‘Rumah Mampu Milik’ Pun Tidak Mampu Dimiliki

Ramai yang berangan mahu memiliki rumah sendiri terutamanya mereka yang sudah berkeluarga. Bagaimanapun, ramai juga yang tidak mampu memiliki rumah kerana pendapatan isi rumah yang tidak setara dengan harga rumah yang mahu dibeli.

Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan hampir 82 peratus rumah tidak terjual berharga lebih RM250,00 di negara ini pada suku kedua 2017.

Statistik tersebut menunjukkan harga rumah di Malaysia dijual dengan harga yang sangat tinggi.

Situasi ini berlaku bukan kerana tiada permintaan untuk membeli rumah, sebaliknya harga yang ditawarkan tidak mampu untuk dibeli oleh mereka yang terdiri daripada golong B40 dan M40 khususnya.

Mengikut piawaian antarabangsa, kategori ‘rumah mampu’ ialah rumah yang dijual dengan harga kurang tiga kali ganda pendapatan isi rumah median tahunan.

Bagaimanapun, harga rumah di negara ini kini dijual dengan kadar lima kali ganda pendapatan isi rumah median tahunan, menjadikan ia jauh berbeza daripada piawaian antarabangsa.

Menurut BNM, ada tiga faktor utama penyumbang situasi kediaman tidak terjual iaitu:

1. Ketidakpadanan Bekalan Dan Permintaan

Secara purata dari 2014 hingga 2016, 114,000 unit rumah baru dibina yang jauh lebih rendah dari pembentukan 154,000 isi rumah baru.

2. Lebih Banyak Kediaman Baru Dibina Pada Harga Tidak Mampu Milik

Dari 2016 hingga suku pertama 2017, 35 peratus isi rumah hanya mampu membeli rumah berharga RM250,000 dan ke bawah. Namun, hanya 24 peratus rumah baru dibina dengan harga tersebut.

3. Pendapatan Rakyat Malaysia Meningkat Lebih Perlahan Berbanding Peningkatan Harga Rumah

Dari tahun 2007 sehingga 2016, harga rumah meningkat 9.8 peratus manakala pendapatan isi rumah rakyat negara ini hanya meningkat 8.3 peratus.

BNM dalam laporan baru-baru ini bertajuk Rumah Mampu Milik : Cabaran Dan Penyelesaian melaporkan harga median rumah di Malaysia dicatatkan RM313,000 berbanding harga maksimum mampu milik, RM282,000.

Melalui laporan itu, bilangan kediaman tidak terjual di Malaysia berada pada tahap tertinggi dalam sedekad iaitu 146,497 unit pada suku kedua 2017, meningkat dari 130,690 unit pada suku pertama 2017.

Jadi, persoalannya, siapa yang mahu dipersalahkan? Sampai bila golongan pertengahan dan bawahan ini mahu menyewa kediaman? Ramai yang berharap bahawa ura-ura mengatakan harga hartanah khususnya kediaman akan turun dalam tempoh terdekat menjadi kenyataan.

Tapi semuanya masih belum terlambat, sekiranya 5 cadangan daripada BNM ini dilaksanakan segera.

1. Tubuhkan Agensi Tunggal Kendali Hal-Ehwal Rumah Mampu Milik

“Pembekalan rumah kini tidak seragam dan tidak selaras di seluruh negara. Lebih 20 agensi di peringkat kebangsaan dan negeri terlibat dalam pembekalan rumah mampu milik.

“Ini menyukarkan penyelarasan dasar, sekaligus menyukarkan kerajaan mencapai sasaran untuk menyediakan 1 juta rumah mampu milik pada 2018,” katanya.

Bank Negara berkata antara 2013 dan Oktober 2017, hanya 255,341 rumah mampu milik telah siap dibina.

2. Tubuhkan Pangkalan Data Kumpul Maklumat Dan Keperluan Pembeli

“Buat masa ini, Malaysia tidak mempunyai satu pangkalan data yang merekodkan pembekalan dan permintaan perumahan dengan tepat. Kekurangan maklumat seperti pendapatan isi rumah, kriteria dan kehendak pembeli rumah menjejaskan kebolehan untuk pembinaan rumah disesuaikan dengan permintaan.

“Ini menyumbang kepada rumah yang telah dibina, tidak terjual di beberapa negeri termasuk Johor, Selangor dan Kedah,” katanya.

BNM berkata, tinjauan juga boleh dilakukan untuk mengumpulkan maklumat lebih tepat mengenai keperluan pembelian rumah rakyat Malaysia.

Katanya, langkah ini diterima pakai di negara maju seperti Singapura dan Amerika Syarikat.

3. Kurangkan Kos Pembinaan

Kos pembinaan yang tinggi menjadi salah satu penghalang kepada pembekalan rumah mampu milik secara menyeluruh, di mana kos pembinaan, tenaga kerja, kos pematuhan dan kos tanah boleh mencecah sehingga 80 peratus harga rumah, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Sehubungan itu, menurut BNM, cara pembinaan tradisional yang kurang produktif juga memanjangkan proses pembinaan, sekaligus meningkatkan kos pembinaan.

Ia menambah, kecenderungan Malaysia untuk menggunakan tenaga kerja kurang mahir juga menyukarkan negara ini untuk menerima pakai teknologi pembinaan baru.

Cara lain untuk mengurangkan kos pembinaan termasuk dengan menerima pakai teknologi pembinaan seperti Sistem Pembinaan Berindustri (IBS), menyeragamkan reka bentuk rumah dan menyerahkan tanah awam untuk pembinaan rumah mampu milik.

4. Tingkatkan Kadar Celik Wang Rakyat

BNM berkata, majoriti isi rumah Malaysia masih kurang pengetahuan kewangan untuk membuat keputusan kewangan secara bernas.

“Lebih 75 peratus rakyat Malaysia sukar untuk mengumpulkan RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan, sementara 47 peratus dari remaja mempunyai hutang kad kredit yang berlebihan,” katanya.

Bank pusat berkata, kurang kecelikan kewangan, digabung dengan kadar hutang isi rumah yang tinggi (88.4 peratus dari KDNK) serta harga rumah yang meningkat lebih cepat dari pendapatan, menjejaskan kebolehan isi rumah Malaysia untuk membeli rumah.

“Penting untuk rakyat Malaysia sedar bahawa kos membeli rumah lebih dari sekadar kos membeli,” kata BNM.

5. Galakkan Amalan Menyewa

“Tidak seperti negara yang juga mengalami masalah rumah tidak mampu milik seperti Kanada, New Zealand dan Australia, Malaysia tidak mempunyai undang-undang yang digubal khas untuk menyelia pasaran sewa,” kata BNM.

Ia berkata, kekurangan sokongan undang-undang dan proses penyelesaian pertelingkahan antara tuan rumah dan penyewa yang mampu milik telah mendorong sesetengah rakyat Malaysia untuk membeli rumah berbanding menyewa.

BNM bagaimanapun berkata, kerajaan telah mengambil beberapa langkah positif untuk mengukuhkan pasaran sewa, termasuk menerusi pengumuman Akta Sewaan Kediaman pada Bajet 2018.

BNM menambah, kadar penyewaan di Malaysia sebanyak 24 peratus masih rendah berbanding negara maju seperti Kanada (31 peratus), Australia (33 peratus) dan New Zealand (36 peratus).

Sumber Rujukan: Astro Awani

Dan kami di MajalahLabur ada sediakan banyak bahan bacaan berkaitan hartanah seperti berikut:

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

LPPSA Kedua: Boleh Mohon Walaupun Pembiayaan Pertama Belum Habis, Ini Syarat & Kelayakannya

Ada pembiayaan LPPSA pertama yang masih berjalan tetapi sudah terfikir nak beli rumah kedua?

Mulai 4 Oktober 2026, penjawat awam yang layak boleh memohon Pembiayaan Kedua LPPSA tanpa perlu menyelesaikan sepenuhnya Pembiayaan Pertama.

Pada masa yang sama, LPPSA turut menaikkan had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan sehingga RM1 juta.

Namun, ini bukan bermaksud semua penjawat awam automatik boleh meminjam RM1 juta. Jumlah sebenar masih bergantung kepada pendapatan bersih, kelayakan pemohon, baki kelayakan pembiayaan serta syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Apa perubahan LPPSA 2026?

Menurut notis rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026, dua perubahan utama mula berkuat kuasa pada 4 Oktober 2026:

Pertama, had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan LPPSA dinaikkan sehingga RM1 juta.

Kedua, pemohon boleh membuat permohonan Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan syarat yang ditetapkan.

Ini memberi lebih banyak fleksibiliti kepada penjawat awam yang masih mempunyai pembiayaan pertama tetapi mahu menggunakan baki kelayakan mereka untuk pembiayaan kedua.

Had pembiayaan LPPSA sehingga RM1 juta

LPPSA menetapkan jadual had kelayakan berdasarkan pendapatan bersih.

