Ancaman Siber Dipacu AI Melonjak Di Malaysia, Data Dijual Di ‘Dark Web’ – Fortinet


KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) —  Malaysia mencatatkan peningkatan mendadak ancaman siber yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI) dengan hampir 50 peratus organisasi melaporkan insiden serangan dipacu teknologi itu, demikian menurut hasil dapatan tinjauan firma keselamatan siber global, Fortinet.

Tinjauan International Data Corporation (IDC) dalam kalangan 11 negara Asia Pasifik (APAC) mendapati di Malaysia, 54 peratus organisasi melaporkan peningkatan ancaman itu sebanyak dua kali ganda manakala 24 peratus mengalami kenaikan tiga kali pada tahun lepas.

Pengurus Negara Fortinet Malaysia Kevin Wong berkata semakin banyak penjenayah siber bertindak memanfaatkan AI untuk membangunkan serta melancarkan serangan dengan lebih kerap dan pantas, melangkaui kaedah tradisional yang bertumpukan aspek pengekodan secara manual.

“Bagi memberi gambaran skala sebenarnya adalah sehingga 36,000 cubaan penipuan berlaku sesaat melalui automasi dengan 97 bilion cubaan eksploitasi dicatatkan bagi separuh pertama 2024 sahaja dan AI melonjakkan lagi trend ini sebanyak dua hingga tiga kali.

“Menurut IDC, lonjakan ancaman berteraskan AI jelas terbukti di Malaysia dengan lebih 100 bilion rekod (data) dicuri dan dijual dalam laman sesawang gelap “dark web” (yang hanya boleh diakses perisian khas),” katanya dalam sesi taklimat media di sini, hari ini.

 Wong berkata insiden kecurian kelayakan turut melonjak lebih 500 peratus dalam tempoh setahun dengan serangan “phishing” (memancing data) dipacu AI kian menepati sasaran dan sukar dikesan.

“Mekanisme tradisional tidak mampu menyainginya berikutan ancaman pantas dipacu AI ini memerlukan tindak balas yang sama cepat dan pintar. Oleh itu, AI juga memainkan peranan di pihak pertahanan,” katanya.

 Beliau berkata risiko siber ini juga telah berubah daripada kebimbangan yang jarang kepada cabaran kerap kerap dan sedang berlaku.

“Susulan peningkatan ancaman berteraskan AI ini, ciri-ciri risiko siber itu turut berubah daripada tindak balas selepas berlaku kepada sesuatu yang perlu ditangani sebelum berlaku. Atas alasan ini, kami bekerjasama dengan IDC untuk lebih memahami bagaimana pemimpin keselamatan di seluruh Asia mengemudi landskap ancaman yang kian ketara, cabaran dihadapi serta jurang kritikal dalam kesiapsiagaan organisasi,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi Fortinet bagi Asia/Australia dan New Zealand (ANZ) Rashish Pandey berkata pelaburan keselamatan siber di Malaysia masih rendah serta tidak seimbang dengan purata hanya 15 peratus daripada peruntukan teknologi maklumat (IT) untuk keselamatan siber atau mewakili satu peratus daripada jumlah perolehan hasil.

“Keadaan itu disebabkan kita masih bergelut untuk menjelaskan impaknya ke atas perniagaan kepada pihak eksekutif dan ahli Lembaga Pengarah.

“Apa yang kerap berlaku adalah perbincangan itu hanya menjurus kepada aspek teknikal dengan Lembaga Pengarah sebaliknya mahukan perbincangan yang menumpukan risiko, impak dan penilaian perniagaan. Oleh itu, kami membantu pelanggan dengan menyenaraikan keselamatan siber sebagai isu strategik perniagaan berbanding teknikal semata-mata,” katanya.

Hasil tinjauan itu turut mendapati hanya 19 peratus daripada organisasi Malaysia amat yakin dengan kemampuan menangani serangan berteraskan AI dengan 27 peratus mengakui ancaman itu lebih pantas daripada kemampuan pengesanan dan 20 peratus lagi mengakui tidak dapat mengesannya sama sekali.

Ransomware kekal menjadi ancaman paling kerap dihadapi sebagaimana diakui oleh majoriti atau 64 peratus responden Malaysia.

Risiko kerap lain termasuk serangan terhadap rantaian bekalan perisian (54 peratus), ancaman dalaman (52 peratus), kelemahan dalam perkhidmatan awan (46 peratus) serta serangan phishing (40 peratus).

Tinjauan yang dijalankan pada Februari hingga April 2025, melibatkan 550 pemimpin IT dan keselamatan siber dari seluruh rantau Asia Pasifik bagi menilai tahap kesediaan organisasi menghadapi ancaman berasaskan AI yang kian.

–BERNAMA

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/