Kekurangan Pengeluaran Paksa Malaysia Import Koko Penuhi Keperluan Industri – LKM

TAWAU, 10 Sept (Bernama) — Kekurangan pengeluaran biji koko di negara ini telah menyebabkan Malaysia terpaksa mengimpot dari luar untuk memenuhi keperluan industri, kata Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) Dr Ramle Kasin.

Beliau berkata, pada masa ini, negara hanya mampu mengeluarkan sebanyak 100,000 tan metrik setahun sedangkan permintaan industri adalah sebanyak 350,000 tan metrik setahun.

“Bagi mengatasi perkara ini, saya berharap agar pengusaha komoditi koko di seluruh negara agar mencari satu mekanisma dan bersatu untuk meningkatkan hasil pengeluaran biji koko yang bermutu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka dan Inovasi LKM, di sini, hari ini.

Ramle berkata bagi menangani masalah itu kerajaan berusaha untuk meningkatkan aktiviti huluan industri koko, terutamanya penanaman dan perladangan koko di negara ini.

Menurutnya, LKM akan memohon kepada kerajaan negeri di seluruh negara agar memperuntukkan tanah untuk meningkatkan penanaman koko yang berkualiti.

“Kita juga menggalakkan pekebun kecil menanam koko di kebun mereka, di samping tanaman lain untuk meningkatkan pendapatan,” tambahnya.

Hari terbuka yang melibatkan 22 agensi kerajaan dan swasta di Tawau itu mengadakan pelbagai aktiviti seperti pameran dan acara kayuhan basikal melibatkan lebih 350 peserta.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kekurangan-pengeluaran-paksa-malaysia-import-koko-penuhi-keperluan-industri-lkm/

Previous ArticleNext Article

56 Peratus Isi Rumah PPR Cuma Ada Simpanan Hingga 3 Bulan, 17 Peratus Langsung Tiada

KUALA LUMPUR: Lebih separuh isi rumah yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di Lembah Klang hanya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka antara satu hingga tiga bulan sekiranya berdepan kejutan kewangan.

Menurut laporan ‘From Roof to Resilience: A Social Assessment of Malaysia’s Public Housing’ oleh Think City, 56 peratus isi rumah mempunyai simpanan bagi tempoh berkenaan, manakala 17 peratus lagi langsung tidak mempunyai simpanan.

“Dapatan ini menggambarkan sebuah komuniti yang berada dalam keadaan ekonomi tidak kukuh, di mana kejadian seperti masalah kesihatan, kerosakan kenderaan atau kehilangan sumber pendapatan boleh memberi kesan negatif yang serius kepada isi rumah.

“Bagi kebanyakan keluarga, sumber utama dana kecemasan adalah melalui simpanan peribadi atau keluarga, selain terpaksa mendapatkan bantuan daripada pajak gadai.

“Keadaan ini menunjukkan pilihan kewangan yang terhad serta mengukuhkan lagi kedudukan mereka yang serba rapuh dari segi ekonomi,” katanya.

Think City ditubuhkan pada 2009 oleh Khazanah Nasional Bhd, sayap pelaburan kerajaan Malaysia.

Kajian berkenaan membabitkan 2,884 isi rumah di 10 kawasan perumahan awam dan PPR di Lembah Klang sepanjang 2023 menerusi Program Kita-untuk-Kita (K2K) yang dibiayai Kementerian Kewangan.

Antara kawasan yang terlibat ialah PA Seri Selangor, PA Seri Sarawak, PA Hang Tuah, PA Seri Cempaka, PA Seri Kota, PPR Taman Mulia, PA Seri Sabah 3A, PPR Desa Tun Razak, PPR Kampung Baru Hicom dan PPR Lembah Subang 1.

Menurut Think City, hampir 40 peratus keluarga di kawasan kajian bergantung kepada seorang pencari nafkah sahaja, manakala kira-kira sembilan peratus isi rumah dilaporkan tidak mempunyai pencari nafkah.

Laporan itu turut mendapati tanggungjawab menjaga anak dan warga emas menjadi antara faktor yang mengehadkan penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan, sekali gus menyekat pertumbuhan pendapatan isi rumah.

Think City berkata, gabungan pendapatan yang rendah dan tidak stabil menyebabkan ramai penghuni perumahan awam sukar membina daya tahan kewangan walaupun terhadap kejutan ekonomi yang kecil.

Menurut laporan itu, kos sara hidup di sesetengah kawasan turut meningkat akibat faktor setempat seperti kerosakan lif yang kerap, isu keselamatan dan stigma terhadap kawasan perumahan berkenaan yang secara tidak langsung menjejaskan akses kepada peluang ekonomi.

Think City berkata, keadaan itu berisiko menjadikan perumahan awam sebagai perangkap kemiskinan sekiranya peluang mobiliti sosial dan ekonomi terus terbatas, sekali gus menyebabkan kelompok berpendapatan rendah kekal tertumpu di kawasan yang sama untuk tempoh yang panjang.

Kajian itu turut mendedahkan hampir satu daripada setiap 10 isi rumah (9 peratus) melaporkan bahawa mereka tidak mempunyai pencari nafkah.

“Dapatan ini membimbangkan kerana ia menunjukkan kewujudan kelompok kemiskinan yang ketara dalam komuniti berkenaan.

Kajian turut mendapati bahawa daripada isi rumah yang tidak mempunyai pencari nafkah, sebanyak sembilan peratus mempunyai ahli keluarga orang kurang upaya (OKU).

“Sehubungan itu, usaha menyasarkan golongan ini serta memastikan mereka mendapat akses kepada bantuan sosial yang sewajarnya perlu diberikan perhatian sebagai satu keutamaan dasar yang penting,” katanya.

— Berita Harian