Pendapatan BersihHad Kelayakan Maksimum
Lebih RM10,000RM1,000,000
RM10,000RM950,000
RM9,500RM930,000
RM9,000RM900,000
RM8,500RM880,000
RM8,000RM850,000
RM7,500RM830,000
RM7,000RM800,000
RM6,500RM780,000
RM6,000RM730,000
RM5,500RM670,000
RM5,000RM610,000
RM4,500RM550,000
RM4,000RM480,000
RM3,500RM430,000
RM3,000RM350,000
Sehingga RM2,500RM280,000

Jadual ini adalah berdasarkan FAQ rasmi LPPSA mengenai penambahbaikan 2026.

Nota penting: Had maksimum ini bukan bermaksud pemohon pasti menerima jumlah tersebut. Amaun yang diluluskan masih bergantung kepada kelayakan pemohon dan syarat pembiayaan yang berkuat kuasa.

Siapa yang layak menikmati had baharu?

LPPSA menyatakan jadual kelayakan baharu ini terpakai kepada kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA, tertakluk kepada syarat dan kelayakan semasa.

Bagaimanapun, terdapat kumpulan tertentu yang tidak menggunakan jadual ini, antaranya:

  • Anggota Pentadbiran Persekutuan;
  • Anggota Pentadbiran Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri; dan
  • Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Golongan tersebut tertakluk kepada peruntukan atau keputusan berkaitan yang berasingan.

Apa maksud “Pembiayaan Kedua” sekarang?

Ini bahagian yang paling menarik.

Sebelum penambahbaikan ini, pemohon secara amnya perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama sebelum membuat Pembiayaan Kedua.

Mulai 4 Oktober 2026, syarat tersebut tidak lagi diperlukan.

LPPSA menyatakan pemohon boleh memohon Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA.

Contohnya:

Ali membeli rumah pertama menggunakan LPPSA.

Pembiayaan pertama masih mempunyai baki.

Kemudian Ali mahu membeli rumah kedua.

Dengan peraturan baharu, Ali tidak perlu melangsaikan pembiayaan pertama terlebih dahulu semata-mata untuk memohon pembiayaan kedua.

Tetapi Ali masih perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi dan memenuhi syarat LPPSA.

Apakah syarat Pembiayaan Kedua?

LPPSA menetapkan beberapa syarat utama.

Pemohon perlu:

1. Merupakan kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA.

2. Potongan gaji bagi Pembiayaan Pertama telah dilaksanakan.

3. Tidak mempunyai tunggakan bayaran balik bagi Pembiayaan Pertama sedia ada.

Selain itu, permohonan tetap tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA yang berkuat kuasa.

Berapa margin Pembiayaan Kedua?

Ini juga penting kerana margin pembiayaan bergantung kepada status Pembiayaan Pertama.

Jika Pembiayaan Pertama sudah selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 100%.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Untuk Jenis 5 dan Jenis 7 bagi hartanah yang sama

LPPSA menetapkan margin sehingga 100% bagi:

  • Jenis 5 – Ambil Alih; dan
  • Jenis 7 – Ubah Suai,

bagi hartanah yang sama, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Contoh mudah Pembiayaan Kedua

Katakan seseorang masih mempunyai Pembiayaan Pertama LPPSA.

Kemudian dia mahu membeli rumah kedua berharga RM500,000.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum diselesaikan, margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Secara mudah:

RM500,000 × 90% = RM450,000

Jadi, secara teori, pembiayaan boleh mencapai sehingga RM450,000, manakala baki RM50,000 perlu ditanggung melalui sumber lain.

Tetapi angka sebenar masih tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan penilaian LPPSA.

Maksudnya, jangan terus anggap rumah RM500,000 akan mendapat pembiayaan RM450,000 kerana kelayakan sebenar setiap pemohon adalah berbeza.

Bagaimana LPPSA menentukan kelayakan?

LPPSA menggunakan kaedah pengiraan berdasarkan kemampuan bayaran balik.

Antara kriteria yang dinyatakan LPPSA ialah:

  • Ansuran bulanan tidak melebihi 60% daripada gaji pokok dan elaun tetap yang diambil kira;
  • Jumlah hutang tidak melebihi 80% daripada pendapatan bersih; dan
  • Gaji bersih sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan kasar.

Pendapatan bersih bagi tujuan pengiraan LPPSA pula merujuk kepada gaji pokok + elaun tetap yang diambil kira – potongan wajib.

Jadi, seseorang yang mempunyai gaji tinggi sekalipun tidak semestinya mendapat jumlah maksimum RM1 juta kerana pengiraan turut mengambil kira kemampuan bayaran balik.

Bagaimana pula kadar keuntungan?

Untuk pembiayaan hartanah sehingga RM1 juta, LPPSA memperkenalkan struktur kadar purata wajaran (blended rate).

