Kenaikan OPR Bukan Ditentukan Kerajaan – Tengku Zafrul

KUALA SELANGOR, 17 Sept (Bernama) — Kerajaan tidak masuk campur akan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) negara kerana ia ditentukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata OPR ini adalah di bawah Akta Bank Negara 2009 dan kerajaan tidak campur tangan dalam urusan berkaitannya.

“Ramai mengatakan kerajaan lebih utamakan pihak bank (naikkan OPR), OPR ini bukan kerajaan yang buat keputusan, kerajaan tidak masuk campur soal ini (OPR). Itu harus diperbetulkan.

“Kenaikan OPR itu juga tidak kayakan bank kerana mereka juga perlu membayar kaedah faedah lebih tinggi kepada pendeposit,” kata Tengku Zafrul kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Usahawan dan Koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi 2022 di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata OPR negara kini berada pada tahap 2.5 peratus dengan Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan 75 mata asas sejak Januari lepas.

“Perlu bandingkan dengan OPR negara-negara lain, negara lain naik lebih 225 mata asas tetapi kita masih di tahap 2.5 peratus. Adakah ini tinggi, saya rasa kalau berbanding dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada separuh tahun pertama sebanyak 6.9 peratus dan suku kedua adalah 8.9 peratus.

“Harus juga ingat OPR negara sebelum pandemik COVID-19 adalah sekurang-kurangnya tiga peratus sejak 2013. Jadi, masih rendah dan dasar monetari masih lagi akomodatif,” jelasnya.

Sementara itu dalam ucapannya, Tengku Zafrul yakin ekonomi Malaysia mampu mencapai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rasmi 2022, iaitu di antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus.

“Perkembangan suku kedua yang memberangsangkan ini disumbang oleh inisiatif Bajet 2022, pakej-pakej bantuan dan rangsangan ekonomi, Bajet 2021, serta dasar monetari yang berhemat,” tambahnya.

Selain itu, petunjuk-petunjuk ekonomi terkini turut memberikan gambaran bahawa pemulihan ekonomi negara semakin baik, memberikan indikator yang positif kepada segmen perniagaan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi, katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kenaikan-opr-bukan-ditentukan-kerajaan-tengku-zafrul/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA