Inflasi Keseluruhan Malaysia Diunjur 3.2-3.3 Peratus Tahun Ini – Firma Penyelidikan


KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) — Kalangan firma penyelidikan mengunjurkan inflasi keseluruhan Malaysia bagi tahun ini berada dalam lingkungan 3.2 peratus hingga 3.3 peratus.

MIDF Research berkata persekitaran inflasi yang rendah itu berkemungkinan berlanjutan sehingga suku pertama 2024.

“Bagi separuh pertama tahun ini, kami menjangkakan peningkatan harga menyeluruh secara beransur-ansur susulan peningkatan kadar caj utiliti dan pelaksanaan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang lebih tinggi kepada 8.0 peratus serta 10 peratus bagi cukai barang nilai rendah (LVGT)

“Pada separuh kedua, pelaksanaan subsidi bersasar bagi bahan api berkemungkinan meningkatkan harga runcit bagi bahan api itu,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

Cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu juga menjangkakan subsidi bersasar bagi bahan api akan dilaksanakan seawal pada Jun 2024.

“Kami berpendapat bahawa kerajaan mungkin memperkenalkan mekanisme harga apungan terurus untuk petrol RON95 pada harga RM2.25-RM2.35 seliter selain menyediakan pemberian tunai untuk mereka yang layak mengikut maklumat Hab Pangkalan Data Utama (PADU),” katanya.

Bagi 2023, kadar inflasi keseluruhan adalah pada 2.5 peratus manakala kadar inflasi teras pada 3.0 peratus.

Selain itu, di peringkat global, harga makanan susut sebanyak 13.7 peratus tahun lepas selepas mencatat pengembangan sebanyak dua digit bagi dua tahun berturut-turut, katanya.

Bersandarkan perkembangan itu, kadar inflasi makanan Malaysia adalah lebih rendah pada 2.3 peratus bagi tahun ke tahun.

“Bagaimanapun, Malaysia terdedah kepada faktor luaran dan aliran pergerakan mata wang berikutan kedudukannya sebagai sebuah negara pengimport bersih untuk makanan.

“Bagi tempoh 11 bulan pertama 2023 misalnya, nisbah import makanan berbanding jumlah import adalah 6.5 peratus, lebih rendah daripada kemuncak 7.0 peratus pada 2020,” kata MIDF Research menambah bahawa nisbah eksport makanan sebaliknya pada 3.2 peratus.

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd (RHBIB) pula mengekalkan unjuran inflasi keseluruhan dan teras Malaysia bagi 2024 iaitu masing-masing pada 3.3 peratus dan 3.6 peratus.

“Salah satu penentu utama bagi trajektori inflasi dalam 2024 adalah pelaksanaan dasar dalam persekitaran pelan konsolidasi fiskal dengan semakan semula cukai perkhidmatan serta rasionalisasi subsidi bahan api yang dirancang secara berperingkat.

“Pada masa sama, kami turut mengambil kira potensi risiko peningkatan lain, termasuk inflasi makanan akibat impak El Nino, kecenderungan kenaikan harga minyak mentah dan komoditi serta tekanan sampingan permintaan yang sejajar dengan prospek pertumbuhan lebih positif,” katanya.

Bank pelaburan itu juga berpendapat bahawa langkah konsolidasi fiskal seperti pelarasan harga bahan api, tarif utiliti serta semakan semula cukai perkhidmatan, berpotensi memberi risiko kenaikan dalam momentum inflasi Malaysia.

Mengulas pengaruh faktor luaran, bank itu kekal berhati-hati mengenai potensi kenaikan harga komoditi dan makanan pada bulan-bulan akan datang, disokong oleh permintaan lebih tinggi dalam peningkatan aktiviti global serta risiko kesesakan rantaian bekalan.

Selain itu, RHBIB juga berpendapat bahawa kadar dasar semalaman (OPR) dijangka kekal pada 3.00 peratus bagi tahun ini sekiranya inflasi keseluruhan berada dalam julat 2.1 peratus hingga 3.6 peratus.

Bagi OPR, MIDF Research menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan paras semasa dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pertama bagi 2024 yang dijadual berlangsung minggu ini susulan senario aliran indeks harga pengguna keseluruhan dan teras yang perlahan.

— BERNAMA 

TAG: inflasi keseluruhan, IHP, bahan api, cukai, OPR

Previous ArticleNext Article

Inflasi Malaysia Meningkat 1.5 Peratus Pada September 2025 – DOSM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) — Inflasi Malaysia meningkat 1.5 peratus pada September 2025 dengan mata indeks mencatatkan 135.2 berbanding 133.2 pada tempoh sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan Indeks Harga Pengguna (IHP) September 2025 hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan itu disumbangkan oleh peningkatan kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan dan perkhidmatan pada 4.8 peratus berbanding Ogos 2025 (4.0 peratus).

“Ini diikuti oleh makanan dan minuman pada 2.1 peratus (Ogos 2025: 2.0 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain 1.5 peratus (Ogos 2025: 1.2 peratus); kesihatan 1.3 peratus (Ogos 2025: 1.1 peratus) dan pengangkutan 0.7 peratus (Ogos 2025: 0.2 peratus)

“Selain itu, restoran dan perkhidmatan penginapan, 3.3 peratus (Ogos 2025: 3.5 peratus) dan minuman alkohol & tembakau 0.3 peratus (Ogos 2025: 0.4 peratus) mencatatkan peningkatan lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata sebanyak 59.9 peratus item (343 daripada 573) mencatat kenaikan harga.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu sebanyak 333 item atau 97.1 peratus mencatat peningkatan yang kurang atau sama dengan 10 peratus manakala hanya 10 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada September 2025.

“Baki sebanyak 181 item (31.6 peratus) menunjukkan penurunan manakala 49 item kekal tidak berubah,” katanya.

Mohd Uzir berkata purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada September 2025 ialah RM3.19 seliter berbanding RM3.15 seliter pada Ogos 2025 (September 2024: RM3.28).

“Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.91 seliter berbanding RM2.90 seliter pada Ogos 2025 (September 2024: RM3.04) manakala purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter,” katanya.

Menyentuh inflasi di peringkat negeri, sebanyak lima negeri mencatat peningkatan melebihi paras nasional (1.5 peratus) iaitu Johor (2.0 peratus), Negeri Sembilan (1.9 peratus), Melaka (1.8 peratus), Selangor (1.8 peratus) dan Terengganu (1.7 peratus).

“Baki sebanyak 11 negeri meningkat di bawah paras inflasi nasional dengan Kelantan mencatat inflasi terendah iaitu 0.5 peratus pada September 2025.

“Berbanding negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.5 peratus) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (3.4 peratus), Indonesia (2.7 peratus) dan Republik Korea (2.1 peratus),” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata kadar berkenaan adalah lebih tinggi berbanding Thailand (-0.7 peratus) dan China (-0.3 peratus).
BERNAMA