Inflasi Malaysia Mereda Kepada 2.8 Peratus Pada Mei 2023 – Jabatan Perangkaan

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) — Kadar inflasi Malaysia terus mereda pada Mei 2023 dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) turun kepada 2.8 peratus daripada 3.3 peratus dalam bulan sebelumnya.

Dalam kenyataannya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata keadaan itu disumbangkan terutamanya oleh penurunan dalam makanan dan minuman bukan alkohol yang mencatat 5.9 peratus (April 2023 : 6.3 peratus); pengangkutan 1.0 peratus (April 2023: 2.3 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah pada 2.7 peratus (April 2023: 3.0 peratus).

Kenaikan inflasi di Malaysia bagaimanapun, kekal didorong oleh peningkatan indeks restoran dan hotel yang mencecah 6.7 peratus berbanding 6.6 peratus pada April 2023.

“Wajaran masing-masing bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (29.5 peratus); pengangkutan (14.6 peratus) serta restoran dan hotel (2.9 peratus) yang meliputi 47.0 peratus daripada wajaran keseluruhan IHP, turut memberi impak ketara kepada kadar inflasi dan kos sara hidup,” katanya.

Sebagai perbandingan dengan negara terpilih bagi tempoh Mei 2023, DOSM berkata kadar inflasi Malaysia sebanyak 2.8 peratus itu lebih rendah berbanding Zon Eropah pada 6.1 peratus; Amerika Syarikat (4.0 peratus); Filipina (6.1 peratus); Indonesia (4.0 peratus) dan Korea Selatan (3.3 peratus).

Selain itu, inflasi di peringkat negeri menyaksikan tujuh negeri mencatat peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (3.5 peratus); Selangor (3.3 peratus); Perak (3.2 peratus); Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.1 peratus); Pahang (3.1 peratus); Melaka (3.1 peratus) dan Sabah (3.0 peratus).

Bagi inflasi teras yang mengukur perubahan harga barang dan perkhidmatan, tidak termasuk item makanan segar yang tidak menentu dari segi harga serta barang dan perkhidmatan tertakluk dengan kawalan harga dari kerajaan, mencatat peningkatan lebih perlahan kepada 3.5 peratus daripada 3.6 peratus pada April 2023.

Menurut DOSM, kenaikan tersebut didorong terutamanya oleh peningkatan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada 7.1 peratus daripada 7.2% manakala restoran dan hotel 6.7 peratus berbanding 6.6 peratus dalam bulan sebelumnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Inflasi Malaysia Meningkat 1.5 Peratus Pada September 2025 – DOSM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) — Inflasi Malaysia meningkat 1.5 peratus pada September 2025 dengan mata indeks mencatatkan 135.2 berbanding 133.2 pada tempoh sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan Indeks Harga Pengguna (IHP) September 2025 hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan itu disumbangkan oleh peningkatan kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan dan perkhidmatan pada 4.8 peratus berbanding Ogos 2025 (4.0 peratus).

“Ini diikuti oleh makanan dan minuman pada 2.1 peratus (Ogos 2025: 2.0 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain 1.5 peratus (Ogos 2025: 1.2 peratus); kesihatan 1.3 peratus (Ogos 2025: 1.1 peratus) dan pengangkutan 0.7 peratus (Ogos 2025: 0.2 peratus)

“Selain itu, restoran dan perkhidmatan penginapan, 3.3 peratus (Ogos 2025: 3.5 peratus) dan minuman alkohol & tembakau 0.3 peratus (Ogos 2025: 0.4 peratus) mencatatkan peningkatan lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata sebanyak 59.9 peratus item (343 daripada 573) mencatat kenaikan harga.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu sebanyak 333 item atau 97.1 peratus mencatat peningkatan yang kurang atau sama dengan 10 peratus manakala hanya 10 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada September 2025.

“Baki sebanyak 181 item (31.6 peratus) menunjukkan penurunan manakala 49 item kekal tidak berubah,” katanya.

Mohd Uzir berkata purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada September 2025 ialah RM3.19 seliter berbanding RM3.15 seliter pada Ogos 2025 (September 2024: RM3.28).

“Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.91 seliter berbanding RM2.90 seliter pada Ogos 2025 (September 2024: RM3.04) manakala purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter,” katanya.

Menyentuh inflasi di peringkat negeri, sebanyak lima negeri mencatat peningkatan melebihi paras nasional (1.5 peratus) iaitu Johor (2.0 peratus), Negeri Sembilan (1.9 peratus), Melaka (1.8 peratus), Selangor (1.8 peratus) dan Terengganu (1.7 peratus).

“Baki sebanyak 11 negeri meningkat di bawah paras inflasi nasional dengan Kelantan mencatat inflasi terendah iaitu 0.5 peratus pada September 2025.

“Berbanding negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.5 peratus) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (3.4 peratus), Indonesia (2.7 peratus) dan Republik Korea (2.1 peratus),” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata kadar berkenaan adalah lebih tinggi berbanding Thailand (-0.7 peratus) dan China (-0.3 peratus).
BERNAMA