Enovix Bakal Labur US$100 Juta Untuk Kemudahan Baharu Di P.Pinang

GEORGE TOWN, 1 Ogos (Bernama) — Enovix Corporation (Enovix), sebuah syarikat bateri silikon termaju, merancang melabur US$100 juta untuk membuka kemudahan pembuatan baharu di Penang Science Park.

Ketua Pegawai Operasi Enovix Ajay Marathe berkata kemudahan baharu itu akan menjadi satu kejayaan penting bagi Enovix kerana ia menyasarkan untuk meningkatkan teknologi bateri silikon termajunya.

“Enovix dan YBS International Bhd (YBS), sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang berpangkalan di Malaysia, memeterai perjanjian rasmi hari ini sebagai tanda meraikan kemudahan pembuatan baharu kami di Penang Science Park.

“Kami sangat teruja untuk mengumumkan peristiwa penting ini. Selain bekerjasama dengan YBS, kami berharap dapat bekerjasama dengan Mida (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), Wilayah Ekonomi Koridor Utara, dan InvestPenang untuk memasukkan insentif pelaburan, yang akan menyokong usaha jangka panjang kami di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani rasmi Perjanjian Bekalan Pembuatan (MSA) antara Enovix dan YBS.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mida, Datuk Arham Abdul Rahman; CEO YBS Jackie Yong Chan Cheah; penasihat khas kepada ketua menteri Pulau Pinang Datuk Seri Lee Kah Choon; dan CEO InvestPenang Datuk Loo Lee Lian.

Ajay berkata Malaysia, dan terutamanya Pulau Pinang, kaya dengan jurutera terlatih semikonduktor yang mempunyai daya pemikiran cemerlang dalam pembuatan.

Beliau berkata kerjasama yang dicadangkan itu akan menjadi platform bagi kumpulan dan anak syarikatnya untuk mempelbagaikan, mengembangkan dan mengukuhkan lagi perniagaannya.

Kerjasama itu juga akan memberikan aliran pendapatan kepada kumpulan, sekali gus akan menyumbang kepada keuntungan kumpulan pada masa depan serta menyokong pertumbuhan pesat kumpulan itu di rantau ini, katanya.

Sementara itu, Arham berkata penubuhan hab pembuatan Enovix di Malaysia menandakan satu langkah penting, membawa teknologi bateri anod silikon termaju ke negara ini.

Beliau berkata ini memberikan peluang unik kepada syarikat tempatan seperti YBS untuk bekerjasama dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global, yang mendapat manfaat daripada kepakaran mendalam Enovix, mendatangkan keuntungan dari segi kos dan akses kepada teknologi terkini.

“Pakatan sebegini mewujudkan sinergi dinamik, menyumbang kepada pertumbuhan kukuh ekonomi negara kita, sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Pelan Pelaburan Baharu (NIP) kita.

“Kerjasama anda mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang dipacu inovasi dan akan membolehkan kami terus mencipta peluang kerjaya baharu dan menarik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA