Jumlah Automotif Malaysia Cecah Paras Tertinggi 799,731 Unit Pada 2023 – MAA

PETALING JAYA, 16 Jan (Bernama) — Jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) automotif Malaysia meningkat ke paras tertinggi sebanyak 799,731 unit pada 2023 berbanding 721,177 unit pada tahun sebelumnya, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Presidennya, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata kenaikan sebanyak 11 peratus tahun ke tahun itu dipacu terutamanya oleh subsegmen kereta penumpang berikutan ekonomi domestik yang berdaya tahan serta senario sosiopolitik yang stabil.

Beliau berkata pertumbuhan itu juga didorong oleh insentif bebas cukai, pelancaran baharu seperti kenderaan elektrik pada harga kompetitif serta persekitaran rantaian bekalan industri yang bertambah baik.

“Pertumbuhan jualan industri yang dicatatkan pada tahun lepas juga merupakan peningkatan tahunan kedua sejak penurunan pada 2020-2021 akibat pandemik Covid-19.

“Ini juga tahun kedua berturut-turut menyaksikan angka TIV itu melepasi paras 700,000,” kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Shamsor berkata jumlah pendaftaran kenderaan penumpang baharu meningkat 77,003 unit atau 12 peratus tahun ke tahun kepada 719,160 unit pada 2023 daripada 642,157 unit pada 2022.

Sebahagian besar daripada jumlah itu didorong oleh prestasi peningkatan jualan kukuh yang dicatatkan oleh kedua-dua pengeluar kereta nasional, katanya.

Berikutan itu, gabungan pasaran kedua-dua pengeluar kereta nasional dalam segmen kenderaan penumpang meningkat kepada 66.9 peratus atau 481,300 unit pada 2023 berbanding 65.1 peratus atau 418.045 unit pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, pengeluar jenama bukan kereta nasional merekodkan jumlah jualan lebih tinggi pada 6.0 peratus tahun ke tahun atau 237,860 unit berbanding 224,112 unit pada 2022.

Mengulas kenderaan elektrifikasi (xEV) yang merujuk terma meliputi kenderaan elektrik, hibrid dan bateri elektrik, Mohd Shamsor berkata segmen itu menyumbang kira-kira lima peratus daripada TIV dan memaparkan momentum permintaan positif yang berterusan.

Malah, katanya, xEV pada 2023 telah melonjak sebanyak 69 peratus tahun ke tahun kepada 38,214 unit dengan sejumlah 10,159 unit kenderaan elektrik bateri (BEV) dan 28,055 unit kenderaan hibrid.

Bagi prospek tahun ini, beliau berkata MAA menyasarkan TIV lebih rendah sekitar 7.5 peratus atau 740,000 unit, seiring dengan jangkaan lebih menyederhana mengikut unjuran Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa pertumbuhan ekonomi dunia susut kepada 2.9 peratus pada 2024 daripada 3.0 peratus pada 2023.

“Perbelanjaan pengguna berkemungkinan lebih perlahan susulan kebimbangan mengenai langkah rasionalisasi subsidi, kos sara hidup tinggi, pelaksanaan bersasar dan cukai barangan bernilai tinggi, kadar cukai perkhidmatan lebih tinggi unruk perkhidmatan tertentu seperti penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Shamsor berkata langkah seperti meningkatkan rantaian bekalan serta pelancaran xEV pada paras harga berpatutan serta berdaya tahan, akan terus memacu minat belian yang berterusan.

MAA juga percaya bahawa permintaan serta minat terhadap xEV akan terus berkembang susulan sokongan kerajaan serta pelancaran lebih banyak model kenderaan xEV yang baharu serta menarik.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Organisasi Malaysia Terlepas Pandang Risiko AI Demi Mengejar Permintaan

KUALA LUMPUR, 23 April 2026 – Peneraju global keselamatan AI, TrendAI telah menerbitkan kajian baharu yang mendedahkan bahawa organisasi di seluruh dunia terus mempercepatkan pelaksanaan AI walaupun menyedari risiko keselamatan dan pematuhan yang terlibat.

Di Malaysia, kajian mendapati 75% pembuat keputusan IT dan 70% pemimpin perniagaan berasa tertekan untuk meluluskan penggunaan AI walaupun terdapat kebimbangan keselamatan, dengan satu daripada tujuh responden menyifatkan kebimbangan tersebut sebagai “sangat serius” tetapi tetap diketepikan demi mengejar pesaing dan memenuhi permintaan dalaman.

Penggunaan AI Mengatasi Kawalan

Dari segi kematangan tadbir urus, hanya 29% pembuat keputusan perniagaan di Malaysia berasa sangat atau amat yakin dalam memahami rangka kerja undang-undang berkaitan AI, berbanding 63% dalam kalangan pembuat keputusan IT.

