RHB IB mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor automotif.

–BERNAMA

https://thekapital.my/rhb-ib-jangka-lebih-banyak-penawaran-ev-baharu-pada-2023/

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian