ASEAN Terus Jadi Tarikan Untuk Pelaburan Jangka Panjang

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) — Rantau ASEAN terus menjadi destinasi pelaburan yang menyokong dan menarik dalam jangka panjang disebabkan penduduknya yang muda menjanjikan ekonomi yang bersemangat dengan sokongan sektor ekonomi utama seperti komoditi, ladang serta minyak dan gas.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Asset Management Malaysia Lim Suet Ling menjelaskan sebagai ekonomi keempat terbesar dengan lebih daripada 600 juta populasi, ASEAN telah berkembang menjadi lebih terdidik dan mempunyai kelebihan sebagai salah satu pengeluar terbesar dalam rantaian pembekalan global.

“Dengan sekatan akibat COVID-19 di China, terdapat kepelbagaian (dalam rantaian bekalan) dan saya berpendapat Malaysia akan mendapat manfaat daripada ini khususnya dalam segmen elektronik dan elektrik (E&E).

“Daripada segi pelaburan langsung asing (FDI) , kita lebih murah berbanding China, oleh itu saya percaya FDI akan terus mencurah masuk,” katanya dalam sesi panel di Invest ASEAN 2022 yang bertajuk ‘Pasaran dan Wang Pintar : Pergelutan atau Kejayaan’ hari ini.

Bagaimanapun, bagi meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan, Lim berharap akan dapat melihat lebih banyak unikorn internet yang muncul atau disenaraikan.

Beliau menegaskan bahawa perjanjian perdagangan di kalangan negara -negara ASEAN juga dapat diperkukuhkan dengan memupuk kerjasama yang lebih mendalam untuk mewujudkan peluang pelaburan yang lebih baik.

Lim ketika mengulas mengenai pelaburan, menasihatkan para pelabur agar bertahan disamping terus mengamalkan kewaspadaan dalam pegangan mereka buat masa sekarang berikutan kelembapan dalam jangkaan kenaikan kadar faedah kenaikan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

Mereka berpotensi untuk bergerak lebih jauh ke arah utiliti atau aset yang mempunyai pendapat tetap, ujarnya lagi.

“Sektor pertumbuhan lain termasuk pelancongan dan saham-saham yang berkaitan dengan perubatan tetapi kita bukan sahaja melihat ke arah permodalan yang besar, tetapi juga yang lebih kecil dan di bawah nilai kerana kita percaya wujud peluang yang belum diteroka lagi,” kata Lim.

Ketua Pegawai Pelaburan Maybank Islamic Asset Management, Muhammad Riduan Jasni dalam sesi panel yang sama berkata prestasi penerbitan sukuk terbukti lebih berdaya tahan berbanding bon kerana pertumbuhan industri Syariah adalah sangat mengujakan berikutan kesedaran yang lebih tinggi di kalangan negara-negara Islam.

Prestasi sukuk yang disokong dengan penanda aras Islam adalah lebih baik sehingga mampu mengatasi penanda aras konvensional memandangkan pelaburan ini adalah lebih menarik.

“Anda dapat melihat banyak permintaan yang datang daripada korporat, dana pencen dan ini pasti akan membantu memacu pertumbuhan industri,” katanya.

Oleh itu, tindakan tersebut akan menggalakkan kestabilan dan pertumbuhan industri pelaburan Islam di Malaysia.

— BERNAMA

Berita asal : https://thekapital.my/asean-terus-jadi-tarikan-untuk-pelaburan-jangka-panjang/

Previous ArticleNext Article

Lebih 70 Peratus Depoh Pengadun Sedia Laksana Biodiesel B15 Guna Fasiliti Sedia Ada – Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR: Lebih 70 peratus depoh pengadun di Malaysia bersedia untuk melaksanakan biodiesel B15 menggunakan fasiliti sedia ada, susulan pengumuman kerajaan untuk meningkatkan adunan biodiesel kepada B15 secara berperingkat, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, kerajaan telah mengadakan mesyuarat dan lawatan bagi mengenal pasti kesediaan kemudahan itu untuk melaksanakan adunan biodiesel B15.

“Hasil dapatan pemeriksaan infrastruktur depoh pengadun oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mendapati lebih 70 peratus depoh pengadun di Malaysia bersedia untuk melaksanakan biodiesel B15 menggunakan fasiliti sedia ada.

“Langkah penyesuaian operasi sedang dirangka oleh depoh pengadun bagi memastikan kecekapan dan keterjaminan bekalan produk petroleum kepada pengguna,” katanya pada taklimat harian berkaitan krisis bekalan global.

Akmal Nasrullah berkata, beliau dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah melawat Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT) dan melihat sendiri kesediaan loji pemprosesan biodiesel di Pulau Indah, Klang.

“Lawatan ini memberi mesej penting bahawa isu tenaga tidak lagi boleh dilihat hanya dari sudut bekalan semasa.

“Ia perlu ditangani dalam satu kerangka nasional yang menghubungkan keselamatan tenaga, kekuatan sektor komoditi, kecekapan logistik, ketahanan rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi negara,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa lawatan tersebut penting kerana ia membolehkan kerajaan melihat sendiri keseluruhan ekosistem biodiesel negara secara menyeluruh, termasuk pengeluaran bahan asas, keupayaan pengadunan, kelancaran operasi fasiliti dan ketahanan rantaian bekalan.

Susulan keputusan itu, Kementerian Ekonomi dan KPK sedang menyusun tindakan bersama semua pihak yang terlibat untuk merealisasikan agenda biodiesel berkenaan.

Pada 14 April, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 bagi mengekalkan bekalan diesel negara susulan krisis yang berlaku di Asia Barat.

Langkah itu bertujuan mengelakkan kebergantungan melampau kepada bahan api fosil import dan pasaran luar serta melaksanakan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan yang dipercepatkan kepada tenaga boleh baharu.

-BERNAMA