SC Sasar Tingkat Pengumpulan Dana Pasaran Modal PMKS, MTC Kepada RM40 Bilion Menjelang 2028

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyasar untuk mengembangkan pengumpulan dana dalam pasaran modal perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) sebanyak tujuh kali ganda kepada RM40 bilion menjelang 2028 menerusi pelan hala tuju lima tahunnya yang dilancarkan hari ini.

Suruhanjaya itu berkata peningkatan tersebut merupakan pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 46 peratus dalam tempoh lima tahun daripada RM6.3 bilion pada 2023.

Pelan hala tuju “Memangkin Akses PMKS dan MTC kepada Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju Lima Tahun (2024-2028)” itu dilancarkan bagi menyediakan pelan tindakan lima tahun dengan strategi silang dalam mentransformasikan pasaran modal untuk meningkatkan akses kepada PMKS (termasuk syarikat pemula niaga) dan MTC.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata pelan itu menetapkan hala tuju lebih meluas serta tindakan terperinci yang perlu diambil dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang, untuk meningkatkan akses kepada penerbit kecil dan sederhana, serta menarik pelabur untuk melabur dalam syarikat ini, sebagai kelas aset.

“Kami menggunakan lima prinsip panduan untuk menangani isu sedia ada dalam ekosistem semasa serta memanfaatkan peluang yang muncul

“Ini berjaya menghasilkan sembilan strategi dan 36 inisiatif, termasuk meningkatkan laluan pengumpulan dana mereka dan menyediakan produk yang inovatif dan disesuaikan yang disasarkan kepada PMKS dan MTC,” katanya.

Awang Adek berkata pelan hala tuju itu selaras dengan salah satu objektif asas Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) SC, iaitu untuk mengukuhkan saluran pembiayaan berasaskan pasaran kepada firma dalam kategori tersebut.

Selain itu, ia juga akan melengkap dan menyokong dasar pembangunan nasional sedia ada termasuk kerangka ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Pelan itu disokong oleh empat kementerian, iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Menurutnya, pelan hala tuju itu yang dirangka susulan daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan utama, adalah pelan tindakan yang praktikal dan komprehensif.

Antara prinsip panduan ialah mengurangkan kos keperluan bagi pengeluaran dan penggalakan pengumpulan dana untuk PMKS dan MTC, menggalakkan kesedaran dan pembinaan kapasiti serta meningkatkan penyertaan pelabur dan akses kepada PMKS dan MTC.

Selain itu, pelan hala tuju tersebut juga bertujuan untuk menginovasi dan menyesuaikan instrumen bagi akses inklusif, serta memanfaatkan teknologi untuk penyediaan maklumat dan kesalinghubungan yang lebih meluas.

Strategi pelan hala tuju termasuk meningkatkan laluan PMKS dan MTC kepada pengumpulan dana, menggiatkan semula Pasaran LEAP sebagai pasaran pengantara PKS, menginovasi dan menyesuaikan produk bagi PMKS dan MTC, memudahkan janji niaga pasaran persendirian dan menjalin perkongsian awam-swasta untuk pelaburan PMKS dan MTC.

Ia juga bertujuan untuk menambah baik pendigitalan dan ketersambungan maklumat dan data PMKS dan MTC, meningkatkan kesediaan mereka, mengukuhkan rujukan pasaran modal, dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelabur dan pengantara.

Dalam menyokong strategi tersebut, 36 inisiatif telah dikenal pasti dengan tiga pendekatan untuk mengukuhkan ekosistem pasaran modal PMKS dan MTC.

Tiga pendekatan tersebut ialah inovasi produk, infrastruktur pasaran dan pembinaan kapasiti

“Pelaksanaan strategi dan inisiatif ini dipandu oleh pendekatan keseluruhan negara, menekankan kepentingan kerjasama dan penyelarasan.

“Inisiatif utama dibangunkan dengan kerjasama rakan-rakan daripada kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta. Gabungan usaha semua pihak berkepentingan akan menggalakkan sinergi dan penyelarasan yang lebih baik dalam mencapai hasil daripada pelan hala tuju itu,” kata SC.

Menurut suruhanjaya itu, PMKS menyumbang lebih satu pertiga (38.4 peratus atau RM580.4 bilion) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan menggaji hampir separuh (48.2 peratus) daripada tenaga kerja pada 2022.

Pertumbuhan KDNK PMKS (11.6 peratus) juga mengatasi pertumbuhan keseluruhan KDNK domestik yang jelas menunjukkan kepentingan mereka dalam memacu ekonomi negara.

Landskap perniagaan Malaysia juga terdiri daripada kira-kira 8,500 MTC, yang menyumbang sekitar 36 peratus kepada KDNK Malaysia dan menggaji lebih 16 peratus tenaga kerja.

SC berkata pasaran modal menjadi sumber pembiayaan yang semakin meningkat kepada PMKS dan MTC, dengan RM25.3 bilion dana diperoleh dari 2017 hingga 2023 melalui pasaran modal PMKS dan MTC.

Pasaran modal terdiri daripada modal teroka, ekuiti persendirian, pendanaan awam ekuiti (ECF), pembiayaan rakan setara (pembiayaan P2P), Pasaran LEAP dan Pasaran ACE, katanya.

Antara 2017 hingga 2023, Pasaran LEAP dan Pasaran ACE merupakan sumber pembiayaan terbesar dalam pasaran modal PMKS dan MTC dengan RM12.8 bilion berjaya dijana, menyumbang lebih separuh daripada keseluruhan modal yang dikumpul.

Modal teroka dan ekuiti persendirian menyumbang RM5.9 bilion daripada jumlah dana yang dikumpul menerusi pasaran modal PMKS dan MTC, manakala kempen pendanaan awam ekuiti mengumpul RM676.9 juta dan kempen pembiayaan P2P mengumpul RM5.97 bilion.

Awang Adek berkata terdapat 178 syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE dengan jumlah permodalan pasaran sebanyak RM39.6 bilion pada akhir bulan lepas dan 48 syarikat tersenarai di Pasaran LEAP dengan jumlah permodalan pasaran RM6.3 bilion. 

“Syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE dan LEAP ini bermula sebagai PMKS. Banyak yang telah berjaya berkembang maju dan disenaraikan.

“Kami yakin banyak lagi yang akan menyusul jejak langkah mereka sekiranya kita mempunyai pendekatan berstruktur untuk membantu mereka seperti yang disasarkan dalam pelan hala tuju itu,” kata Awang Adek. 

— BERNAMA

TAG: Suruhanjaya Sekuriti, Awang Adek Hussin, PMKS, MTC, pelan hala tuju, lima tahun

Previous ArticleNext Article

MyCIF Perkenal Skim Ekonomi Perak Baharu dan Insentif Perkongsian Keuntungan Berasaskan VC Bagi Memudahkan Akses Pembiayaan PMKS

Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) hari ini mengumumkan inisiatif baharu untuk PMKS mendapatkan pembiayaan dalam bidang pertumbuhan baharu sekaligus memudahkan pelabur mengakses peluang pelaburan berkualiti tinggi. 

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kewangan II YB Senator Datuk Seri Amir

Hamzah Azizan pada Hari Penglibatan MyCIF di SC hari ini. Tema acara tersebut ialah “Modal Pemangkin untuk Impak Negara.”

Bagi menyokong keutamaan negara, MyCIF telah memperkenalkan inisiatif berikut:

  • Skim Ekonomi Perak (Silver Economy): Skim baharu untuk menggalakkan pelaburan dalam PMKS yang menyokong populasi warga emas Malaysia, khususnya dalam teknologi penjagaan, penjagaan kesihatan khusus dan kediaman warga emas.
  • Insentif Perkongsian Keuntungan VC/PE: Insentif baharu untuk menarik urus niaga yang dipimpin oleh modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE) pada platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF), sekaligus memberi peluang kepada pelabur menyertai urus niaga yang disokong institusi. MyCIF akan berkongsi 50% daripada keuntungan dengan pelabur utama VC dan PE yang berjaya merealisasikan pulangan melalui penjualan atau pelupusan (exit) pelaburan berkenaan.

– Gobi Partners dan OSK Ventures International telah menyatakan hasrat untuk membawa urus niaga kepada pelabur ECF.

Berikutan peruntukan Belanjawan 2026 sebanyak RM30 juta, tambahan sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan kepada MyCIF untuk tahun 2026.

Di samping itu, Skim Keterjaminan Makanan akan diperluaskan untuk merangkumi syarikat baharu agri-teknologi bagi menggalakkan pelaburan dalam inovasi yang menyokong usaha negara untuk memodenkan pertanian bagi meningkatkan produktiviti dan keterjaminan makanan.

Selain inisiatif baharu, MyCIF mengumumkan bahawa ia telah melangkaui RM1.5 bilion dalam pelaburan bersama sejak penubuhannya pada tahun 2019. Ditambah dengan jumlah RM6.2 bilion daripada pelabur swasta, MyCIF telah mengumpul dana sebanyak RM7.7 bilion untuk menyokong lebih 11,500 PMKS, yang terdiri daripada perniagaan tradisional hingga perniagaan yang didayakan teknologi, sejak enam tahun lalu.

Di samping itu, pulangan daripada pelaburan bersama MyCIF telah membolehkan geran kumulatif MOF iaitu sebanyak RM290 juta dikitar semula sebanyak 5.2 kali ganda.

Model MyCIF merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang membolehkan kerajaan melabur bersama pelabur swasta dalam kempen ECF dan P2P yang layak.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata bahawa MyCIF telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan PMKS dengan menggalakkan pengumpulan dana melalui platform ECF dan platform pembiayaan P2P, yang merupakan pembiayaan yang sukar didapati melalui saluran yang lebih konvensional.

“Model MyCIF memacu sinergi daya tahan modal awam dengan kebijaksanaan kolektif orang ramai. Saya yakin model ini berpotensi berkembang lebih jauh lagi bagi menangani keperluan pembiayaan dan memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Hari Penglibatan MyCIF menampilkan siri dialog dan galeri digital yang mengetengahkan perjalanan enam tahun impak MyCIF. Acara separuh hari itu menarik lebih 150 wakil daripada agensi kerajaan, VC, PE, ECF dan sektor pembiayaan P2P serta komuniti PMKS.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.sc.com.my/mycif.