Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) Kekal Pada 3%

Hari ini (8 Mei 2025) Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa kadar OPR kekal pada paras 3.00% selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh. Ini kali ke-12 OPR dikekalkan sejak 6 Julai 2023 yang lalu.

Ada yang baru pertama kali dengar OPR ke? Kalau nak tahu lebih lanjut, jemput baca Apa Itu Kadar Dasar Semalaman Atau Overnight Policy Rate (OPR) Dan 3 Kesan Penurunannya.

Apakah Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC)?

MPC mengekalkan OPR pada 3%

  • Tahap OPR ini selaras dengan penilain terkini ekonomi Malaysia
  • MPC terus peka terhadap perkembangan global serta kesan perkembangan ini kepada ekonomi Malaysia.
  • Pembiayaan kekal tersedia untuk isi rumah dan perniagaan dengan pertumbuhan kredit yang mampan

Apakah perkembangan ekonomi terkini?

Penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan dan perdagangan global yang berterusan, disokong oleh permintaan dalam negeri dan aktiviti yang dilakukan lebih awal (front-loading activities). Prospek pertumbuhan global akan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal.

Walau bagaimanapun, langkah-langkah tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan tindakan balas telah melemahkan prospek pertumbuhan dan perdagangan global. Prospek ini kekal tertakluk pada ketidakpastian yang ketara, termasuk hasil rundingan perdagangan dan ketegangan geopolitik. Ketidakpastian ini juga boleh menyebabkan volatiliti pasaran kewangan global yang lebih ketara.

Ekonomi Malaysia terus berkembang pada suku pertama

  • Pertumbuhan guna tenaga dan upah serta langkah-langkah dasar dalam negeri menyokong perbelanjaan isi rumah
  • Eksport disokong oleh perdagangan global dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi
  • Projek pelaburan swasta dan awam terus dilaksanakan
  • Pergerakan ringgit terus didorong terutamanya oleh perkembangan luaran

Inflasi kekal terkawal

Apakah perkembangan ekonomi Malaysia?

Ekonomi Malaysia sedang menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar dengan kedudukan yang kukuh; inflasi dijangka kekal terurus

  • Permintaan dalam negeri dijangka berdaya tahan meskipun ketidaktentuan global sedang mempengaruhi prospek ekonomi Malaysia
  • Aktiviti pelaburan dan perbelanjaan isi rumah akan terus menjadi teras pertumbuhan ekonomi
  • Halangan perdagangan akan menjejaskan eksport, namun permintaan berterusan untuk produk teknologi dan perbelanjaan pelancong akan memberikan sedikit sokongan
  • Kos global yang menurun dan keadaan permintaan dalam negeri yang stabil akan memastikan tekanan harga kekal terkawal
  • Matlamat MPC adalah untuk memastikan inflasi kekal rendah dan stabil serta pada masa yang sama menyokong pertumbuhan

Paras OPR Tertinggi Ialah 3.50% Pada Bulan April 2006

Pada masa itu, ekonomi sedang berkembang dengan stabil, inflasi IHP adalah pada 4.6% dan OPR yang lebih tinggi diperlukan bagi menguruskan risiko harga yang lebih tinggi.

Paras OPR Terendah Ialah 1.75% (Julai 2020 – Mac 2022)

Paras OPR terendah ialah 1.75% pada bulan Julai 2020 hingga Mac 2022 bagi menyokong ekonomi semasa pandemik COVID-19. Pada tempoh sukar, kadar faedah yang rendah menyebabkan kos pinjaman lebih rendah dan mengurangkan pulangan atas simpanan. Hal ini akan merangsang perbelanjaan, meningkatkan pelaburan serta melindungi pekerjaan dan pendapatan semasa krisis.

Paras OPR Mei Tahun Lepas (2024) Ialah 3.00%

Setahun yang lalu, paras OPR dikekalkan kepada 3.00% buat kali keenam selepas bulan Julai 2023. Pada masa itu, tahap OPR tersebut sesuai dengan keadaan ekonomi yang kukuh dan terus menyokong pertumbuhan.

Kenapa harga masih tinggi meskipun inflasi telah berkurang?

  • Harga lebih tinggi yang berlaku sekarang merupakan isu global. Meskipun inflasi telah berkurang, hal ini tidak bermaksud harga akan menjadi lebih rendah. Sebaliknya, harga meningkat pada kadar yang lebih perlahan.
    • Inflasi yang rendah penting untuk mewujudkan persekitaran makro ekonomi yang kukuh dan kondusif.
  • Pada tahun 2022, kos meningkat disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk gangguan bekalan yang menjejaskan aliran normal pengeluaran serta konflik ketenteraan di Ukraine. Harga komoditi yang lebih tinggi merupakan sebab utama kenaikan harga ini. Barangan berkaitan makanan adalah yang paling terkesan. Harga ini secara amnya telah stabil atau meningkat pada kadar yang lebih perlahan meskipun kekal tinggi.
  • Inflasi global dijangka terus berkurang pada tahun 2024. Walau bagaimanapun, risiko harga komoditi menjadi lebih tinggi terus wujud disebabkan oleh faktor-faktor geopolitik dan gangguan cuaca. Malaysia turut terkesan dengan faktor-faktor ini.
  • Tambahan lagi, Kerajaan telah mencadangkan pembaharuan struktur bagi menggalakkan upah yang seterusnya akan mengukuhkan kuasa beli pengguna bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup.
  • Berbanding dengan negara lain, kenaikan harga tidak begitu melampau di Malaysia. Negara kita mempunyai dasar subsidi bahan api dan kawalan harga yang menyebabkan inflasi masih rendah. Walau bagaimanapun, langkah-langkah seperti ini boleh menyebabkan negara menanggung kos yang besar. Hal ini kerana Kerajaan perlu terus menanggung jumlah yang banyak untuk memastikan harga terus rendah. Tindakan ini mengurangkan jumlah yang boleh diperuntukkan oleh Kerajaan untuk perbelanjaan yang lebih produktif atau memberikan bantuan dalam bentuk lain, terutamanya kepada golongan yang paling memerlukan.

Bagaimanakah kenaikan kadar faedah boleh memberikan kesan kepada saya?

Kadar faedah yang lebih tinggi bertujuan untuk menggalakkan orang ramai kurang meminjam dan lebih banyak menyimpan.

Jika anda mempunyai pinjaman, kesannya bergantung pada jenis pinjaman yang diambil.

  • Pinjaman berkadar tetap tidak akan terjejas.
    • Jumlah yang anda bayar balik kepada bank akan kekal sama. Lazimnya, kadar ini digunakan untuk pinjaman kereta.
  • Jika anda mempunyai pinjaman berkadar terapung, kos peminjaman akan meningkat.
    • Hal ini bermakna bayaran ansuran bulanan anda akan menjadi lebih tinggi. Lazimnya, kenaikan kadar ini akan memberikan kesan pada pinjaman perumahan dan sesetengah pinjaman peribadi. Bagi peminjam individu, kadar faedah pinjaman anda akan meningkat pada jumlah yang sama seperti kenaikan OPR.
  • Contohnya, jika OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas, kadar faedah bagi pinjaman perumahan anda juga akan meningkat kepada 3.75% sekiranya kadar sebelum ini ialah 3.50%. Ansuran pinjaman anda akan meningkat seiring dengan kadar faedah yang lebih tinggi.
  • Jika anda bercadang untuk mengambil pinjaman baharu, kos peminjaman juga boleh menjadi lebih mahal sekiranya kadar faedah lebih tinggi.
  • Selain pinjaman, kadar faedah yang lebih tinggi juga mempengaruhi simpanan anda.
    • Jika anda mendepositkan wang ke dalam akaun bank yang membayar faedah, anda akan mendapat pulangan yang lebih tinggi bagi simpanan anda.

Bila semakan OPR seterusnya?

