Kopitiam Asia Pacific Sasar Buka 50 Lagi Cawangan Oldtown White Coffee

PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) — Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd berhasrat membuka 50 cawangan baharu Oldtown White Coffee pada tahun ini dengan menumpukan sasaran lokasi di utara dan timur negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dawn Liew berkata Oldtown White Coffee yang ditubuhkan sejak 2005, kini beroperasi di lebih 180 outlet di seluruh Malaysia serta di lebih tiga buah negara termasuk Singapura, Indonesia, Hong Kong dan Filipina.

“Kami mahu membuka lebih banyak cawangan di negeri-negeri yang tiada Oldtown seperti Perlis, Kedah selain di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu serta Pahang. Ini adalah sasaran kami bagi 2023.

“Lazimnya, apa yang kami utamakan dalam usaha membuka satu-satu outlet baharu adalah (faktor seperti) jumlah penduduk, status pembangunan kawasan itu selain lokasi di pinggir bandar.

“Ini kerana kami mahu memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai…bukan hanya menu makanan segera dari Barat tetapi juga sajian Asia,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran outlet Oldtown White Coffee di IOI City Mall di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Azman Mohd Yusof dan Naib Pengerusi Persatuan Francais Malaysia Mohamad Shukri Salleh.

Mengulas lanjut, Liew berkata pihaknya turut menawarkan pakej perniagaan terbaik serta berpatutan untuk kalangan usahawan yang berminat menyertai keluarga Oldtown.

Syarikat itu juga telah merancang pelbagai strategi dengan menyuntik kelainan dalam rantaian produk ditawarkan termasuk penyediaan produk berasaskan menu makanan sihat.

Malah, katanya, bermula April ini, setiap produk makanan dan minuman di kopitiam itu akan turut disertakan dengan label kandungan kalori.

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan yang telah menjalankan projek rintis dengan menerbitkan kiraan kalori dalam semua menu di OldTown,” katanya.

Menurut Liew, usaha itu juga selaras dengan sasaran syarikat bagi tahun ini untuk menyediakan produk lebih berkualiti bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu masyarakat dalam mendapatkan makanan sihat pada harga berpatutan dan sekali gus dapat meringankan kos sara hidup,” katanya.

— BERNAMA

TAG: Oldtown White Coffee, cawangan, francais, Dawn Liew

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian