Sub Topik
Hari ini (7 Mac 2024) Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa kadar OPR kekal pada paras 3.00%. Ini kali kelima OPR dikekalkan sejak 6 Julai 2023.
Ada yang baru pertama kali dengar ke OPR ni? Kalau nak tahu lebih lanjut, jemput baca Apa Itu Kadar Dasar Semalaman Atau Overnight Policy Rate (OPR) Dan 3 Kesan Penurunannya.
Pernyataan Dasar Monetari
Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 3.00 peratus.
Ekonomi global terus berkembang meskipun secara sederhana, disokong oleh permintaan dalam negeri berikutan aktiviti perdagangan yang bertambah baik. Keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan di beberapa negara terus menyokong aktiviti penggunaan. Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi serantau dijangka bertambah baik manakala pertumbuhan China mungkin kekal sederhana berikutan pasaran harta tanah yang terus lemah. Perdagangan global dijangka kukuh apabila momentum pemulihan kitaran menaik teknologi bertambah baik. Inflasi keseluruhan dan inflasi teras global menurun sedikit pada bulan-bulan kebelakangan ini dengan pelonggaran monetari di beberapa negara mungkin berlaku pada separuh kedua tahun ini. Walau bagaimanapun, pendirian dasar monetari global dijangka kekal ketat pada tempoh terdekat, dengan inflasi terus berada pada paras melebihi purata. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti dalam pasaran kewangan global.
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.7% pada tahun 2023. Pada masa hadapan, pertumbuhan dijangka meningkat pada tahun 2024, didorong oleh pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan. Pertumbuhan eksport menjadi positif selepas menguncup sejak bulan Mac 2023 dan akan terus disokong oleh perdagangan global yang lebih kukuh. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan yang direalisasikan. Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar. Sementara itu, pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.5% dan 1.8% pada bulan Januari 2024. Trend ini adalah selari dengan jangkaan. Inflasi pada tahun 2024 dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan permintaan yang stabil dan tekanan kos yang terkawal. Walau bagaimanapun, prospek inflasi terus sangat bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.
Walaupun asas-asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia adalah baik, ringgit pada masa ini berada di bawah nilai saksama. Kerajaan dan Bank Negara Malaysia sedang menyelaraskan tindakan untuk menggalakkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Companies, GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Investment Companies, GLIC) untuk membawa balik dan menukarkan pendapatan pelaburan asing mereka kepada ringgit. Langkah ini akan menyebabkan aliran masuk yang lebih besar lantas memberikan sokongan untuk nilai ringgit yang lebih kukuh. Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit.
Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan. MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.
Paras OPR Tertinggi Ialah 3.50% Pada Bulan April 2006
Pada masa itu, ekonomi sedang berkembang dengan stabil, inflasi IHP adalah pada 4.6% dan OPR yang lebih tinggi diperlukan bagi menguruskan risiko harga yang lebih tinggi.
Paras OPR Terendah Ialah 1.75% (Julai 2020 – Mei 2022)
Paras OPR terendah ialah 1.75% pada bulan Julai 2020 hingga Mei 2022 bagi menyokong ekonomi semasa pandemik COVID-19. Pada tempoh sukar, kadar faedah yang rendah menyebabkan kos pinjaman lebih rendah dan mengurangkan pulangan atas simpanan. Hal ini akan merangsang perbelanjaan, meningkatkan pelaburan serta melindungi pekerjaan dan pendapatan semasa krisis.
Paras OPR Mac Tahun Lepas (2023) Ialah 2.75%
Setahun yang lalu, paras OPR dikekalkan pada 2.75% buat kali kedua berturut-turut selepas Januari 2023. Pada masa itu, ekonomi global mula menunjukkan beberapa perkembangan positif berikutan pembukaan semula ekonomi China dan pertumbuhan sebenar yang lebih baik daripada jangkaan di ekonomi-ekonomi utama, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. Walau bagaimanapun, ekonomi global terus terjejas oleh tekanan kos yang kekal tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi. Inflasi keseluruhan menurun sedikit daripada paras tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Apakah perkembangan ekonomi terkini?
