PNB Isytihar Pengagihan Pendapatan 5.75 Sen Bagi Tahun Kewangan 2025 Untuk ASB

  • Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), iaitu Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
  • Jumlah pembayaran sebanyak RM10.4 bilion akan memberi manfaat kepada 11.4 juta pemegang unit ASB.
  • Ini menjadikan jumlah kumulatif pengagihan pendapatan ASB sebanyak RM206.7 bilion, mencerminkan ketahanan dan kekuatan portfolio pelaburan ASB.
  • ASB mengekalkan kadar pengagihan dividennya berbanding tahun 2024 dan terus memberikan pulangan mampan yang mengatasi pasaran apabila ia berjaya meningkatkan jurang daya saing berbanding penanda arasnya, iaitu kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank, yang mencatatkan kadar purata 2.29%, kepada 346 mata asas.
  • Kami telah mencatatkan prestasi yang baik merentasi fokus utama, iaitu meningkatkan aliran masuk bersih pelanggan, menyampaikan pengagihan pendapatan yang mampan kepada pemegang unit, serta memperkukuh modal proprietari PNB. Ini telah menghasilkan peningkatan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) sebanyak 4.5% kepada RM364 bilion.
  • ASNB telah mengagihkan dividen berjumlah RM15.3 bilion pada tahun 2025, iaitu yang tertinggi pernah dicatat, menjadikan jumlah keseluruhan pengagihan sejak penubuhan mencecah RM279 bilion. Pencapaian ini mencerminkan trajektori prestasi yang positif dan konsisten merentasi semua 18 dana unit amanahnya.

Kuala Lumpur, 19 Disember 2025 – Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), hari ini mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025). Jumlah pembayaran keseluruhan adalah sebanyak RM10.4 bilion dan akan memberi manfaat kepada 11.4 juta pemegang unit ASB.

ASB mengekalkan kadar pengagihan dividennya berbanding tahun 2024 dan terus memberikan pulangan mampan yang mengatasi pasaran apabila ia berjaya meningkatkan jurang daya saing berbanding penanda arasnya, iaitu kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank, yang mencatatkan kadar purata 2.29%, kepada 346 mata asas.

Prestasi pengagihan dividen yang kukuh dan berterusan ini dicapai dalam persekitaran pasaran ekuiti awam domestik yang mencabar, di mana FBM KLCI mencatat pulangan harga sebanyak -0.3% sehingga kini bagi tahun 2025. Pasaran ekuiti domestik terjejas oleh aliran keluar dana asing yang berterusan serta sentimen pelabur yang berhati-hati, meskipun prestasi asas ekonomi Malaysia kekal positif dengan pertumbuhan KDNK 2025 dijangka mencapai antara 4.0% hingga 4.8%, kemasukan pelaburan yang ketara serta pengukuhan nilai Ringgit Malaysia yang meningkat sebanyak 8.7% kepada RM4.09 bagi setiap USD1.

Pengerusi Kumpulan PNB, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda berkata, “Selama lebih 46 tahun, PNB telah diamanahkan untuk melindungi simpanan hasil titik peluh rakyat. Kami berbesar hati dapat mengekalkan pengagihan dividen ASB sebanyak 5.75 sen, dengan jumlah pembayaran
RM10.4 bilion, iaitu jumlah pengagihan tahunan tertinggi yang dibayar sejak penubuhan ASB. Ini menjadikan jumlah kumulatif pengagihan pendapatan ASB sebanyak RM206.7 bilion, mencerminkan ketahanan dan kekuatan portfolio pelaburan ASB.”

“Kami menyedari cabaran yang lebih besar iaitu kekurangan simpanan dan keperluan untuk memupuk tabiat menabung yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia. Berikutan itu, kami merancang untuk
mempergiatkan usaha literasi kewangan kami, berpandukan Matlamat kami untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi,” tambah beliau.

