SC Umum Kohort Pertama Peserta Sandbox Pengawalseliaan (Regulatory Sandbox)

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengumumkan pemilihan enam peserta untuk kohort sulung Sandbox Pengawalseliaan (Regulatory Sandbox).

Sandbox Pengawalseliaan, yang dilancarkan pada Sidang Kemuncak Fintech SCxSC tahun lepas untuk memupuk inovasi pasaran modal, membolehkan syarikat menguji produk dan perkhidmatan baharu dan inovatif yang menyumbang kepada kerancakan dan keterangkuman pasaran modal.

Sebagai salah satu kit alatan inovasi SC, sandbox ini membolehkan SC bekerjasama rapat dengan industri, menggunakan ujian sebenar untuk meningkatkan dasar dan rangka kerja kawal selia serta pembangunan pasaran.

Permohonan, yang dibuka dari 15 April hingga 31 Mei 2025, mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai peserta pasaran.

Berikutan proses penilaian berperingkat, SC telah memilih enam peserta berikut merentasi tiga tema teras:

  1. Memudahkan pelaburan hartanah alternatif: Wahed X Sdn Bhd (Wahed) dan Urban NX Sdn Bhd (Urby)
  2. Memupuk kerancakan pasaran melalui pasaran sekunder: Kapital DX Sdn Bhd (KLDX) dan Pitch Platforms Sdn Bhd (PSTX 2.0)
  3. Memacu inovasi dalam pembiayaan alternatif: Virtual Economy Technology Sdn Bhd (V Systems) dan PeerHive (M) Sdn Bhd (PeerHive)

Kohort sulung ini akan mempelopori kemajuan merentasi bidang utama. Selain itu, beberapa peserta juga memanfaatkan analitik data lanjutan dan blok rantai untuk meningkatkan usaha wajar dan memperkenalkan model operasi baharu.

Peserta yang berjaya akan diberikan tempoh ujian selama kira -kira 12 bulan untuk menggunakan dan menilai penyelesaian yang dicadangkan mengikut parameter dan keperluan ujian yang ditetapkan. Pengujian akan bermula dalam dua kumpulan, di mana peserta bermula berdasarkan ketersediaan mereka – sama ada pada Januari 2026 atau Julai 2026.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata sandbox ini berfungsi sebagai landasan inovasi bertanggungjawab, membolehkan penyelesaian yang memberikan nilai kepada pasaran modal.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk mewujudkan persekitaran di mana inovasi boleh berkembang maju tanpa menjejaskan perlindungan pelabur. Dengan menggalakkan pengujian dalam rangka kerja terkawal, SC berhasrat untuk memupuk idea-idea yang berpandangan jauh yang boleh mengukuhkan kecekapan pasaran,” katanya.

Selain sandbox pengawalseliaan, syarikat-syarikat dengan model perniagaan inovatif digalakkan untuk berhubung dengan SC melalui Alliance of FinTech Community (aFINity), dengan mengemukakan pelan perniagaan atau cadangan mereka melalui [email protected].

Untuk maklumat lanjut tentang sandbox pengawalseliaan, rujuk di sini.

Previous ArticleNext Article

Barangan Pengguna: Rumusan Keputusan Sektor Untuk 1Q26

Saranan WAJARAN TINGGI kekal; Saham Pilihan Utama: Nestle (M) (NESZ), Farm Fresh (FFB), Mr DIY Group (MRDIY), dan Eco-Shop Marketing (ECOSHOP)

Dalam sektor ini, kami masih mengutamakan saham-saham yang berdaya tahan dan yang menjana perolehan dalam pasaran tempatan di tengah-tengah ketidaktentuan luaran yang berlaku. Penilaian sekarang kelihatan lebih menarik – penilaian sahamsaham yang kami kaji dalam sektor ini sudah menurun kepada P/E hadapan kira-kira 23x (hampir 1.5SD bawah purata jangka panjangnya).

Kami menyukai NESZ dan FFB disebabkan oleh pendedahan mereka kepada segmen barangan asas dan kuasa penetapan harga yang kukuh, manakala MRDIY dan ECOSHOP seharusnya meraih manfaat daripada tingkah laku pengguna yang memilih nilai dan beralih ke barangan lebih murah, sekiranya sentimen bertukar menjadi lebih berhati-hati.

Keputusan sektor 1Q26 menepati jangkaan

Daripada 17 saham yang kami kaji, sembilan berjaya mencapai jangkaan, tujuh tersasar dan satu melangkaui ramalan. Kami menyaksikan pertumbuhan positif dalam hasil dan untung bersih (Rajah 2), didorong oleh dua musim perayaan, iaitu Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidil Fitri. Semasa suku tahun ini, satu-satunya saranan yang dipinda adalah untuk QL Resources. Kami berpendapat penilaiannya sudah menurun ke paras yang menarik oleh sebab jangkaan pertumbuhan perolehan yang dinantikan kelak.

Pemerhatian utama

Yang memberangsangkan, trend jualan YoY dilihat stabil merentasi kebanyakan saham, yang menunjukkan bahawa tahap penggunaan yang teguh disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang baik dan pasaran pekerjaan yang teguh. Dengan itu, margin untung disokong oleh keumpilan operasi yang menyusul. Walaupun begitu, bayangan pihak pengurusan sekarang menjadi lebih berjaga-jaga berbanding pandangan optimis sebelum ini – kebimbangan utama datang daripada kesan-kesan konflik Asia Barat, termasuklah sentimen pengguna yang semakin lemah dan tekanan inflasi yang meningkat.

Oleh itu, kebanyakan syarikat sedang mencari pelbagai langkah dan pilihan untuk mengurangkan kenaikan kos (bahan mentah, logistik, utiliti, dll) dan merangsang perbelanjaan pengguna. Yang lebih positif, tidak banyak syarikat pengguna yang mengalami atau meramalkan gangguan pada rantai bekalan, disebabkan oleh skala operasi mereka yang besar, rantai bekalan yang pelbagai dan penimbal inventori yang mencukupi.

Sektor ini patut terus memberikan perlindungan selamat

Dengan menawarkan keterlihatan perolehan tatkala pasaran bergolak, disebabkan oleh asas perolehan yang tertumpu pada pasaran tempatan dan tahap penggunaan yang teguh. Secara asasnya, program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang semakin mendapat sambutan sebagai langkah sokongan fiskal juga patut mendorong lebih banyak perbelanjaan dalam sektor ini, sementara subsidi minyak menjadi faktor penting bagi menyokong tahap penggunaan dan mengawal tekanan inflasi.

Konflik Asia Barat yang berlarutan mungkin akan menyebabkan perbelanjaan pengguna yang lemah dan tekanan kos, tetapi perkara-perkara ini mungkin tidak akan menjejaskan prestasi YoY kerana persekitaran sektor secara amnya pada 2Q25-3Q25 juga mencabar akibat ketidaktentuan berkenaan tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS. Tambahan itu, nilai MYR yang kukuh, trend harga komoditi yang menstabil dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 ialah pendorong-pendorong sektor yang dapat melemahkan risiko negatif.

Risiko-risiko negatif

Termasuklah konflik geopolitik yang berlarutan dengan panjangnya, sentimen pengguna yang lebih lemah, kenaikan kos komoditi yang lebih mendadak, gangguan rantai bekalan dan risiko pewajaran subsidi.

Penganalisis
Soong Wei Siang +603 2302 8130 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.