KK Supermart Sasar Labur RM75 Juta Buka 150 Cawangan Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) — Pengendali kedai rangkaian serbaneka KK Supermart & Superstore Sdn Bhd menyasarkan untuk melabur sebanyak RM75 juta bagi membuka 150 cawangan tambahan menjelang akhir tahun ini.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Datuk Seri Dr KK Chai berkata syarikat itu merancang untuk membuka kira-kira 12 cawangan sebulan dengan pelaburan RM500,000 setiap cawangan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 830 cawangan di seluruh negara pada 2023.

“Kami tidak mempunyai sebarang lokasi khusus untuk cawangan baharu kerana kami telah membuka (kedai) di kawasan perumahan, pusat komersial dan hab seperti Terminal Bersepadu Selatan serta hospital dan universiti. Hampir di mana-mana,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran inisiatif Payung Rahmah dan kempen “Beli dan Menang RM1.1 Juta” di seluruh negara di KK Super Mart Terminal Bersepadu Selatan di sini hari ini.

Ketika ditanya isu beberapa kedai 24 jam yang berhenti beroperasi sepanjang masa, beliau berkata ia disebabkan oleh isu buruh, yang perlu diuruskan dengan baik.

Mengenai harapan Belanjawan 2023, Chai menyatakan harapan bahawa kerajaan perpaduan akan prihatin kepada rantaian runcit serta perusahaan kecil dan sederhana mengenai isu seperti peningkatan kos operasi.

“Sebagai pengendali, kami menanggung kenaikan kos. Jika, sebagai contoh, terdapat peningkatan kos elektrik yang menyebabkan kos operasi yang lebih tinggi dan kosnya terlalu tinggi, kami tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga barangan,” katanya.

Pada masa ini, rangkaian runcit KK Mart mempunyai 680 cawangan di seluruh negara dan juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Payung Rahmah yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup dengan menawarkan barangan sedia untuk dimakan dan makanan laut sejuk beku pada harga berpatutan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

SC Dan Bursa Malaysia Perkenal Program MY Value Up

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia hari ini memperkenalkan Program MY Value Up, satu inisiatif kerjasama untuk menyokong syarikat awam tersenarai (PLC) Malaysia dalam meningkatkan penciptaan nilai jangka panjang mereka dan berubah menjadi cadangan pelaburan menarik di peringkat global.

Selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (Pelan Induk), MY Value Up mencerminkan komitmen bersama SC dan Bursa Malaysia untuk memupuk landskap korporat yang lebih dinamik.

Pada asasnya, program MY Value Up bertujuan untuk menggalakkan PLC menerima pakai pendekatan yang lebih peka dan proaktif dalam menyampaikan kemajuan dan perkembangan pertumbuhan mereka.

Dengan menggalakkan syarikat untuk menjelaskan dan menzahirkan strategi jangka sederhana hingga panjang mereka, MY Value Up membantu PLC mengutamakan cita-cita korporat yang lebih kukuh dan memudahkan penglibatan yang lebih bermakna dengan pelabur domestik dan serantau.

Ini juga membawa kepada pendedahan yang lebih telus dan berpandangan ke hadapan yang meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong keputusan peruntukan modal termaklum.

SC pada hari ini telah mengadakan sesi penglibatan dengan Pengerusi dan eksekutif Csuite daripada 88 PLC teratas yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan peneraju industri pasaran modal. 88 PLC yang terpilih untuk program ini secara kolektifnya menyumbang sebanyak 80% permodalan pasaran syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dengan setiap satunya mempunyai permodalan pasaran minimum kira-kira RM4 bilion. 

Sesi ini tertumpu kepada peranan penting yang dimainkan oleh PLC dalam memperkukuhkan penilaian korporat Malaysia dan daya tarikan pasaran keseluruhan.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata MY Value Up membimbing pemikiran lembaga ke arah penciptaan nilai jangka panjang.

“Pelan Induk baharu ini menetapkan visi berani ke arah pasaran modal yang lebih dinamik dan berdaya saing. Matlamat kami adalah untuk bergerak bersama daripada budaya pematuhan semata-mata kepada budaya penciptaan nilai aktif. Ini merupakan masa yang sesuai untuk PLC terkemuka memperluas lensa penilaian dan menanda aras prestasi mereka terhadap yang terbaik dalam kelasnya, bukan sahaja secara domestik tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa.” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed berkata, “Program MY Value Up direka untuk meningkatkan keterlihatan dan pengiktirafan pasaran terhadap prestasi korporat asas dalam kalangan syarikat awam tersenarai yang mengambil bahagian. Dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan ekosistem pasaran yang lebih luas, Bursa Malaysia akan memajukan usaha ini dengan memperkukuhkan isyarat pasaran untuk syarikat tersenarai melalui penyampaian strategi yang lebih jelas, disiplin prestasi yang lebih kukuh dan penglibatan yang lebih mendalam dengan pelabur. Akhirnya, ini menyokong penemuan harga yang lebih berkesan dan menyumbang kepada pasaran modal yang lebih rancak yang mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada nilai korporat jangka panjang.”

Bagi memastikan program ini praktikal dan berimpak, sesi penglibatan hari ini akan diikuti dengan beberapa siri bengkel teknikal. Ini akan membolehkan PLC yang mengambil bahagian memberikan maklum balas yang akan membantu membentuk MY Value Up.

Bagi menyokong pelancaran program yang berkesan, Buku Panduan yang menggariskan jangkaan di bawah MY Value Up akan dikeluarkan menjelang separuh pertama tahun ini.