RHB & IJN Lancar Program Pemeriksaan Kesihatan Jantung Mudah Alih Di Seluruh Negara

Kuala Lumpur – RHB Banking Group (“RHB” atau “Kumpulan”) dan Institut Jantung Negara (“IJN”), peneraju dalam penjagaan kardiovaskular terkemuka Malaysia, hari ini melancarkan kerjasama strategik bagi membawa perkhidmatan penjagaan kesihatan jantung yang penting lebih dekat kepada rakyat, khususnya komuniti yang mempunyai akses terhad. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad, dan mencerminkan komitmen bersama RHB dan IJN dalam meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan jantung di peringkat komuniti.

Teras kepada inisiatif ini adalah Unit Pemeriksaan Kesihatan Jantung Mudah Alih IJN yang telah dinaik taraf, iaitu sebuah treler 40 kaki dengan ruang yang boleh diperluaskan, dilengkapi kemudahan ECHO, ECG serta bilik triage trauma. Dengan mobiliti dan keupayaan operasi yang dipertingkatkan, unit yang dinaik taraf ini membolehkan IJN melaksanakan misi pemeriksaan dengan lebih kerap dan meluas ke kawasan pinggir bandar, luar bandar, pedalaman serta komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, di samping menjangkau orang awam di luar kemudahan hospital. Sekiranya keputusan pemeriksaan menunjukkan keperluan rawatan lanjut, pasukan di lokasi akan mengeluarkan rujukan segera.

Pengarah Urusan Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Dato’ Mohd Rashid Mohamad berkata, “Bagi kami, kerjasama ini mencerminkan komitmen RHB untuk membuka akses di tempat yang paling memerlukan. Di RHB, kami melihat kesejahteraan komuniti sebagai sesuatu yang perlu dibina sejak awal dan diperkukuhkan secara berterusan melalui pencegahan, pendidikan dan pemerkasaan. Apabila perkhidmatan dibawa lebih dekat kepada komuniti, orang ramai dapat mengambil tanggungjawab terhadap kesejahteraan mereka serta merancang masa depan dengan lebih baik. Inilah erti sebenar kemajuan inklusif, mendekati masyarakat di tempat mereka berada dan mewujudkan impak yang berkekalan.”

Sepanjang tempoh tiga tahun akan datang, IJN dan RHB akan melaksanakan program libat urus komuniti secara bersama, menggabungkan kepakaran IJN dalam pemeriksaan dan pendidikan kesihatan jantung dengan program literasi kewangan RHB. Usaha bersepadu ini bertujuan menyokong komuniti dengan maklumat yang menyumbang kepada pembentukan isi rumah yang lebih sihat dan celik kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof. Dato’ Sri Dr. Mohamed Ezani Md Taib berkata, “Diperkenalkan pada tahun 2013, Pemeriksaan Mudah Alih IJN bersaiz 40 kaki yang merangkumi sebuah prime mover dan treler dengan ruang operasi yang boleh diperluas serta dilengkapi kemudahan ECG dan ECHO – telah menjadi platform utama dalam menyampaikan pemeriksaan dan pendidikan kesihatan jantung di seluruh negara. Naik taraf terkini memastikan mobiliti, keselamatan dan kecekapan operasi usaha libat urus penting ini dapat diteruskan ketika kami membawa inisiatif IJN Menjejaki Malaysia ke setiap pelosok negara selaras dengan komitmen IJN Goes Beyond.”

Melalui kerjasama ini, RHB dan IJN menjangkakan sekurang-kurangnya 12 lokasi di kawasan pinggir bandar, luar bandar, pedalaman serta komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dapat dicapai, memberi manfaat kepada lebih 3,000 ahli komuniti setiap tahun.

RHB juga akan mengintegrasikan program literasi kewangan utamanya, RHB Smart Money, dalam beberapa sesi libat urus komuniti terpilih bersama IJN bagi memberi manfaat yang lebih menyeluruh kepada komuniti. Aktiviti ini akan merangkumi sekolah luar bandar di bawah program RHB X-Cel, universiti awam menerusi inisiatif RHB MySiswa serta komuniti di bawah RHB Santuni MADANI, di mana akses kepada penjagaan kesihatan pencegahan dan pendidikan kewangan masih terhad.

Previous ArticleNext Article

Mahasiswa Perlu Kuasai Literasi Kewangan Dan Agenda Kelestarian Global

TANJONG MALIM – Mahasiswa perlu menguasai literasi kewangan dan memahami agenda kelestarian global bagi melengkapkan diri sebagai generasi yang berdaya saing, bertanggungjawab dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali berkata kedua-dua aspek itu menjadi fokus utama penganjuran program RHB Ocean Harmony dan RHB MySiswa Brand Challenge 2026 yang menghimpunkan mahasiswa daripada sembilan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Beliau berkata program yang berlangsung selama tiga hari itu bukan sekadar sebuah acara, sebaliknya platform pembelajaran yang memberi pengalaman sebenar kepada mahasiswa dalam aspek pemasaran, perbankan digital, literasi kewangan serta kesedaran terhadap isu kelestarian.

“Jika anda melihat program ini sebagai satu acara, ia hanya akan menjadi sebuah acara. Namun jika anda melihatnya sebagai pengalaman pembelajaran, anda akan memperoleh nilai yang jauh lebih besar daripada apa yang telah disediakan sepanjang program ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan RHB Ocean Harmony dan RHB MySiswa Brand Challenge 2026 di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah,Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.

Menurut beliau, MySiswa Brand Challenge diwujudkan bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab, selain memberi pendedahan mengenai keselamatan transaksi digital dan ancaman penipuan kewangan yang semakin kompleks.

“Literasi kewangan bermula dengan kesedaran. Mahasiswa perlu memahami produk kewangan yang digunakan, mengurus kewangan secara berhemah serta melindungi maklumat peribadi daripada disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin berkata program berkenaan merupakan platform pembangunan bakat mahasiswa yang memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar industri.

Beliau berkata penganjuran RHB Ocean Harmony dan MySiswa Brand Challenge 2026 berjaya menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang untuk menguji kebolehan menghasilkan idea, strategi dan penyelesaian yang inovatif melalui dua kategori utama pertandingan yang dipertandingkan.

“Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan pemikiran kritikal, kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah, malah memberi pengalaman pembelajaran yang amat bernilai kepada mahasiswa dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang sebenar,” katanya.

Pada majlis sama, sesi penyampaian hadiah turut diadakan bagi menghargai pencapaian peserta dalam dua kategori utama pertandingan. Bagi kategori MySiswa Brand Challenge, gelaran juara dimenangi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membawa pulang wang tunai RM1,000, sijil penghargaan, plak dan Geran Pelaksanaan bernilai RM2,000.

Sementara itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) muncul juara kategori Ocean Harmony sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000, sijil penghargaan, plak dan Geran Pelaksanaan bernilai RM2,000.

Majlis turut menyaksikan penyerahan cek cura bernilai RM111,595 daripada RHB Islamic Bank Berhad kepada UPSI menerusi Inisiatif Kad Prihatin Siswa bagi menyokong kebajikan pelajar universiti tersebut.