Ekonomi Malaysia Berkembang Sebanyak 3.3 Peratus Pada Suku Ketiga – BNM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) — Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 daripada 2.9 peratus pada suku kedua tahun ini, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh pertumbuhan selanjutnya dari segi guna tenaga dan upah, manakala aktiviti pelaburan disokong oleh kemajuan projek berbilang tahun dan pengembangan kapasiti oleh syarikat.

“Eksport kekal lembap berikutan kelemahan permintaan luaran yang berpanjangan. Bagaimanapun, keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh kemasukan pelancong asing yang kembali pulih.

“Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan, pembinaan dan pertanian terus menyokong pertumbuhan,” katanya pada pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga di sini hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata, ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan pengeluaran dalam sektor perkilangan disebabkan permintaan yang lemah terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta pengeluaran produk petroleum bertapis yang lebih rendah.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 2.6 peratus (suku kedua 2023: 1.5 peratus), manakala secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.9 peratus pada tiga suku pertama 2023, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

BNM Akan Turunkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun Kepada Satu Peratus


KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) akan menurunkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas iaitu daripada dua peratus kepada satu peratus, berkuat kuasa 16 Mei 2025.

Katanya, keputusan untuk mengurangkan SRR merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bank pusat itu bagi memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik.

“Langkah ini akan membantu bank-bank menguruskan mudah tunai dengan lebih baik dalam persekitaran ketidaktentuan pasaran kewangan yang lebih tinggi serta menyediakan sokongan yang berterusan terhadap aktiviti pengantaraan kewangan.

“Penurunan SRR akan menambah mudah tunai bernilai kira-kira RM19 bilion ke dalam sistem perbankan,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Bank pusat itu berkata, SRR merupakan instrumen untuk menguruskan mudah tunai dan tidak memberikan isyarat tentang pendirian dasar monetari.

Katanya, kadar dasar semalaman (OPR) merupakan satu-satunya penunjuk yang digunakan untuk memberikan isyarat tentang pendirian dasar monetari selain diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari.

— BERNAMA