BR Capital Terima Kelulusan Secara Dasar Daripada SC Bagi Kendali Platform Pengumpulan Dana Hutang

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) — Bursa Malaysia RAM Capital Sdn Bhd (BR Capital), usaha sama antara Bursa Malaysia Bhd dan RAM Holdings Bhd, menerima kelulusan secara dasar daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk mengurus dan mengendalikan platform pengumpulan dana hutang baharu.

Kelulusan sementara itu, yang diterima pada 2 Jun berhubung permohonan BR Capital untuk didaftarkan sebagai pengendali pasaran yang diiktiraf di bawah Garis Panduan Pasaran yang Diiktiraf SC, menurut Bursa Malaysia dalam kenyataan hari ini.

Diperbadankan pada 27 Dis 2022, BR Capital adalah 51 peratus dimiliki oleh Bursa Malaysia dan 49 peratus oleh RAM Holdings.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata syarikat menghargai sokongan SC dan gembira untuk mencapai kemajuan yang baik dalam menawarkan penyelesaian baharu ini — nota pelaburan sebagai pilihan alternatif untuk mengumpul dana oleh syarikat kecil hingga sederhana, selain menyediakan lebih banyak peluang pelaburan kepada pelabur.

“Penyelesaian pendapatan tetap yang akan datang ini adalah sebahagian daripada aspirasi kami untuk menjadi bursa pelbagai aset,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RAM Chris Lee berkata kelulusan secara dasar daripada SC adalah pencapaian penting untuk RAM dan Bursa Malaysia.

“Platform ini akan memperluas saluran pengumpulan dana untuk entiti tersenarai dan tidak tersenarai selain menyediakan peluang pelaburan pendapatan tetap baharu kepada semua pelabur.

“Pencapaian kerjasama ini menempatkan kami untuk memacu pertumbuhan mampan dalam pasaran modal Malaysia,” katanya.

Bursa Malaysia, syarikat pemegangan bursa yang diperbadankan pada 1976 dan disenaraikan pada 2005, telah berkembang menjadi antara bursa terbesar di ASEAN hari ini.

RAM Holdings adalah penyedia terkemuka untuk penilaian kredit bebas, penyelidikan, latihan, analisis risiko, analisis ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) serta harga bon.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI