China, Malaysia Meterai MoU Tingkatkan Pelaburan Dan Perdagangan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) — Lawatan negara Presiden China Xi Jinping selama tiga hari ke Malaysia menekankan kepentingan negara dari segi peranannya dalam ASEAN dan hubungan dua hala dengan China, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

Beliau berkata lawatan Xi ke Malaysia penting bagi kedua-dua negara untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan yang telah dicapai setakat ini antara China dan Malaysia.

“Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk meningkatkan lagi pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara.

“MoU itu adalah dalam bidang berkaitan teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI).

“Kami mahu melihat bagaimana kami dapat bekerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan untuk meredakan kebimbangan bagi membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia mengeksport ke China,” katanya kepada media di pejabatnya di sini hari ini.

Malaysia dan China hari ini menyaksikan pertukaran 31 MoU dan dokumen meliputi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara.

Tiga MoU dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) adalah mengenai kerjasama dalam perdagangan dan perkhidmatan; menaik taraf projek “Two Countries, Twin Parks” dan mengukuhkan kerjasama dalam penyeragaman.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata MoU itu juga untuk China melabur lebih banyak di Malaysia dalam sektor yang bersesuaian bagi memajukan sektor teknologi terutamanya dalam AI dan semikonduktor.

Beliau berkata Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun lepas yang telah terjalin sejak 31 Mei 1974 selain menekankan hasrat kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan dua hala.

“Dari aspek pelaburan dan perdagangan, China merupakan rakan dagang utama Malaysia selama lebih 16 tahun berturut-turut. China antara pelabur terbesar Malaysia, terutamanya dalam tempoh 10 tahun lepas,” katanya.

Xi tiba di Malaysia semalam, merupakan lawatan rasmi keduanya ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan terakhirnya pada 2013.

Hari ini, Anwar akan menganjurkan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya untuk meraikan Xi.

Majlis itu selepas pertemuan antara Anwar dan Xi apabila kedua-dua pemimpin membincangkan kerjasama dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia. Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).

Selaku Pengerusi ASEAN dan Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, Malaysia kekal komited untuk terus memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif antara ASEAN dan China.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TNB Dan CET Dari China Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Grid Kuasa

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan State Grid Corporation of China (SGCC) yang juga syarikat utiliti awam terbesar dunia yang diwakili oleh anak syarikat milik penuhnya, China Electric Power Equipment and Technology Co Ltd (CET).

Dalam kenyataannya, TNB berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi dalam memajukan grid kuasa dan rangkaian pembahagian, menyokong pemodenan grid Malaysia serta menyumbang kepada visi ASEAN yang lebih luas bagi mempertingkat keterhubungan tenaga serantau.

Menurut syarikat utiliti nasional itu, kerjasama berkenaan menumpukan tiga bidang teras iaitu perancangan dan integrasi sistem kuasa, rangkaian pintar dan berdaya tahan serta penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI).

Ini, katanya, bermatlamat untuk memanfaatkan kepakaran SGCC dan CET dalam bidang peralihan tenaga serta sistem kuasa baharu bagi memperkukuh operasi dan pengurusan sistem grid kuasa dan rangkaian pembahagian TNB.

“SGCC mempunyai rekod cemerlang dalam bidang tenaga dengan pembekalan elektrik kepada lebih 1.1 bilion pelanggan serta rangkaian operasi antarabangsa di lebih 40 buah negara melalui CET sebagai cabang perniagaan globalnya,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyaksikan pemeteraian MoU itu yang dilakukan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengerusi CET Yu Jun pada satu majlis di Shah Alam, Selangor.

TNB menjelaskan di bawah MoU itu, TNB dan SGCC CET akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi memantau kemajuan kerjasama kedua-dua pihak.

“Antara akitiviti utama adalah sesi pembangunan kapasiti, laporan kajian teknikal serta sokongan reka bentuk konsep bagi projek rintis dengan TNB menyediakan maklumat teknikal diperlukan bagi menyokong kerjasama itu manakala CET berkongsi keupayaan teknologi, piawaian dan pengalaman pengurusan projek melalui operasi global SGCC,” katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata MoU itu membolehkan TNB memanfaatkan amalan terbaik global dalam perancangan sistem kuasa, teknologi grid pintar dan penyelesaian digital yang penting bagi mengintegrasikan tenaga boleh baharu serta memperkukuh peranannya dalam Grid Kuasa ASEAN (APG).

“Kerjasama itu juga menekankan komitmen TNB dalam menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan melalui teknologi AI, khususnya menerusi inisiatif Grid Pintar,” katanya.

Dalam pada itu, Yu berkata kerjasama itu ini tidak hanya memperkukuh hubungan dua hala China-Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada visi keterjaminan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN.
— BERNAMA