Kira-kira separuh (52%) pembuat keputusan IT telah mempunyai dasar AI yang komprehensif, manakala 39% masih dalam proses merangka. Hampir separuh (51%) pemimpin IT menyatakan kekurangan kepakaran keselamatan atau data sebagai halangan utama kepada penggunaan AI yang selamat, diikuti kekurangan peraturan dan piawaian pematuhan (49%).

Pengarah Urusan Malaysia, TrendAI, Goh Chee Hoh berkata, “Organisasi di Malaysia melaksanakan AI lebih pantas daripada keupayaan mereka mengurus risiko berkaitan, sekali gus mewujudkan jurang yang semakin melebar antara aspirasi dan pengawasan. Jurang ini turut dipengaruhi oleh perbezaan tahap kematangan tadbir urus dalam kalangan pemimpin perniagaan. Untuk merapatkan jurang ini, kepimpinan perlu bergerak melangkaui pendekatan keselamatan reaktif. Ia bermula dengan keterlihatan menyeluruh mengetahui dengan tepat bagaimana AI berinteraksi dengan data serta mewujudkan kerangka berpusat yang menggabungkan akauntabiliti dan pengawasan risiko dalam seni bina sistem.”

Beliau turut menyatakan bahawa piawaian MY-AI adalah langkah positif dalam menangani risiko seperti deepfake dan bias algoritma. Namun, ketika Malaysia mempercepatkan usaha menjadi negara AI menjelang 2030, organisasi perlu memberi tumpuan kepada tadbir urus yang kukuh dan daya tahan defensif bagi memastikan penggunaan AI yang pesat dapat diterjemahkan kepada masa depan digital yang mampan.

Ketua Platform & Perniagaan TrendAI, Rachel Jin berkata, “Organisasi bukan tidak sedar akan risiko, tetapi kekurangan keupayaan untuk menguruskannya. Apabila pelaksanaan didorong tekanan persaingan dan bukannya kematangan tadbir urus, AI akan dimasukkan ke dalam sistem kritikal tanpa kawalan yang mencukupi. Kajian ini mengukuhkan fokus kami untuk membantu organisasi mencapai hasil perniagaan kukuh dengan AI sambil mengurus risiko dengan baik.”

Risiko Pelaksanaan AI Dipacu Tekanan Semakin Meningkat

Risiko ini diperburuk oleh ketidakkonsistenan tadbir urus dan ketidakjelasan tanggungjawab terhadap risiko AI, yang kini semakin meluas. Dalam banyak kes, pasukan keselamatan terpaksa bertindak secara reaktif terhadap keputusan pelaksanaan AI dari pihak atasan, yang sering membawa kepada penggunaan alat AI tidak rasmi atau “shadow AI”.

Kajian ancaman terkini TrendAI menunjukkan penjenayah siber sudah mula menggunakan AI untuk mengautomasikan proses pengintipan, mempercepat kempen phishing dan menurunkan halangan kemasukan kepada jenayah siber, sekali gus meningkatkan kelajuan dan skala serangan.

Keyakinan terhadap AI Autonomi Masih Rendah

Keyakinan terhadap sistem AI yang lebih maju dan autonomi masih berada pada tahap perkembangan. Kurang daripada separuh (44%) pembuat keputusan perniagaan di Malaysia percaya AI berasaskan agen (agentic AI) mampu meningkatkan pertahanan siber secara signifikan dalam jangka masa terdekat, dengan kebimbangan berterusan terhadap akses data, penyalahgunaan dan kekurangan pengawasan.

Data menunjukkan kebimbangan utama organisasi adalah:

  • 57% melihat akses AI kepada data sensitif sebagai risiko terbesar
  • 45% bimbang arahan berniat jahat boleh menjejaskan keselamatan
  • 37% risau penyalahgunaan status AI yang dipercayai dan risiko pelaksanaan kod autonomi

Selain itu, 36% mengakui mereka kekurangan keupayaan pemantauan dan audit terhadap sistem ini, menimbulkan persoalan serius tentang kawalan selepas AI digunakan.

Hampir separuh (48%) organisasi menyokong mekanisme “kill switch” AI untuk menutup sistem sekiranya berlaku kegagalan atau penyalahgunaan, manakala lebih separuh masih belum pasti. Ini menunjukkan organisasi sedang bergerak ke arah AI autonomi tanpa kesepakatan jelas tentang cara mengekalkan kawalan apabila diperlukan.

Rachel Jin menambah, “AI berasaskan agen membawa organisasi ke dalam kategori risiko baharu. Kajian kami menunjukkan kebimbangan sudah jelas daripada pendedahan data sensitif hingga kehilangan pengawasan. Tanpa keterlihatan dan kawalan, organisasi sebenarnya melaksanakan sistem yang mereka sendiri belum faham sepenuhnya dan risiko ini hanya akan meningkat jika tiada tindakan diambil.”

Untuk laporan global penuh: Securing the AI-Powered Enterprise – Governance Gaps, Visibility Challenges and Rising Risk

*TrendAI melantik SAPIO Research untuk meninjau 3,700 pembuat keputusan IT dan perniagaan di 23 negara seluruh dunia.