Syarikat Penerbangan Baharu, Laluan Terkini Tingkatkan Pemulihan Pada Suku Ketiga – MAHB

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) — Pengenalan tiga syarikat penerbangan baharu dan pelbagai laluan terkini oleh syarikat penerbangan rakan kongsi sedia ada bagi seluruh rangkaian Malaysia Airports Group di Malaysia telah meningkatkan pemulihan berterusan perjalanan udara bagi suku ketiga 2023.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan pihaknya mengalu-alukan kehadiran Salam Air, Super Air Jet dan Sichuan Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain itu, syarikat penerbangan rakan kongsi sedia ada turut menambah 12 destinasi baharu dan menyambung semula tujuh laluan sebagai tambahan kepada perkhidmatan semasa mereka, menurutnya.

“Peningkatan tawaran penerbangan ini menyumbang kepada jumlah pergerakan penumpang tempatan pada suku lepas sebanyak 21.7 juta, pemulihan lebih 80 peratus bagi jumlah trafik sukuan buat kali pertama berbanding tempoh yang sama September 2019,” tambahnya.

MAHB memaklumkan laluan baharu yang diperkenalkan ialah KUL-Muscat oleh Salam Air; KUL-Lombok, KUL-Pekanbaru dan KUL-Surabaya oleh Super Air Jet; serta KUL-Haikou oleh Sichuan Airlines.

Destinasi baharu yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan sedia ada dari KLIA pula ialah Auckland, Jeddah dan Okinawa oleh Batik Air Malaysia; Chengdu oleh AirAsia X, Air China dan Batik Air Malaysia; serta Shanghai Pudong oleh China Eastern, jelasnya.

Perkhidmatan baharu dari Pulau Pinang ialah Kuala Namu oleh Batik Air Indonesia; Guilin oleh Batik Air Malaysia; Hong Kong oleh AirAsia; dan Xiamen oleh Xiamen Airlines manakala perkhidmatan baharu dari Langkawi ialah Chengdu oleh Batik Air Malaysia dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pula ialah Beijing Daxing oleh AirAsia .

Menurut MAHB, Batik Air Malaysia turut menyambung semula perkhidmatan ke Hong Kong, Zhengzhou, Adelaide dan Chennai dari KLIA manakala AirAsia X menyambung semula laluan Kuala Lumpur-Raja Sansi.

MAHB mencatatkan 6.9 juta jumlah pergerakan penumpang bagi lapangan terbang di Malaysia atau 67 peratus daripada prestasi kumpulan, iaitu 10.3 juta bagi September 2023.

MAHB menekankan bahawa walaupun taufan melanda beberapa bahagian di China, Hong Kong, Macau, Filipina, Taiwan dan Jepun pada September 2023, lapangan terbang tempatannnya mencatatkan 3.3 juta jumlah penumpang antarabangsa, mencecah 79.3 peratus, pemulihan trafik tertinggi bagi trafik bulanan sepanjang 2019.

“Sektor domestik mencatatkan 3.6 juta pergerakan penumpang, mencecah 86.7 peratus daripada paras 2019. Secara keseluruhan, prestasi bagi Malaysia pada September 2023 mencapai 83 peratus daripada angka September 2019,” jelasnya.

Sementara itu, lapangan terbang MAHB di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (SAW) merekodkan  3.4 juta jumlah pergerakan penumpang pada September 2023 dan angka itu memberangsangkan kerana terus bertahan melebihi paras tiga juta pada penghujung perjalanan musim panas, menurutnya.

Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik SAW masing-masing 1.8 juta dan 1.7 juta penumpang pada bulan lepas, atau gabungan 52:48 antara penumpang antarabangsa dan domestik.

“Berasaskan suku tahunan, angka itu mencapai 10.9 juta pergerakan penumpang dengan sektor antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan 5.6 juta dan 5.3 juta penumpang; atau 133.5 peratus dan 89.8 peratus daripada paras 2019,” jelasnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.