Jualan Proton Melebihi 100,000 Unit Untuk 2023, Ogos Catat 13,955 Unit

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) — – Jualan Proton Holdings Bhd (Proton) melepasi 100,000 unit, dengan 13,955 unit dicatatkan pada Ogos 2023, menjadikan jumlah jualan sejak awal tahun sehingga kini (YTD) kepada 104,602 unit.

Jumlah itu (104,602 unit), menyaksikan peningkatan 19.6 peratus atau 17,121 unit berbanding jumlah dicatatkan untuk lapan bulan pertama tahun lepas, kata syarikat pengeluar kereta nasional itu.

“Dengan jumlah volum industri (TIV) yang dianggarkan sebanyak 74,200 unit, pegangan pasaran Proton diunjur pada 18.8 peratus untuk bulan Ogos, dengan angka pegangan pasaran YTD sebanyak 20.8 peratus.

“Pertumbuhan volum syarikat bagaimanapun kekal mendahului TIV, yang kini dianggarkan sebanyak 12.2 peratus untuk 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata pertumbuhan jualan syarikat boleh dikaitkan kepada usaha syarikat berkenaan menumpukan perhatian untuk menyampaikan produk berkualiti tinggi serta pengalaman premium yang diberikan oleh 154 pengedar 3S/4S dalam rangkaiannya yang telah memberikan kesan positif kepada pelanggan.

“Pada masa hadapan, usaha ke arah produk dan perkhidmatan yang lebih baik ini akan diteruskan. Ia dirangsangkan lagi oleh pengumuman baru-baru ini iaitu Proton Test Labs menerima akreditasi ISO 17025 serta kemasukan syarikat ke dalam ruang kenderaan elektrik (EV) dengan smart Malaysia,” katanya.

Proton berkata Proton Saga adalah model paling laris pada bulan Ogos, mencapai angka bulanan tertinggi bagi tahun 2023 dengan 6,585 unit dijual, menempatkannya di tempat kedua jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia untuk bulan ketiga berturut-turut.

“Bagi lapan bulan pertama, sebanyak 45,836 unit telah diserahkan, meningkat 34.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022,” katanya.

Menurutnya, edisi terbaru Proton X90  mendahului jualan bulanan dan YTD untuk kenderaan utiliti sukar (SUV) segmen-D dengan jualan 719 unit pada bulan Ogos dan jumlah terkumpul sebanyak 2,944 unit setakat ini, walaupun hanya tiga bulan penuh sejak permulaan jualannya..

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.