Kerajaan Disaran Semak Semula Pelepasan Cukai Korporat – BBC

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) — Kerajaan disaran menyemak semula pelepasan cukai korporat khususnya bagi syarikat yang merekodkan keuntungan luar biasa tetapi mengekalkan jurang gaji yang terlalu besar di antara pengurusan tertinggi dengan pekerja bawahan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata sudah tiba masanya untuk melaksanakan prinsip kesaksamaan cukai apabila insentif cukai dikaitkan dengan dasar gaji yang lebih adil dan tanggungjawab sosial korporat.

“Selain itu, pengukuhan kesatuan sekerja mesti menjadi sebahagian daripada perubahan struktur ekonomi. Hari ini, hanya 6.0 peratus tenaga kerja Malaysia terlibat dalam kesatuan.

“Ini jauh lebih rendah berbanding Korea Selatan (13 peratus), Indonesia (12 peratus) dan Sweden (65 peratus),” kata Mohd Shahar ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, kesatuan yang kuat bukan sahaja memperjuangkan hak pekerja, tetapi juga membantu memastikan dasar gaji dan produktiviti berkembang seiring.

Tambahnya, peningkatan bahagian Pampasan Pekerja (COE) perlu dijadikan teras utama dalam memperkukuh asas ekonomi negara.

“Apabila lebih banyak bahagian Keluaran Dalam Negara Kasar diagihkan kepada gaji dan pampasan pekerja, ia secara langsung meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah, merangsang perbelanjaan domestik dan memperkukuh daya tahan ekonomi,” kata Mohd Shahar.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya penyaluran sumbangan tunai rahmah (STR) disemak semula daripada setiap tiga bulan kepada setiap bulan atau setiap dua minggu seperti yang dilaksanakan di India.

Mohd Shahar berkata langkah ini dapat membantu rakyat mengurus perbelanjaan dengan lebih baik dan mengelakkan lonjakan perbelanjaan berkala.

“Bantuan tunai bukan penyelesaian kekal. Kerajaan perlu melangkah ke tahap seterusnya melalui kenaikan gaji minimum yang progresif, latihan semula tenaga kerja dan pemerkasaan ekonomi komuniti agar rakyat mampu membina daya saing sendiri,” tambahnya.

Mohd Shahar turut menggariskan tiga pembaharuan utama dalam sektor perumahan bagi menangani ketidakseimbangan struktur yang semakin ketara dalam pasaran perumahan negara.

Beliau berkata perubahan cukai harta perlu dilaksanakan dengan menggantikan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) kepada Cukai Keuntungan Modal (CKM) secara progresif selain memperkenalkan Cukai Spekulasi dan Kekosongan bagi mengekang aktiviti penahanan stok rumah tidak terjual.

Mohd Shahar memberitahu, tadbir urus perancangan perumahan juga perlu diperkemas melalui model berasaskan permintaan sebenar serta perubahan hasil negeri supaya perancangan pembangunan tidak hanya bergantung kepada projek berharga tinggi yang kurang mampu milik.

Selain itu, katanya, perlindungan bersasar bagi pembeli rumah pertama perlu diwujudkan dan semakan semula program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) perlu dilaksanakan agar pelaburan asing tidak menambah lambakan hartanah mewah di pasaran.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Lebih 70 Peratus Depoh Pengadun Sedia Laksana Biodiesel B15 Guna Fasiliti Sedia Ada – Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR: Lebih 70 peratus depoh pengadun di Malaysia bersedia untuk melaksanakan biodiesel B15 menggunakan fasiliti sedia ada, susulan pengumuman kerajaan untuk meningkatkan adunan biodiesel kepada B15 secara berperingkat, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, kerajaan telah mengadakan mesyuarat dan lawatan bagi mengenal pasti kesediaan kemudahan itu untuk melaksanakan adunan biodiesel B15.

“Hasil dapatan pemeriksaan infrastruktur depoh pengadun oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mendapati lebih 70 peratus depoh pengadun di Malaysia bersedia untuk melaksanakan biodiesel B15 menggunakan fasiliti sedia ada.

“Langkah penyesuaian operasi sedang dirangka oleh depoh pengadun bagi memastikan kecekapan dan keterjaminan bekalan produk petroleum kepada pengguna,” katanya pada taklimat harian berkaitan krisis bekalan global.

Akmal Nasrullah berkata, beliau dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah melawat Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT) dan melihat sendiri kesediaan loji pemprosesan biodiesel di Pulau Indah, Klang.

“Lawatan ini memberi mesej penting bahawa isu tenaga tidak lagi boleh dilihat hanya dari sudut bekalan semasa.

“Ia perlu ditangani dalam satu kerangka nasional yang menghubungkan keselamatan tenaga, kekuatan sektor komoditi, kecekapan logistik, ketahanan rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi negara,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa lawatan tersebut penting kerana ia membolehkan kerajaan melihat sendiri keseluruhan ekosistem biodiesel negara secara menyeluruh, termasuk pengeluaran bahan asas, keupayaan pengadunan, kelancaran operasi fasiliti dan ketahanan rantaian bekalan.

Susulan keputusan itu, Kementerian Ekonomi dan KPK sedang menyusun tindakan bersama semua pihak yang terlibat untuk merealisasikan agenda biodiesel berkenaan.

Pada 14 April, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 bagi mengekalkan bekalan diesel negara susulan krisis yang berlaku di Asia Barat.

Langkah itu bertujuan mengelakkan kebergantungan melampau kepada bahan api fosil import dan pasaran luar serta melaksanakan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan yang dipercepatkan kepada tenaga boleh baharu.

-BERNAMA