Ekonomi Malaysia masih terus berkembang
- Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan menyokong perbelanjaan isi rumah
- Pertumbuhan eksport menjadi positif berikutan perdagangan global yang bertambah baik
- Perniagaan tempatan mendapat manfaat daripada ketibaan dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi
- Pelaksanaan projek pelaburan swasta dan awam terus lancar
- Nilai ringgit berada di bawah nilai saksama. Kerajaan dan Bank Negara Malaysia sedang melaksanakan tindakan terselaras bagi memberikan sokongan kepada ringgit
Inflasi kekal rendah berikutan keadaan kos dan permintaan yang stabil.
Mengapakah harga semakin meningkat?
Harga lebih tinggi yang berlaku sekarang merupakan isu global. Kos pengeluaran yang lebih tinggi merupakan salah satu sebab utama peningkatan inflasi. Pada tahun 2022, kos meningkat disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk gangguan bekalan yang menjejaskan aliran normal pengeluaran serta konflik ketenteraan di Ukraine. Faktor-faktor ini telah menyebabkan harga tenaga dan makanan global yang lebih tinggi. Seiring dengan permintaan yang lebih kukuh selepas ekonomi dibuka semula, harga mula meningkat dengan lebih cepat dan untuk lebih banyak barangan.
Malaysia juga terkesan dengan keadaan ini. Harga komoditi yang semakin meningkat merupakan sebab utama harga lebih tinggi pada masa ini. Barangan berkaitan makanan adalah yang paling terkesan. Harga yang lebih tinggi juga mencerminkan permintaan yang bertambah baik selepas pembukaan semula ekonomi. Semasa pandemik, permintaan dan inflasi lemah tetapi kini kembali ke tahap sebelumnya. Bayangkan anda seorang pemilik restoran. Anda mungkin berasa lebih mudah untuk mengubah harga bagi menangani kos pengeluaran yang lebih tinggi memandangkan lebih banyak orang makan di premis.
Berbanding dengan negara lain, kenaikan harga tidak begitu melampau di Malaysia. Negara kita mempunyai dasar subsidi bahan api dan kawalan harga yang menyebabkan inflasi masih rendah. Walau bagaimanapun, langkah-langkah seperti ini boleh menyebabkan negara menanggung kos yang besar. Hal ini kerana Kerajaan perlu terus menanggung jumlah yang banyak untuk memastikan harga terus rendah. Tindakan ini mengurangkan jumlah yang boleh diperuntukkan oleh Kerajaan untuk perbelanjaan yang lebih produktif atau memberikan bantuan dalam bentuk lain, terutamanya kepada golongan yang paling memerlukan.
Bagaimanakah kenaikan kadar faedah boleh memberikan kesan kepada saya?
Kadar faedah yang lebih tinggi bertujuan untuk menggalakkan orang ramai kurang meminjam dan lebih banyak menyimpan.
Jika anda mempunyai pinjaman, kesannya bergantung pada jenis pinjaman yang diambil.
Pinjaman berkadar tetap tidak akan terjejas.
Jumlah yang anda bayar balik kepada bank akan kekal sama. Lazimnya, kadar ini digunakan untuk pinjaman kereta.
Jika anda mempunyai pinjaman berkadar terapung, kos peminjaman akan meningkat.
Hal ini bermakna bayaran ansuran bulanan anda akan menjadi lebih tinggi. Lazimnya, kenaikan kadar ini akan memberikan kesan pada pinjaman perumahan dan sesetengah pinjaman peribadi. Bagi peminjam individu, kadar faedah pinjaman anda akan meningkat pada jumlah yang sama seperti kenaikan OPR.
Contohnya, jika OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas, kadar faedah bagi pinjaman perumahan anda juga akan meningkat kepada 3.75% sekiranya kadar sebelum ini ialah 3.50%. Ansuran pinjaman anda akan meningkat seiring dengan kadar faedah yang lebih tinggi.
Bila semakan OPR seterusnya?
Mesyuarat Seterusnya Jawatankuasa Dasar Monetari ialah pada 8 & 9 Mei 2024.
Sumber: Bank Negara Malaysia
Alhamdulillah, terkini kami telah terbitkan buku ‘Malaysia Melabur Saham’.
BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !
Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menggandakan pendapatan dalam pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia. Ramai yang masih berkira-kira sebab belum berani dan tak pasti.
Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.
Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.
Kenapa Kena Miliki Buku Ini?
Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa.
Anda nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?
Tak dapat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.
Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.
Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.
Miliki Buku Ini Sekarang!!
Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!
Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?
Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.
Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.
Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.