Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) Naik Kepada 3.00%

Hari ini (3 Mei 2023) Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa kadar OPR naik kepada paras 3.00%.

Ada yang baru pertama kali dengar ke OPR ni? Kalau nak tahu lebih lanjut, jemput baca Apa Itu Kadar Dasar Semalaman Atau Overnight Policy Rate (OPR) Dan 3 Kesan Penurunannya.

Pernyataan Dasar Monetari

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus. Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Ekonomi global terus didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh serta pemulihan ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan. Walau bagaimanapun, ekonomi global terus terjejas oleh tekanan kos yang tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi. Inflasi keseluruhan terus menurun namun inflasi teras terus melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini. Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara termasuk berikutan tekanan yang berterusan dalam sektor perbankan.

Bagi ekonomi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi berkembang selanjutnya pada suku pertama tahun 2023 selepas mencatatkan prestasi kukuh pada tahun 2022. Meskipun eksport dijangka menjadi sederhana, pertumbuhan pada tahun 2023 akan didorong oleh permintaan dalam negeri. Perbelanjaan isi rumah kekal berdaya tahan, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang lebih baik memandangkan pengangguran terus menurun ke tahap sebelum pandemik. Ketibaan pelancong yang meningkat dijangka menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan. Projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan akan menyokong aktiviti pelaburan. Keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan tanpa tanda-tanda pengetatan berlebihan yang mempengaruhi aktiviti penggunaan dan pelaburan. Risiko prospek pertumbuhan dalam negeri secara relatif seimbang. Risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada faktor-faktor dalam negeri seperti aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan projek termasuk projek yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023, manakala risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu.

Seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan menunjukkan trend menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini disebabkan oleh faktor kos yang menurun. Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana sepanjang tahun 2023, berpurata antara 2.8% hingga 3.8%. Walau bagaimanapun, inflasi teras akan kekal pada paras tinggi berikutan keadaan permintaan yang kukuh. Kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada akan terus membendung sebahagian daripada tekanan inflasi yang meningkat. Imbangan risiko terhadap prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan terus bergantung pada sebarang perubahan pada dasar dalam negeri termasuk mengenai subsidi dan kawalan harga, perkembangan pasaran kewangan serta harga komoditi global.

Memandangkan prospek pertumbuhan dalam negeri yang terus berdaya tahan, MPC menilai bahawa kini adalah masa yang tepat untuk terus mengembalikan tahap akomodasi monetari ke paras yang wajar. Berikutan keputusan ini, MPC telah mengakhiri rangsangan monetari yang bertujuan untuk menangani krisis COVID-19 bagi menggalakkan pemulihan ekonomi. Susulan kekukuhan ekonomi Malaysia yang berterusan, MPC juga mengakui perlunya pendirian dasar monetari yang wajar bagi mengelakkan risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan. Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi. MPC akan terus memastikan pendirian dasar monetari kekal konsisten dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Sumber: Bank Negara Malaysia

Paras OPR Tertinggi Ialah 3.50% Pada Bulan April 2006

Pada masa itu, ekonomi sedang berkembang dengan stabil, inflasi IHP adalah pada 4.6% dan OPR yang lebih tinggi diperlukan bagi menguruskan risiko harga yang lebih tinggi.

Paras OPR Terendah Ialah 1.75% (Julai 2020 – Mei 2022)

Paras OPR terendah ialah 1.75% pada bulan Julai 2020 hingga Mei 2022 bagi menyokong ekonomi semasa pandemik COVID-19. Pada tempoh sukar, kadar faedah yang rendah menyebabkan kos pinjaman lebih rendah dan mengurangkan pulangan atas simpanan. Hal ini akan merangsang perbelanjaan, meningkatkan pelaburan serta melindungi pekerjaan dan pendapatan semasa krisis.

Apakah Perkembangan Ekonomi Terkini?

Ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada tahun ini

  • Tahap pengangguran semakin menurun kepada tahap sebelum krisis lantas menyokong perbelanjaan isi rumah
  • Bilangan pelancong semakin banyak, lantas menyokong perniagaan tempatan
  • Projek berskala besar terus berjalan dengan lancar
  • Pertumbuhan global disokong oleh pasaran pekerjaan yang kukuh dan pemulihan ekonomi China meskipun menghadapi cabaran
  • Inflasi berkurang sejak beberapa bulan kebelakangan ini, namun kekal tinggi berikutan permintaan yang kukuh

Sumber: Bank Negara Malaysia (BNM)

Previous ArticleNext Article

56 Peratus Isi Rumah PPR Cuma Ada Simpanan Hingga 3 Bulan, 17 Peratus Langsung Tiada

KUALA LUMPUR: Lebih separuh isi rumah yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di Lembah Klang hanya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka antara satu hingga tiga bulan sekiranya berdepan kejutan kewangan.

Menurut laporan ‘From Roof to Resilience: A Social Assessment of Malaysia’s Public Housing’ oleh Think City, 56 peratus isi rumah mempunyai simpanan bagi tempoh berkenaan, manakala 17 peratus lagi langsung tidak mempunyai simpanan.

“Dapatan ini menggambarkan sebuah komuniti yang berada dalam keadaan ekonomi tidak kukuh, di mana kejadian seperti masalah kesihatan, kerosakan kenderaan atau kehilangan sumber pendapatan boleh memberi kesan negatif yang serius kepada isi rumah.

“Bagi kebanyakan keluarga, sumber utama dana kecemasan adalah melalui simpanan peribadi atau keluarga, selain terpaksa mendapatkan bantuan daripada pajak gadai.

“Keadaan ini menunjukkan pilihan kewangan yang terhad serta mengukuhkan lagi kedudukan mereka yang serba rapuh dari segi ekonomi,” katanya.

Think City ditubuhkan pada 2009 oleh Khazanah Nasional Bhd, sayap pelaburan kerajaan Malaysia.

Kajian berkenaan membabitkan 2,884 isi rumah di 10 kawasan perumahan awam dan PPR di Lembah Klang sepanjang 2023 menerusi Program Kita-untuk-Kita (K2K) yang dibiayai Kementerian Kewangan.

Antara kawasan yang terlibat ialah PA Seri Selangor, PA Seri Sarawak, PA Hang Tuah, PA Seri Cempaka, PA Seri Kota, PPR Taman Mulia, PA Seri Sabah 3A, PPR Desa Tun Razak, PPR Kampung Baru Hicom dan PPR Lembah Subang 1.

Menurut Think City, hampir 40 peratus keluarga di kawasan kajian bergantung kepada seorang pencari nafkah sahaja, manakala kira-kira sembilan peratus isi rumah dilaporkan tidak mempunyai pencari nafkah.

Laporan itu turut mendapati tanggungjawab menjaga anak dan warga emas menjadi antara faktor yang mengehadkan penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan, sekali gus menyekat pertumbuhan pendapatan isi rumah.

Think City berkata, gabungan pendapatan yang rendah dan tidak stabil menyebabkan ramai penghuni perumahan awam sukar membina daya tahan kewangan walaupun terhadap kejutan ekonomi yang kecil.

Menurut laporan itu, kos sara hidup di sesetengah kawasan turut meningkat akibat faktor setempat seperti kerosakan lif yang kerap, isu keselamatan dan stigma terhadap kawasan perumahan berkenaan yang secara tidak langsung menjejaskan akses kepada peluang ekonomi.

Think City berkata, keadaan itu berisiko menjadikan perumahan awam sebagai perangkap kemiskinan sekiranya peluang mobiliti sosial dan ekonomi terus terbatas, sekali gus menyebabkan kelompok berpendapatan rendah kekal tertumpu di kawasan yang sama untuk tempoh yang panjang.

Kajian itu turut mendedahkan hampir satu daripada setiap 10 isi rumah (9 peratus) melaporkan bahawa mereka tidak mempunyai pencari nafkah.

“Dapatan ini membimbangkan kerana ia menunjukkan kewujudan kelompok kemiskinan yang ketara dalam komuniti berkenaan.

Kajian turut mendapati bahawa daripada isi rumah yang tidak mempunyai pencari nafkah, sebanyak sembilan peratus mempunyai ahli keluarga orang kurang upaya (OKU).

“Sehubungan itu, usaha menyasarkan golongan ini serta memastikan mereka mendapat akses kepada bantuan sosial yang sewajarnya perlu diberikan perhatian sebagai satu keutamaan dasar yang penting,” katanya.

— Berita Harian