
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan penubuhan ICM Innovation Lab (FIKRALab), sebuah platform kolaborasi berstruktur dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) gunaan untuk membangunkan produk dan instrumen baharu dalam pasaran modal Islam (ICM).
FIKRALab, yang merupakan inisiatif di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030, bertujuan memperkasa ICM Malaysia dengan berteraskan Maqasid al-Shariah dan berpandukan prinsip Halal-Toyyib.
Melalui FIKRALab, SC berhasrat untuk memangkin pembangunan produk dan perkhidmatan ICM berasaskan Maqasid al-Shariah yang memberikan objektif beretika, nilai ekonomi sebenar serta impak sosial yang lebih luas.
Inovasi ini bertujuan memelihara keperluan asas kesejahteraan manusia agama, nyawa, akal, keturunan dan harta sambil menyelaraskan modal dengan aktiviti ekonomi produktif serta memajukan kemakmuran bersama yang mampan.
FIKRALab dibangunkan berasaskan usaha berterusan SC dalam memupuk inovasi ICM. Usaha ini bermula dengan FIKRA, program pemecut fintech Islam Malaysia, dan kemudian diperkukuh melalui FIKRA ACE yang memberi tumpuan kepada fasilitasi bersasar, penglibatan industri serta keterhubungan ekosistem dalam bidang fintech.
FIKRALab memperluas pembangunan ekosistem melangkaui inovasi ICM berteraskan fintech semata-mata, dengan membolehkan kolaborasi dan penciptaan bersama yang lebih mendalam antara SC dan industri dalam aspek idea, penyelidikan, reka bentuk produk serta ujian perintis. Ia memberi tumpuan khusus kepada pembangunan instrumen dan penyelesaian baharu yang selari dengan Maqasid al-Shariah.
Hasil yang dijangka daripada FIKRALab termasuk pembangunan kes penggunaan, produk dan infrastruktur ICM baharu yang menunjukkan hasil berasaskan nilai yang jelas, pengukuhan penglibatan antara industri dan pengawal selia, serta peningkatan keyakinan pasaran terhadap inovasi yang berteraskan Maqasid dan disokong oleh industri.
Salah satu ciri utama FIKRALab ialah Klinik Maqasid al-Shariah, iaitu pendekatan berstruktur yang merangkumi penglibatan terpilih oleh SC serta simposium ilmu bersama pakar dalam bidang tertentu bagi menilai dan mempertingkatkan produk ICM sedia ada.
Melalui klinik ini, SC akan bekerjasama dengan pemain industri, penasihat Syariah dan pakar bidang untuk memperkukuh cadangan nilai instrumen ICM sedia ada, mengukuhkan kaitan dengan ekonomi sebenar serta memberikan impak sosial dan ekonomi yang lebih besar.
FIKRALab akan dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan projek perintis yang kini dijalankan oleh SC dengan kerjasama sebuah institusi kewangan. Projek ini bertujuan membangunkan instrumen inovatif bagi membuka potensi pendapatan patuh Syariah dalam kumpulan aktiviti bercampur.
Fasa seterusnya dijangka bermula pada suku keempat 2026, apabila permohonan bagi kohort pertama FIKRALab dibuka. Permohonan kohort dijangka diadakan setiap tahun dengan fokus berbeza bagi setiap kitaran.
Fokus bagi kohort pertama termasuk pembangunan produk dan perkhidmatan ICM generasi baharu yang menawarkan cadangan nilai sepenuhnya baharu, kewangan sosial Islam dan modal sosial, serta pembiayaan kelestarian dan peralihan.
Inovator, institusi kewangan, penyedia teknologi, ahli akademik dan rakan ekosistem yang mempunyai idea atau cadangan inovasi produk ICM dijemput untuk mendaftar minat dan berhubung dengan SC melalui [email protected] mulai sekarang hingga 30 September 2026.