Mesyuarat seterusnya adalah pada 9 Julai 2025 (Rabu). Pernyataan Dasar Monetari akan diumumkan pada pukul 3:00 petang selepas setiap mesyuarat MPC.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Krisis Geopolitik Ancam Bekalan Lebih Besar Berbanding Kenaikan Harga

KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik global dilihat lebih berisiko terhadap rantaian bekalan produk berbanding kenaikan harga, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata, walaupun cabaran geopolitik ketika ini belum memberi impak besar terhadap ekonomi Malaysia, negara dijangka berdepan gangguan rantaian bekalan yang lebih ketara dalam tempoh akan datang.

“Cabaran sebenar bukan harga. Bagi saya, orang terlalu fikir dan menumpukan harga. Lupakan soal harga, sebaliknya apa yang lebih penting ialah sama ada kita mempunyai bekalan itu atau tidak,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.

Mengulas trend harga semasa, Ameer Ali berkata tekanan harga global dan perkembangan geopolitik sememangnya memberi kesan kepada harga domestik, namun impaknya di Malaysia masih terkawal buat masa ini.

“Ada item tertentu yang turun harga dan ada juga yang meningkat sekitar tiga hingga lima peratus.

“Namun bagi saya, kesan cabaran geopolitik ini masih belum menyeluruh atau berleluasa terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata gangguan bekalan susulan perkembangan global semasa berkemungkinan hanya dirasai dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Bagaimanapun, katanya, dunia pernah melalui situasi sama sebelum ini dan banyak negara serta perniagaan kini lebih berpengalaman dalam mengurus gangguan rantaian bekalan.

“Kita telah mengharungi perkara sama berulang kali sebelum ini. Ketika Perang Ukraine misalnya, kita berdepan cabaran kekurangan baja. Tidak kurang juga cabaran ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Mengulas cabaran sektor e-dagang terhadap industri runcit, Ameer Ali berkata pemain e-dagang turut berdepan tekanan susulan peningkatan kos logistik.

“Oleh itu, kita sebagai peruncit masih mempunyai beberapa kelebihan. Situasi kali ini tidak sama seperti ketika COVID-19 yang menyaksikan lonjakan e-dagang apabila orang ramai tidak dapat keluar rumah.

“Sekarang orang ramai boleh keluar. Sudah pasti harga petrol dan kos tenaga mungkin meningkat, tetapi bukan pada tahap yang memberi kesan besar terhadap perjalanan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pengguna pasar raya lazimnya membeli barangan secara pukal, manakala pengguna e-dagang lebih cenderung membeli item secara individu, sekali gus menjadikan kos penghantaran sebagai komponen lebih besar dalam jumlah keseluruhan kos.

“Sudah tentu, pengguna kadangkala boleh terpengaruh dengan iklan seperti penghantaran percuma dan kupon percuma sehingga menyangka mereka mendapat sesuatu secara percuma.

“Namun ingat, tiada benda yang benar-benar percuma. Jika anda tidak membayarnya, orang lain yang akan membayarnya,” katanya.

Ditanya sama ada Mydin akan mempertimbangkan penyenaraian awam pada masa depan, Ameer Ali berkata syarikat itu masih mengutamakan nilai perniagaan jangka panjang yang berorientasikan masyarakat berbanding memaksimumkan keuntungan untuk pelabur.

“Untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO), anda perlu menunjukkan keuntungan yang tinggi bagi memenuhi kehendak pelabur.

“Anda juga perlu menunjukkan pertumbuhan yang sangat tinggi, yang kadangkala melibatkan kos tertentu,” katanya.

Beliau berkata Mydin mungkin tidak mencatat keuntungan setinggi syarikat lain dalam sektor sama kerana syarikat itu lebih mengutamakan khidmat kepada komuniti serta mengembalikan manfaat kepada pembekal.

“Kami tidak menjana keuntungan terlalu besar. Kenapa? Kerana sebahagian daripada keuntungan itu dikembalikan kepada pembekal,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan Mydin kekal komited untuk terus berkhidmat kepada masyarakat tempatan sebagai jenama tempatan.

– BERNAMA