BNM Dijangka Turunkan Unjuran Inflasi Keseluruhan Bagi 2023 – BMI

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menurunkan unjuran inflasi keseluruhan semasa pada 2.8 peratus hingga 3.8 peratus bagi 2023, berikutan keadaan harga yang mereda lebih pantas daripada jangkaan awal.

BMI Industry Research (BMI) yang juga anak syarikat Fitch Solutions berkata pendekatan kerajaan dengan melaksanakan subsidi dan kawalan harga, akan membantu dari segi mengekang kenaikan harga secara ketara.

“Inflasi di Malaysia secara umumnya adalah lebih rendah berbanding negara serantau dengan inflasi di Indonesia, Filipina dan Singapura masing-masing pada 3.5 peratus, 5.4 peratus dan 4.5 peratus pada Jun 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Jun lepas, inflasi Malaysia reda kepada 2.4 peratus berbanding 2.8 peratus pada Mei yang menjadi angka terendah sejak awal tahun ini.

Susulan itu, BMI telah menurunkan unjurannya kepada purata 10 tahun sebanyak 2.0 peratus menjelang akhir 2023 daripada sebelumnya iaitu 2.5 peratus.

BM juga menyemak semula unjuran inflasi purata bagi 2023 turun daripada 2.9 peratus kepada 2.7 peratus yang merupakan jauh lebih rendah daripada purata 3.4 peratus pada 2022.

“Dalam proses BNM mengemudi berakhirnya kitaran kenaikan kadar faedah global, penurunan inflasi dan cabaran pertumbuhan, kami menjangkakan bank pusat itu akan mengekalkan pendiriannya dalam mesyuarat akan datang pada September 2023,” katanya.

Menurutnya, sejak kejutan BNM menaikkan 25 mata asas pada Mei lepas, kadar faedah sebenar di Malaysia menjadi lebih positif dan optimis pendirian dasar semasa adalah memadai bagi mengawal inflasi.

“Selain itu, walaupun BNM tidak mempunyai sebarang sasaran inflasi, trend angka keseluruhan itu terarah ke paras purata 10 tahun pada 2.0 peratus yang mengurangkan tekanan untuk bertindak.

“BNM juga dijangka tidak akan melaksanakan sebarang pengurangan kadar faedah ketika pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat masih mengetatkan kadar faedahnya kerana bimbangkan tindakan yang boleh melemahkan mata wangnya,” kata BMI.

Di peringkat global, BMI menjangkakan inflasi keseluruhan terus mereda selepas mengalami kesan asas tinggi daripada kenaikan ketara tahun lepas membabitkan harga makanan dan tenaga akibat konflik Rusia-Ukraine.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Inflasi Mac Pada 1.7 Peratus Kekal Terkawal, Bersifat Sementara – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR (Bernama) — Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang meningkat sedikit kepada 1.7 peratus pada Mac 2026, masih terkawal dan bersifat sementara dengan kenaikan itu sebahagian besarnya didorong oleh faktor kos luaran dan bukannya daripada permintaan domestik yang menyeluruh.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan data hari ini yang menunjukkan inflasi Malaysia meningkat 1.7 peratus pada Mac 2026, dengan indeks meningkat kepada 136.4 daripada 134.1 pada bulan yang sama tahun lepas.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata bacaan inflasi terbaharu itu mencerminkan tanda-tanda awal tekanan kenaikan harga, namun ia kekal terhad dan bersifat sementara.

“Trend peningkatan baru-baru ini sebahagian besarnya didorong oleh kesan limpahan daripada konflik Asia Barat yang berterusan melalui kos bahan api dan logistik yang lebih tinggi dan bukannya sebarang perubahan bermakna dalam keadaan permintaan domestik.

“Apa yang penting, tekanan inflasi kekal terhad, dipacu oleh sektor pengangkutan dan perkhidmatan tertentu, manakala penggunaan teras kekal stabil, mencerminkan permintaan yang kukuh dan pemindahan kos yang terhad,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek menjelaskan keadaan ini mencerminkan kejutan yang lazimnya disebabkan oleh harga minyak, di mana harga menyesuaikan diri ke paras lebih tinggi dalam jangka pendek tetapi tidak berkembang menjadi inflasi yang berterusan tanpa adanya kesan pusingan kedua.

“Berikutan itu, ketika momentum inflasi cenderung meningkat, struktur pendasar terus memaparkan persekitaran ketidaktentuan yang rendah dengan tekanan luar sementara berbanding kemunculan rejim inflasi yang ketara atau (bersifat) sistemik,” katanya.

Ditanya sama ada inflasi akan kekal dalam julat atau paras semasa, Mohd Sedek berkata walaupun berkemungkinan berlaku dalam masa terdekat, ini masih berpotensi meningkat dan bergantung kepada sejauh mana kos dilepaskan kepada pengguna.

“Buat masa ini, pelepasan kos itu masih hanya sebahagian, dengan syarikat-syarikat menyerap kenaikan kos tenaga dan logistik susulan konflik Asia Barat.

“Di peringkat domestik, sokongan dasar terutama kawalan harga bahan api RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), terus (menjadi mekanisme) mengekang inflasi berkaitan bahan api dan mengelak kesan limpahan secara meluas,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Sedek menyifatkan titik perubahan penting terletak pada kesan pusingan kedua dengan kemungkinan inflasi meningkat jika kos input terus wujud dan syarikat bertindak melepaskannya menerusi kenaikan harga, terutama dalam sektor perkhidmatan.

“Sebaliknya, jika keadaan permintaan kekal stabil dan penampan dasar kekal utuh, pelepasan kos dijangka terus terkawal dan membolehkan inflasi kekal dalam julat rendah dan mampu diurus,” katanya.

Mohd Sedek juga menekankan, risiko utama terhadap prospek inflasi Malaysia bagi tempoh berbaki 2026 adalah tertumpu kepada kejutan kos luaran serta pelarasan dasar.

Sementara itu, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata walaupun inflasi kekal dalam jajaran terurus, terdapat tanda-tanda tekanan harga mula meluas.

Beliau berkata inflasi mungkin kekal dalam jajaran 1.0 hingga 2.0 peratus dalam tempoh terdekat tetapi memberi amaran risikonya sedang condong ke arah menaik, terutamanya jika tekanan kos terus disalurkan kepada pengguna.

“Inflasi sepatutnya kekal terkawal dalam tempoh terdekat tetapi risiko luaran seperti harga minyak dan gangguan bekalan boleh memacunya lebih tinggi. Dasar monetari masih mempunyai ruang untuk kekal menyokong tetapi adalah lebih baik untuk meneruskan sikap berhati-hati,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, RHB Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran inflasi 2026 Malaysia pada 1.8 peratus walaupun terdapat sedikit peningkatan pada Mac.

“Kami mengekalkan unjuran inflasi 2026 kami pada 1.8 peratus, sambil terus mengambil kira potensi tekanan tolakan kos menurutnya dalam nota kajian hari ini.

Bank pelaburan itu berkata konflik AS-Iran telah melonjakkan harga minyak global dan mampu memberi kesan ke atas inflasi domestik jika ia berterusan.

“Dalam beberapa bulan akan datang, tekanan tolakan kos memerlukan pemantauan rapi, kerana harga minyak yang lebih tinggi boleh memberi kesan kepada logistik, utiliti dan kos pengeluaran yang lebih luas, dengan potensi limpahan kepada harga pengguna,” tambahnya.

— BERNAMA