Strukturnya:

Sehingga RM750,000 → 4.00% setahun

Bahagian melebihi RM750,000 sehingga RM1 juta → 4.50% setahun

Yang menariknya, pengiraan ini mengambil kira jumlah pembiayaan hartanah yang diluluskan bagi Pembiayaan Pertama dan Pembiayaan Kedua.

Contoh RM800,000

Bagi pembiayaan RM800,000:

RM750,000 pertama → 4.00%

Baki RM50,000 → 4.50%

Kadar purata wajaran yang terhasil ialah kira-kira 4.03% setahun.

RM1 juta bukan bermaksud boleh ambil RM1 juta untuk rumah kedua

Ini perkara yang ramai mungkin salah faham.

Had maksimum RM1 juta ialah had kelayakan maksimum, bukannya jumlah automatik yang boleh dipinjam.

Untuk Pembiayaan Kedua pula, LPPSA secara jelas menyatakan ia tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan.

Contohnya, jika seseorang mempunyai had kelayakan RM800,000 tetapi telah menggunakan RM600,000 bagi Pembiayaan Pertama, baki kelayakannya tidak bermaksud dia boleh terus mengambil RM800,000 lagi.

Sebaliknya, pengiraan baki kelayakan perlu dibuat berdasarkan ketetapan LPPSA.

Sebab itu LPPSA menyediakan kemudahan SmartKira untuk membuat semakan anggaran kelayakan mulai 4 Oktober 2026.

Boleh beli rumah kedua sebelum rumah pertama habis bayar?

Ya, mulai 4 Oktober 2026, boleh memohon.

Tetapi terdapat tiga perkara yang perlu diberi perhatian:

Pertama: Pembiayaan Pertama tidak perlu diselesaikan sepenuhnya.

Kedua: Pemohon perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi.

Ketiga: Pemohon masih perlu memenuhi syarat kemampuan bayaran balik dan syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Jadi, kemudahan ini memberikan fleksibiliti, tetapi bukan “lesen” untuk mengambil hutang rumah tanpa mengambil kira kemampuan kewangan.

Semua jenis pembiayaan boleh digunakan?

Menurut FAQ LPPSA, semua jenis pembiayaan dibenarkan bagi Pembiayaan Kedua, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Namun, terdapat pengecualian tertentu.

Sebagai contoh, pelanggan yang sedang menikmati Pembiayaan Pertama Jenis 4 atau Jenis 5 bagi tanah dan belum memohon Jenis 6 untuk membina rumah, tidak dibenarkan memohon Pembiayaan Kedua bagi Jenis 4 atau Jenis 5 tanah tersebut.

LPPSA juga menjelaskan bahawa jika seseorang membeli tanah melalui Jenis 4 atau Jenis 5 dan kemudian memohon Jenis 6 untuk membina rumah di atas tanah tersebut, ia masih dianggap sebagai satu kelayakan pembiayaan, bukan Pembiayaan Kedua.

Bila boleh mula memohon?

Kemudahan baharu ini berkuat kuasa pada:

4 OKTOBER 2026

LPPSA menyatakan pelanggan boleh mengemukakan permohonan bagi kemudahan tersebut mulai tarikh berkenaan.

Bagi permohonan yang telah dikemukakan sebelum 4 Oktober 2026, LPPSA menyatakan ia akan diproses berdasarkan had kelayakan amaun pembiayaan hartanah yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan diterima.

Kesimpulan

Penambahbaikan LPPSA 2026 membawa perubahan yang agak besar kepada penjawat awam.

Had kelayakan maksimum pembiayaan kini dinaikkan sehingga RM1 juta, manakala Pembiayaan Kedua boleh dipohon tanpa perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama terlebih dahulu.

Tetapi perkara paling penting untuk difahami ialah:

RM1 juta = had kelayakan maksimum, bukan jumlah automatik.

Dan:

Pembiayaan Kedua = boleh mohon walaupun pembiayaan pertama masih berjalan, tetapi tertakluk kepada baki kelayakan dan kemampuan bayaran balik.

Jadi, kalau memang bercadang membeli rumah kedua, langkah pertama bukan terus cari rumah RM1 juta.

Semak dahulu baki kelayakan LPPSA.

Kemudian barulah tengok harga rumah yang benar-benar mampu ditanggung.

Nota: Maklumat ini berdasarkan pengumuman dan FAQ rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026. Syarat dan pengiraan sebenar adalah tertakluk kepada pekeliling, garis panduan serta ketetapan LPPSA yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan.

Sumber rasmi: LPPSA – Penambahbaikan Kemudahan Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2026 termasuk jadual kelayakan RM280,000 hingga RM1 juta.