MITI Akan Teliti Semula Sasaran 10,000 Stesen Pengecas EV Menjelang 2025 – Tengku Zafrul

PETALING JAYA, 23 Jan (Bernama) — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneliti semula sasaran 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) beroperasi di negara ini menjelang 2025 seperti yang ditetapkan sebelum ini, kata menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat hampir 1,500 stesen pengecas EV yang beroperasi namun jumlah tersebut jauh daripada sasaran awal itu yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

Menurutnya, setakat ini kerajaan masih mengekalkan sasaran awal tersebut namun beliau bersama- sama rakan Kabinet akan melihat semula sama ada sasaran itu boleh dicapai ataupun tidak.

“Nampaknya target (sasaran) itu agak agresif kerana ada banyak isu yang perlu kita tangani dan ia melibatkan banyak proses dan agensi seperti proses kelulusan dan agensi seperti Suruhanjaya Tenaga, pihak berkuasa tempatan serta pihak-pihak lain,” kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan pelan langganan pascabayar pemilikan e-motosikal, di sini, hari ini. 

Selain itu, katanya, prosedur penyediaan stesen pengecas juga perlu diperkemaskan kerana terdapat aduan yang diterima daripada syarikat penyedia stesen pengecasan EV.

“Antara aduan yang diterima adalah mengenai tempoh kelulusan untuk menyediakan stesen pengecas yang mengambil masa yang lama.

“Saya dan rakan-rakan Kabinet akan memperhalusi proses dan meneliti cabaran tersebut bersama-sama pemain industri yang turut mengemukakan cadangan untuk memendekkan proses kelulusan pembinaan stesen pengecasan.

“Apa yang kita perlu fokus sekarang adalah bagaimana untuk melancarkan proses dan mendapatkan kelulusan dengan pantas,” katanya. 

Mengulas mengenai rebat Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik yang dijenamakan semula sebagai MARiiCas, Tengku Zafrul berkata beliau telah memaklumkan kepada Kementerian Kewangan (MoF) mengenai keperluan untuk menambah peruntukan.

“Permohonan MARiiCas amat memberansangkan namun kita juga perlu melihat tahap kelulusan permohonan. Kita masih membuat kajian, dan setakat ini tiada bantahan dari MoF,” katanya.

Sementara itu, CelcomDigi Bhd dan anak syarikat Yinson Holdings Bhd, Yinson GreenTech hari ini melancarkan bersama pelan pemilikan e-motosikal dengan langganan pelan pascabayar pertama seumpamanya daripada syarikat telekomunikasi untuk memacu penerimagunaan kenderaan elektrik di Malaysia.

Pelanggan kini boleh menyewa milik e-motosikal rydeEV, hanya dengan mendaftar mana-mana pelan 5G Pascabayar CelcomDigi dengan pelan ansuran Easy360.

Ini merupakan tawaran pertama yang dilancarkan sejak kedua-dua pihak memeterai MoU pada September lalu dengan focus untuk meneroka pembangunan perkhidmatan dan infrastruktur kenderaan elektrik yang inovatif bagi pengguna Malaysia, dan memacu EV dan penerapan tenaga hijau di negara ini.

–BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian