Harga Minyak Turun Di Bawah US$100 Setong Didorong Rundingan Gencatan Senjata

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) — Harga minyak menurun di bawah paras US$100 setong selepas Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersetuju dengan pelan gencatan senjata selama dua minggu sebagai pertukaran kepada Tehran membenarkan laluan selamat untuk kapal melalui Selat Hormuz.

Setakat ini, minyak mentah Brent menurun 13.20 peratus kepada US$94.85 manakala West Texas Intermediate merosot 14.58 peratus kepada US$96.48 setong.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Bernama: “Apa yang kita lihat sekarang bukanlah satu perubahan struktur tetapi lebih kepada pengurangan mekanikal terhadap premium risiko geopolitik yang telah diambil kira berdasarkan senario paling buruk.

“Dalam masa terdekat, harga minyak boleh kekal di bawah US$100 tetapi tahap minimum adalah tidak stabil. Tanpa ketegangan mereda yang konkrit mengenai Selat Hormuz, risiko satu lagi lonjakan harga adalah amat tinggi,” katanya.

Innes berkata pelan gencatan senjata selama dua minggu memberi permulaan baharu.

Katanya situasi itu memberi ruang kepada pasaran untuk menilai semula keadaan tetapi tidak menyelesaikan isu utama berikutan ketiadaan kemajuan nyata dalam membuka semula selat boleh menyebabkan harga meningkat semula.

Beliau berkata risiko dari segi penawaran tetap ada disebabkan kerosakan infrastruktur yang mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk dibaiki.

Pada masa yang sama, katanya petunjuk jelas adalah bahawa selat tersebut terus dibuka kepada pergerakan kapal akan banyak membantu menurunkan harga.

Dalam senario itu, katanya harga kembali kepada paras US$90 setong adalah wajar jika ketegangan mereda mendapat momentum.

Beliau berkata hasil yang lebih optimis bergantung pada penyelarasan diplomatik yang berterusan walaupun ini masih tidak menentu.

Sementara itu, katanya pasaran tidak mengambil kira sepenuhnya mengenai jangkaan bahawa selat itu akan terus dibuka. Innes berkata pertimbangan politik berkaitan pilihan raya separuh penggal AS boleh mengekang konflik yang berpanjangan terutamanya berdasarkan kedudukannya sebagai pengeluar minyak terbesar di dunia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa gencatan senjata selama dua minggu akan membolehkan kapal melalui Selat Hormuz, apabila 20 peratus daripada bekalan minyak global bergantung padanya.

Beliau berkata ketegangan yang terus mereda, jika dapat dicapai akan memberi laluan kepada pembinaan semula kemudahan minyak dan gas yang akan membantu mengurangkan kekangan bekalan.

“Pemulihan akan berlaku secara berperingkat. Apa yang pasaran mahukan ialah kepastian bahawa konflik akan berakhir dan perniagaan dapat diteruskan.

“Bagaimanapun, ia masih terlalu awal. Keadaan semasa adalah amat tidak menentu. Oleh itu, jangkaan adalah harga minyak mentah kekal tidak stabil dalam masa terdekat,” katanya.

– BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Harga Barang Dijangka Terkawal Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR: Harga barang di Malaysia dijangka kekal terkawal pada separuh kedua tahun ini seandainya kenaikan harga minyak dunia hanya bersifat sementara, demikian menurut penganalisis.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, berkata bagi separuh kedua tahun ini, harga barang dijangka masih terkawal tetapi berisiko meningkat secara berperingkat, terutama jika harga tenaga dan kos logistik terus meningkat.

Beliau berkata, tekanan inflasi mungkin lebih ketara dalam kategori makanan dan pengangkutan, namun langkah kerajaan seperti kawalan harga bersasar serta subsidi terpilih boleh membantu mengekang kenaikan mendadak.

“Secara keseluruhan, inflasi dijangka kekal dalam julat terkawal, tetapi dengan risiko ke arah kenaikan,” katanya kepada BH.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ketua Ahli Ekonomi Negara IPPFA, Mohd Sedek Jantan, pula berkata pihaknya masih menjangkakan harga barangan kekal terkawal pada separuh kedua tahun ini.

Beliau berkata, walaupun konflik di Asia Barat meningkatkan risiko kos import, kesannya dijangka terhad sekiranya kenaikan harga minyak hanya bersifat sementara.

Menurutnya, mekanisme subsidi bahan api sedia ada membantu mengurangkan kesan langsung kepada pengguna, manakala sebarang peningkatan kos pengangkutan dan logistik lazimnya mengambil masa sebelum dipindahkan kepada harga pengguna.

Selain itu, Mohd Sedek berkata, pelbagai inisiatif kerajaan bagi mengawal inflasi tolakan kos, termasuk penyasaran subsidi, pemantauan harga barangan keperluan serta usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan, dijangka terus membantu mengekang tekanan inflasi.

“Oleh itu, kami masih mengekalkan unjuran inflasi sekitar 2.0 peratus bagi keseluruhan tahun 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peralihan kepada pasaran seperti perdagangan dan pelaburan yang menghala ke arah BRICS dan Eropah Timur perlu diberi perhatian khusus bagi memastikan komuniti perniagaan serta perundangan dapat diselarikan bagi memudahkan jalinan hubungan diplomatik dan perniagaan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Beliau berkata, sekiranya harga bahan api kembali meningkat, maka terdapat kemungkinan kadar inflasi juga meningkat memandangkan tidak semua sektor ekonomi mendapat subsidi bahan api.

Justeru, katanya, risiko inflasi yang meningkat adalah antara risiko makroekonomi yang boleh berlaku pada separuh kedua 2026.

— Berita Harian