Selain itu, ASNB telah mengagihkan dividen berjumlah RM15.3 bilion pada tahun 2025, iaitu yang tertinggi pernah dicatat, menjadikan jumlah keseluruhan pengagihan sejak penubuhan mencecah RM279 bilion. Pencapaian ini mencerminkan trajektori prestasi yang positif dan konsisten merentasi semua 18 dana unit amanahnya, termasuk ASB dan Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi dana harga tetap, serta ASN Equity, ASN Imbang dan ASN Sara bagi dana harga berubah-ubah.

Kadar pengagihan bagi dana harga tetap ASNB meningkat tahun ke tahun, mengekalkan jurang yang sihat di atas purata penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan, sekali gus memastikan pulangan yang kompetitif kepada pemegang unit. Pada masa yang sama, dana harga berubah-ubah ASNB terus menunjukkan prestasi kukuh, dengan kesemua dana mengatasi penanda aras masing-masing dan empat daripada jumlah 12 dana berada dalam kuartil teratas bagi segmen masing-masing, berdasarkan pulangan
tiga tahun berturut-turut. Prestasi berdaya tahan ini didorong oleh portfolio pelaburan yang semakin dipelbagaikan, disokong oleh peruntukan aset yang berhemat, strategi pelaburan yang berdisiplin dan pengurusan risiko yang proaktif.

Dato’ Abdul Rahman Ahmad, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, berkata, “Ketika kami memasuki tahun kedua pelaksanaan Pelan Strategik LEAP-6 PNB, kami telah mencatatkan prestasi yang baik merentasi fokus utama, iaitu meningkatkan aliran masuk bersih pelanggan, menyampaikan pengagihan pendapatan yang mampan kepada pemegang unit, serta memperkukuh modal proprietari PNB. Ini telah menghasilkan peningkatan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) sebanyak 4.5% kepada RM364 bilion. Kami telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan sepanjang tahun lalu dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran AUM sebanyak RM400 bilion menjelang 2027.”

Jumlah pemegang akaun unik ASNB kekal stabil pada 13 juta, disokong oleh pertambahan kasar sebanyak 560,000 pemegang akaun sepanjang tahun, mencerminkan kepercayaan dan kesetiaan orang ramai yang
berterusan.

Menjelang 2026, PNB akan mempergiatkan usaha untuk meningkatkan
simpanan rakyat Malaysia, berasaskan kepada kempen KitaGenerasiLabur, inisiatif simpanan berkala digital Auto Labur, dan Pandu Impianmu, serta disokong oleh pemangkin baharu seperti kaedah pembayaran zakat berasaskan khultah menggunakan pendekatan AlMustaghallat mulai suku kedua 2026.

“#KitaGenerasiLabur adalah seruan kami kepada rakyat Malaysia merentasi semua generasi untuk mengubah pemikiran mereka dan mengambil tanggungjawab terhadap masa depan kewangan mereka
dengan memulakan simpanan dan pelaburan lebih awal, melabur secara berkala, serta mengekalkan disiplin. Analitik yang dipertingkatkan membolehkan kami memahami tingkah laku pelanggan dengan lebih baik, seterusnya melaksanakan kempen yang lebih bersasar bagi menangani perubahan tingkah laku tersebut,” kata beliau.

Menurut Dato’ Abdul Rahman Ahmad lagi, “Melangkah hadapan, kami kekal berhati-hati terhadap prospek pelaburan bagi 2026, memandangkan pasaran modal global terus menghadapi ketidaktentuan dan turun naik di tengah-tengah perubahan struktur yang mendalam dalam landskap ekonomi global, termasuk gangguan dasar perdagangan dan kebimbangan terhadap potensi kemungkinan penilaian berlebihan, terutamanya dalam pelaburan berasaskan AI.”

“Di peringkat domestik, PNB akan bekerjasama rapat dengan penggubal dasar dan pemain pasaran utama untuk mempercepatkan reformasi serta meningkatkan prestasi korporat yang diperlukan bagi mengukuhkan daya saing pasaran ekuiti domestik, memastikan ia mencerminkan asas ekonomi
dan pertumbuhan Malaysia yang kukuh, dipacu oleh kerangka MADANI, sambil merangsang pelaburan domestik dan menggalak pertumbuhan inklusif,” tambah beliau.

Pengiraan pengagihan pendapatan ASB adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut. Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2026.

Transaksi bagi ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 27 hingga 31 Disember 2025. Pemegang unit boleh menyambung semula transaksi melalui semua saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2026, dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB mulai 2 Januari 2026.

Previous ArticleNext Article

SC Dan Bursa Malaysia Perkenal Program MY Value Up

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia hari ini memperkenalkan Program MY Value Up, satu inisiatif kerjasama untuk menyokong syarikat awam tersenarai (PLC) Malaysia dalam meningkatkan penciptaan nilai jangka panjang mereka dan berubah menjadi cadangan pelaburan menarik di peringkat global.

Selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (Pelan Induk), MY Value Up mencerminkan komitmen bersama SC dan Bursa Malaysia untuk memupuk landskap korporat yang lebih dinamik.

Pada asasnya, program MY Value Up bertujuan untuk menggalakkan PLC menerima pakai pendekatan yang lebih peka dan proaktif dalam menyampaikan kemajuan dan perkembangan pertumbuhan mereka.

Dengan menggalakkan syarikat untuk menjelaskan dan menzahirkan strategi jangka sederhana hingga panjang mereka, MY Value Up membantu PLC mengutamakan cita-cita korporat yang lebih kukuh dan memudahkan penglibatan yang lebih bermakna dengan pelabur domestik dan serantau.

Ini juga membawa kepada pendedahan yang lebih telus dan berpandangan ke hadapan yang meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong keputusan peruntukan modal termaklum.

SC pada hari ini telah mengadakan sesi penglibatan dengan Pengerusi dan eksekutif Csuite daripada 88 PLC teratas yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan peneraju industri pasaran modal. 88 PLC yang terpilih untuk program ini secara kolektifnya menyumbang sebanyak 80% permodalan pasaran syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dengan setiap satunya mempunyai permodalan pasaran minimum kira-kira RM4 bilion. 

Sesi ini tertumpu kepada peranan penting yang dimainkan oleh PLC dalam memperkukuhkan penilaian korporat Malaysia dan daya tarikan pasaran keseluruhan.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata MY Value Up membimbing pemikiran lembaga ke arah penciptaan nilai jangka panjang.

“Pelan Induk baharu ini menetapkan visi berani ke arah pasaran modal yang lebih dinamik dan berdaya saing. Matlamat kami adalah untuk bergerak bersama daripada budaya pematuhan semata-mata kepada budaya penciptaan nilai aktif. Ini merupakan masa yang sesuai untuk PLC terkemuka memperluas lensa penilaian dan menanda aras prestasi mereka terhadap yang terbaik dalam kelasnya, bukan sahaja secara domestik tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa.” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed berkata, “Program MY Value Up direka untuk meningkatkan keterlihatan dan pengiktirafan pasaran terhadap prestasi korporat asas dalam kalangan syarikat awam tersenarai yang mengambil bahagian. Dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan ekosistem pasaran yang lebih luas, Bursa Malaysia akan memajukan usaha ini dengan memperkukuhkan isyarat pasaran untuk syarikat tersenarai melalui penyampaian strategi yang lebih jelas, disiplin prestasi yang lebih kukuh dan penglibatan yang lebih mendalam dengan pelabur. Akhirnya, ini menyokong penemuan harga yang lebih berkesan dan menyumbang kepada pasaran modal yang lebih rancak yang mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada nilai korporat jangka panjang.”

Bagi memastikan program ini praktikal dan berimpak, sesi penglibatan hari ini akan diikuti dengan beberapa siri bengkel teknikal. Ini akan membolehkan PLC yang mengambil bahagian memberikan maklum balas yang akan membantu membentuk MY Value Up.

Bagi menyokong pelancaran program yang berkesan, Buku Panduan yang menggariskan jangkaan di bawah MY Value Up akan dikeluarkan menjelang separuh pertama tahun ini.