Kerajaan Salur RM446 Juta Kurangkan Beban Pekebun Kecil Getah Sejak 2015

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) — Kerajaan melalui Insentif Pengeluaran Getah (IPG) telah menyalurkan nilai pembayaran berjumlah RM446 juta kepada 207,128 pekebun kecil getah di seluruh negara sejak September 2015 sehingga 31 Dis 2022, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata IPG diperkenalkan untuk mengurangkan beban pekebun kecil ketika harga getah rendah di samping menggalakkan mereka terus menoreh.

“Melalui pelaksanaan IPG, pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50 peratus kandungan getah kering – KGK) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram,” katanya ketika menggulung topik berkaitan isu getah, kelapa sawit dan agrikomoditi lain di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Fadillah berkata bagi membantu menstabilkan pendapatan pekebun kecil dan memenuhi keperluan industri hiliran berasaskan lateks, kerajaan juga melaksanakan program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL).

Setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program itu akan menerima insentif tunai sebanyak RM1.00 sekilogram bagi 100 peratus KGK selain menerima bantuan secara sekali sahaja bernilai RM850.00 untuk setiap hektar bagi input pertanian seperti baja dan racun. 

Berhubung cadangan untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM4.00 sekilogram, Fadillah berkata kementerian bersama agensi terlibat telah mengkaji mekanisme penambahbaikan kadar IPG.

“Dapatan kajian menunjukkan bahawa sekiranya kadar IPG dinaikkan kepada RM4.00 sekilogram daripada RM2.50 pada masa ini, kerajaan memerlukan peruntukan RM1.29 bilion berdasarkan jumlah pengeluaran getah pada 450,000 tan dengan harga purata tahunan SMR20 sebanyak RM6.10 sekilogram.

“Untuk itu, hal ini memerlukan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan,” tambahnya. 

Mengenai isu kebergantungan terhadap pekerja asing, beliau berkata ia boleh ditangani melalui adaptasi mekanisasi dan automasi serta peningkatan penggunaan jentera di ladang sawit.

Katanya, kementerian telah menubuhkan Konsortium Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) untuk menggalakkan penyelidikan dan peningkatan produktiviti pekerja ladang melalui teknologi yang dibangunkan.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta melalui geran padanan dalam Belanjawan 2021 untuk menyokong aktiviti MARCOP sementara pihak industri pula menyumbang RM30 juta melalui kutipan ses Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Peruntukan keseluruhan MARCOP sebanyak RM60 juta ini akan digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pengkomersialan teknologi mekanisasi ladang. Sehingga kini, sebanyak 19 permohonan telah diterima oleh MARCOP,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Lebih 70 Peratus Depoh Pengadun Sedia Laksana Biodiesel B15 Guna Fasiliti Sedia Ada – Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR: Lebih 70 peratus depoh pengadun di Malaysia bersedia untuk melaksanakan biodiesel B15 menggunakan fasiliti sedia ada, susulan pengumuman kerajaan untuk meningkatkan adunan biodiesel kepada B15 secara berperingkat, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, kerajaan telah mengadakan mesyuarat dan lawatan bagi mengenal pasti kesediaan kemudahan itu untuk melaksanakan adunan biodiesel B15.

“Hasil dapatan pemeriksaan infrastruktur depoh pengadun oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mendapati lebih 70 peratus depoh pengadun di Malaysia bersedia untuk melaksanakan biodiesel B15 menggunakan fasiliti sedia ada.

“Langkah penyesuaian operasi sedang dirangka oleh depoh pengadun bagi memastikan kecekapan dan keterjaminan bekalan produk petroleum kepada pengguna,” katanya pada taklimat harian berkaitan krisis bekalan global.

Akmal Nasrullah berkata, beliau dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah melawat Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT) dan melihat sendiri kesediaan loji pemprosesan biodiesel di Pulau Indah, Klang.

“Lawatan ini memberi mesej penting bahawa isu tenaga tidak lagi boleh dilihat hanya dari sudut bekalan semasa.

“Ia perlu ditangani dalam satu kerangka nasional yang menghubungkan keselamatan tenaga, kekuatan sektor komoditi, kecekapan logistik, ketahanan rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi negara,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa lawatan tersebut penting kerana ia membolehkan kerajaan melihat sendiri keseluruhan ekosistem biodiesel negara secara menyeluruh, termasuk pengeluaran bahan asas, keupayaan pengadunan, kelancaran operasi fasiliti dan ketahanan rantaian bekalan.

Susulan keputusan itu, Kementerian Ekonomi dan KPK sedang menyusun tindakan bersama semua pihak yang terlibat untuk merealisasikan agenda biodiesel berkenaan.

Pada 14 April, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 bagi mengekalkan bekalan diesel negara susulan krisis yang berlaku di Asia Barat.

Langkah itu bertujuan mengelakkan kebergantungan melampau kepada bahan api fosil import dan pasaran luar serta melaksanakan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan yang dipercepatkan kepada tenaga boleh baharu.

-BERNAMA