KWAP Meterai Perjanjian Dengan Operator Penginapan Pekerja Berpangkalan Di Singapura

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) — Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merancang untuk mengambilalih dua aset penginapan pekerja Centurion Corporation Limited pada harga RM227 juta. 

Dana pencen sektor awam itu telah memeterai perjanjian jual beli dan pajakan semula dengan pengendali penginapan pekerja berpangkalan di Singapura berkenaan membabitkan pengambilalihan Westlite Bukit Minyak di Pulau Pinang dan Westlite Tampoi di Johor. 

“Apabila perjanjian jual beli selesai, Centurion, melalui anak-anak syarikatnya, akan memeterai perjanjian pajakan dengan KWAP bagi pajakan semula hartanah itu selama 15 tahun,” kata KWAP dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Centurion berkata langkah melepaskan aset itu adalah sebahagian daripada usaha rasionalisasi strategik berterusan kumpulan bagi portfolio asetnya, penggunaan semula modal dan mengembangkan lagi portfolio aset di bawah pengurusannya.

Penjualan dan pajakan semula hartanah itu juga sejajar dengan strategi kumpulan untuk mengembangkan perniagaan menerusi kaedah mengurangkan modal aset.

Centurion giat mengembangkan kapasiti pembinaan penginapan khusus pekerja (PBWA) sebagai respons kepada peningkatan permintaan terhadap PBWA yang turut dikenali sebagai kuarters pekerja berpusat di negara ini.

Inisiatif strategik itu juga seiringan dengan langkah-langkah pengawalseliaan progresif, termasuk Akta Standard Minuman Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 1946) dan peningkatan kesedaran oleh majikan, pekerja dan pengguna akhir serta kerajaan yang melibatkan keperluan kebajikan tenaga kerja migran.

Sementara itu, kumpulan tersebut juga dalam proses mengembangkan portfolionya di Malaysia, inisiatif peningkatan aset (AEI)  di Westlite Senai yang sedang dijalankan dan dijangka siap dalam suku keempat 2023 yang melibatkan tambahan kira-kira 770 katil.

“Kumpulan ini turut memperoleh kontrak pengurusan baharu PBWA, Westlite Cemerlang, yang membabitkan kira-kira 2,196 katil di Johor yang dijangka beroperasi pada suku keempat 2023.

“Dua AEI lain pula disasarkan untuk Westlite Johor Tech Park dan Westlite Senai II, iaitu tambahan kira-kira 2,720 katil yang dijangka siap secara berperingkat pada 2024 dan 2025,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

[TERKINI] Bank Negara Malaysia Kekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 2.75%.

Berlandaskan kekukuhan pada tahun 2025, pertumbuhan global akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, inflasi yang semakin berkurang, pelaburan teknologi yang mantap serta sokongan dasar fiskal dan monetari. Walau bagaimanapun, konflik terkini di Timur Tengah telah meningkatkan ketidaktentuan dalam ekonomi global. Kesan terhadap ekonomi global akan bergantung pada tempoh dan keseriusan konflik.

Berikutan perkembangan terkini, risiko pertumbuhan menjadi perlahan telah meningkat disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global. Selain itu, masih terdapat kebimbangan yang berterusan terhadap kemungkinan tarif yang lebih tinggi dan penilaian yang tinggi dalam pasaran kewangan.

Pertumbuhan berpotensi menjadi pesat termasuk perbelanjaan untuk teknologi yang lebih kukuh, kesan tarif yang lebih sederhana terhadap kegiatan ekonomi serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% pada tahun 2025, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih tinggi dan pelancongan ke dalam negeri yang giat. Momentum pertumbuhan ini dijangka berterusan pada tahun 2026, berteraskan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan. Sektor luaran akan mendapat manfaat daripada eksport E&E yang terus kukuh dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi. Prospek pertumbuhan ini kekal tertakluk pada ketidakpastian berhubung dengan perkembangan global, termasuk konflik terkini di Timur Tengah.

Risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan kekal berpunca daripada perdagangan global yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan. Sementara itu, potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada prospek pertumbuhan global yang lebih baik, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.6% dan 2.3% pada bulan Januari 2026. Secara keseluruhan, inflasi keseluruhan pada tahun 2026 dijangka kekal sederhana. Walaupun harga komoditi global mungkin terdedah kepada volatiliti yang lebih ketara berikutan perkembangan terkini, kesannya terhadap inflasi dalam negeri dijangka terkawal. Sementara itu, inflasi teras pada tahun 2026 dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya, mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.

MPC mengambil maklum tentang ketidaktentuan yang timbul susulan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah. Impak kepada ekonomi global dan Malaysia akan bergantung pada perkembangan situasi ini. Ekonomi Malaysia menghadapi cabaran ini daripada kedudukan yang kukuh, dengan pertumbuhan dalam negeri yang mantap, inflasi yang sederhana, sektor kewangan yang teguh dan kedudukan luaran yang berdaya tahan.

Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil. MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri.